Koperasi Kumpulan JCorp perlu diberi nafas baharu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
johardy - 15 Oct 2024 07:00 AM

KOPERASI KUMPULAN JOHOR CORPORATION BERHAD PERLU DIBERI NAFAS BAHARU

 

 

Penulis dijemput untuk memberikan cadangan kepada Koperasi Kumpulan Johor Corporation Berhad (KOPJCORP) di Johor Baharu minggu lepas berkaitan dengan transformasi mereka ke arah mencapai matlamat Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Tujuan adalah untuk memacu pembangunan koperasi sebagai sektor ekonomi yang berdaya saing dan mampan. Pelan ini bertujuan untuk memperkukuh peranan koperasi dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui tiga teras utama: pengukuhan struktur dan tadbir urus koperasi, pengembangan peluang ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi, serta memperkasakan modal insan koperasi.

 

TransKoM 2021-2025 juga berhasrat untuk meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM100 bilion menjelang 2025.

 

Antara strategi utama termasuklah memperluas kerjasama koperasi dengan sektor awam dan swasta, memanfaatkan teknologi digital untuk operasi yang lebih efisien, serta meningkatkan akses kepada pasaran dan pembiayaan bagi koperasi. Pelan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi koperasi dan memastikan kesejahteraan sosio-ekonomi ahlinya, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan.

 

 

iktisad

 

 

KOPJCORP, ditubuhkan pada 14 Oktober 1978, berperanan sebagai platform bagi anggota pekerja dalam Kumpulan Johor Corporation untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan manfaat koperasi.

 

Sebagai koperasi kredit, KOPJCORP diaktifkan semula pada 1 Oktober 2013 dengan keanggotaan yang diperluas kepada pekerja syarikat-syarikat dalam kumpulan JCorp.

 

Objektif utama penubuhan ini adalah untuk meningkatkan sosio-ekonomi anggota koperasi melalui kemudahan kewangan dan perkhidmatan lain seperti kemudahan kredit tunai peribadi, serta mengembangkan aktiviti ekonomi seperti pengendalian pam minyak, pasar raya, dan pelbagai perniagaan lain.

 

Untuk memastikan kejayaan koperasi ini, Kumpulan Johor Corp mesti memainkan peranan proaktif dalam menyokong KOPJCORP dari segi kewangan, pengurusan, dan strategi perniagaan. Sokongan ini penting kerana koperasi berfungsi sebagai mekanisme untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja dalam kumpulan, yang secara langsung menyumbang kepada produktiviti dan kesejahteraan syarikat induk.

 

Dengan menyediakan akses kepada kemudahan kredit tunai peribadi yang berpatutan dan program pelaburan yang mampan, KOPJCORP mampu meringankan beban kewangan anggota, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka. Ini menjadikan koperasi sebagai salah satu instrumen penting dalam menyokong anggota pekerja, yang pada akhirnya memperkukuhkan kestabilan operasi Kumpulan Johor Corp.

 

Di samping itu, KOPJCORP perlu terus meluaskan aktivitinya dengan meneroka peluang perniagaan yang baru dan relevan dengan perkembangan semasa. Dengan sokongan Kumpulan Johor Corp dari segi pembiayaan dan nasihat strategik, koperasi boleh memanfaatkan sumber sedia ada untuk memperluas perniagaannya. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan keuntungan koperasi tetapi juga memperkukuhkan peranan koperasi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi syarikat induk.

 

 

iktisad

 

 

Azman Hashim International Business School, UTM, telah mencadangkan satu rangka perancangan tiga tangga untuk KOPJCORP yang merangkumi tempoh pendek, sederhana, dan panjang.

 

Perancangan ini berfokus kepada dua teras utama: penambahan ahli serta pengekalan ahli sedia ada, dan penajaman produk kewangan yang ada melalui pengstrukturan semula strategi pemasaran yang patuh syariah serta inovasi dalam memenuhi permintaan dan citarasa ahli.

 

Dengan pendekatan ini, KOPJCORP dapat menyokong Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 dan mencapai kejayaan yang mampan di masa hadapan.

 

 

iktisad

 

 

Jangka Pendek: "Restructure the Model"

Dalam jangka masa pendek, tema "Restructure the Model" menekankan penstrukturan semula model perniagaan dan operasi koperasi untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan. KOPJCORP perlu memanfaatkan infrastruktur yang sedia ada di Kumpulan Johor Corp, seperti rangkaian cawangan dan teknologi informasi, untuk memperluas dan memperkukuhkan keanggotaan. Penstrukturan semula ini termasuk memperbaiki sistem pengurusan keahlian, memperkenalkan insentif baru untuk menarik ahli baru, dan mengoptimumkan penggunaan infrastruktur digital bagi memudahkan akses kepada produk dan perkhidmatan koperasi. Langkah ini akan membantu meningkatkan jumlah ahli serta memastikan keahlian yang sedia ada tetap aktif dan terlibat.

 

Jangka Sederhana: "Accelerate & Grow"

Pada jangka masa sederhana, tema "Accelerate & Grow" bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan koperasi melalui pengembangan produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih inovatif. Dengan menggunakan infrastruktur yang telah diperkuatkan, KOPJCORP boleh menajamkan produk kewangan sedia ada seperti kemudahan kredit tunai peribadi dan simpanan koperasi dengan ciri-ciri yang lebih menarik dan sesuai dengan keperluan ahli. Strategi pemasaran yang baru, yang berfokus kepada produk patuh syariah dan memanfaatkan saluran digital, akan membantu menarik lebih ramai ahli serta meningkatkan penggunaan produk oleh ahli sedia ada. Selain itu, kerjasama dengan anak syarikat dalam kumpulan Johor Corp dapat memperluas jangkauan pemasaran dan memanfaatkan sumber daya yang ada untuk mencapai pertumbuhan yang lebih pesat.

 

Jangka Panjang: "Transform & Sustainable"

Dalam jangka masa panjang, tema "Transform & Sustainable" menekankan transformasi koperasi ke arah model perniagaan yang lebih lestari dan inovatif. KOPJCORP perlu menggunakan infrastruktur yang telah dioptimumkan untuk memperkenalkan produk kewangan yang mesra alam dan beretika, seperti pelaburan dalam sektor hijau dan produk insurans takaful yang patuh syariah. Transformasi ini juga melibatkan penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli. Dengan fokus pada kelestarian, koperasi akan dapat memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan sambil terus memenuhi keperluan dan cita rasa ahli-ahli.

 

Untuk mencapai sasaran jumlah ahli dan menarik ahli untuk memilih produk serta perkhidmatan KOPJCORP, adalah penting untuk memanfaatkan infrastruktur yang ada di Kumpulan Johor Corp sebaik mungkin.

 

Infrastruktur seperti rangkaian cawangan yang luas, sistem IT yang canggih, dan sumber daya manusia yang berkemahiran tinggi boleh digunakan untuk meningkatkan aksesibiliti dan kualiti perkhidmatan koperasi.

 

Sebagai contoh, rangkaian cawangan yang tersebar boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan produk kewangan secara langsung kepada ahli di lokasi masing-masing, manakala sistem IT yang cekap dapat memudahkan proses pengurusan keahlian dan transaksi kewangan.

 

 

iktisad

 

 

Dengan menggabungkan perancangan tiga tangga yang dicadangkan oleh Azman Hashim International Business School, UTM, dan leverage infrastruktur yang ada, KOPJCORP dapat mencapai matlamatnya untuk meningkatkan dan mengekalkan keanggotaan serta menajamkan produk kewangan.

 

Pendekatan ini tidak hanya menyokong TransKoM 2021-2025 tetapi juga memastikan bahawa koperasi dapat terus berkembang dan memberikan manfaat yang berterusan kepada ahli-ahlinya dalam jangka masa panjang. Strategi yang terancang dan pelaksanaan yang efektif akan menjadikan KOPJCORP sebagai model koperasi yang berjaya dan mampan dalam kalangan badan korporat di Malaysia.

 

KOPJCORP perlu menggabungkan strategi yang komprehensif untuk meningkatkan jumlah ahli dan pada masa yang sama mengekalkan ahli sedia ada. Dengan menawarkan produk kewangan yang relevan dan memberi manfaat langsung kepada kehidupan harian mereka, koperasi akan dapat mengekalkan kesetiaan ahli.

 

Penstrukturan semula insentif keahlian, seperti dividen tahunan yang lebih menarik atau peluang pelaburan yang eksklusif, juga boleh meningkatkan retensi ahli.

 

Selain itu, penambahan ahli boleh dilakukan melalui kempen kesedaran yang lebih agresif dan berterusan, di mana koperasi mempromosikan faedah menyertai koperasi secara terbuka dalam kalangan pekerja baru dan sedia ada dalam Johor Corp dan anak syarikatnya.

 

 

iktisad

 

 

Di samping itu, Azman Hashim International Business School turut mencadangkan agar KOPJCORP memperkukuhkan strategi pemasaran produk kewangan sedia ada dengan penekanan terhadap produk yang patuh syariah.

 

Koperasi boleh menambah baik pelan pemasaran dengan mengkaji semula kehendak ahli dan memperkenalkan produk kewangan yang lebih berinovasi dan disesuaikan mengikut keperluan. Sebagai contoh, memperkenalkan produk simpanan jangka panjang yang menawarkan pulangan yang kompetitif (simpanan tukar wang kepada emas), serta skim infaq, wakaf, hibah dan faraid.

 

Usaha ini bukan sahaja akan menambah nilai kepada produk koperasi tetapi juga membantu koperasi memenuhi matlamat TransKoM 2021-2025, sekaligus memperkukuh peranan KOPJCORP dalam memperkasakan ekonomi anggota pekerja Johor Corp.  - DagangNews.com

 
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews