3 sebab kenapa pasangan ada anak bawah umur 18 tahun perlu merancang harta
Saya sudah direzekikan Allah SWT untuk bekerja di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam Malaysia semenjak 1998.
Sepanjang 26 tahun ini, saya sudah bertemu dengan pelbagai jenis kes pusaka. Ada kes melibatkan orang yang sudah berumur dan banyak juga kes orang yang muda meninggal dunia.
Apa yang saya belajar dari pengalaman ini ialah semua kes unik dan berbeza-beza.
Walaupun asas-asas undang-undang dan hukum syaraknya sama, mengurus pusaka akan melibatkan banyak pihak baik pihak yang mewarisi harta pusaka (waris mengikut hukum faraid) dan pihak yang tidak berhak tetapi mempunyai kaitan kekeluargaan seperti adik-beradik, bapa dan mak saudara dan sebagainya.
Perkara paling susah pastinya ialah untuk menguruskan emosi pihak-pihak ini.
Bagi pasangan yang sudah berumur dan anak-anak mereka semuanya telah berusia lebih 18 tahun, telah bekerjaya dan telah berkeluarga, apabila mereka meninggal dunia, satu-satunya cabaran harta pusaka yang didepani oleh anak-anak ialah bagaimana untuk melalui proses pengurusan pusaka.
Anak-anak ini tidak terjejas dari segi kewangan kerana mereka sudahpun berdikari dan boleh berdiri di atas kaki sendiri. Jika mereka mendapat harta pusaka ibubapa lambat pun, ia tidak menjejaskan mereka.
Dari sudut emosi pula, oleh kerana mereka sudahpun berkeluarga, mereka tidak akan berada dalam keadaan trauma kerana ada orang lain tempat mereka bergantung kasih.
Namun dalam pengalaman 28 tahun, saya dapati bahawa golongan yang paling kritikal merancang harta ialah pasangan atau individu yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun (minor). Ada 3 sebab utama kenapa golongan ini perlu merancang harta.
SEBAB PERTAMA : KELANGSUNGAN KEHIDUPAN
Anak-anak yatim di bawah umur 18 tahun tetap perlu meneruskan kehidupan walaupun ibubapa mereka telah meninggal dunia.
Sedikit sebanyak, ibubapa mereka ada meninggalkan harta pusaka seperti wang di dalam akaun bank atau saham Amanah dan rumah.
Kesemua harta ini jika boleh diuruskan dengan cepat dan dapat diwariskan kepada anak-anak ini, akan dapat membantu kelangsungan kehidupan mereka.
Namun prosesnya tidak mudah seperti yang disangkakan. Agak biasa untuk melihat kes-kes pusaka di Malaysia memakan masa bertahun-tahun sebelum selesai.
Ini belum termasuk komplikasi jika harta pusaka itu turut dikongsikan bersama waris-waris lain seperti datuk, nenek atau ibubapa saudara.
Saya pernah berjumpa kes di mana ibubapa saudara yang berhak ke atas harta pusaka itu pula mati dalam keadaan proses pengurusan pusaka belum bermula.
Tiba-tiba anak-anak yatim di bawah umur 18 tahun ini terpaksa pula berkongsi harta pusaka milik ibubapa mereka besama sepupu-sepupu mereka!
Komplikasi inilah yang menyebabkan proses pengurusan harta pusaka memakan masa yang sangat lama.
Ada antara kes yang saya jumpai, anak-anak yatim ini hanya menerima pusaka apabila mereka sudah berusia puluhan tahun.
Ibubapa mereka memang ada meninggalkan harta pusaka namun anak-anak yatim ini terpaksa bertungkus-lumus melalui kehidupan kerana harta pusaka itu lambat diperoleh.
SEBAB KEDUA : HAK PENJAGA HARTA
Ramai pasangan yang mempunyai anak di bawah umur membuat kesilapan kerana menjangkakan bahawa mereka akan hidup sehingga umur tua.
Mereka juga selalu menyangkakan bahawa hanya salah seorang sahaja daripada mereka akan mati dan pasangan yang hidup akan dapat menguruskan anak-anak yatim ini dengan baik.
Namun pemerhatian saya sebelum dan selepas pandemik, ada banyak kes kemalangan berlaku yang melibatkan keluarga yang memandu di dalam sebuah kenderaan.
Ibubapanya mati serentak dan meninggalkan anak-anak yatim di bawah umur 18 tahun.
Bila keadaan ini berlaku, antara isu paling besar yang timbul ialah siapakah yang akan mengambil tanggungjawab sebagai penjaga harta kepada anak-anak di bawah umur ini.
Peruntukan di dalam enakmen pentadbiran keluarga Islam negeri-negeri memang jelas dalam menjawab isu ini.
Di dalam kes simati ialah ayah kepada anak-anak ini, datuk atau ayah kepada simati ialah penjaga mutlak harta-harta yang berhak ke atas anak-anak yatim ini.
Hak penjaga harta ini diikuti pula oleh turutan lain seperti wasi yang dilantik di dalam wasiat oleh si ayah dan jika tiada wasiat yang melantik wasi ini, maka hak penjaga harta akan jatuh kepada wasi kepada datuk tadi.
Di dalam ke simati ialah ibu kepada anak-anak ini, ayah kepada anak-anak ini mempunyai hak mutlak penjagaan harta tetapi jika ayah ini juga meninggal dunia serentak seperti di dalam kes kemalangaan yang saya sebutkan di atas, maka harta pusaka yang akan diwarisi oleh anak-anak ini daripada ayah dan ibu mereka akan dijaga oleh datuk dari sebelah bapa atau turutan seperti di atas.
Hak penjagaan harta seperti yang diperuntukkan oleh enakmen ini semuanya jatuh kepada jalur keturunan sebelah bapa. Jalur keturunan sebelah ibu tidak diperuntukkan.
Ini mungkin akan mencetuskan komplikasi kerana sentiasa ada kemungkinan hubungan di antara datuk sebelah bapa dengan cucu-cucu ini tidak rapat.
Banyak juga kes yang saya jumpai datuk sebelah ibu lebih rapat dengan cucu-cucunya berbanding dengan datuk sebelah bapa.
Cabaran yang sedang dihadapi masyarakat hari ini ialah kerana tidak ramai pasangan yang membuat pelantikan penjaga harta anak secara tuntas dan secara bertulis.
Bila berlaku kematian dan turutan penjagaan harta di atas dilalui, terdapat risiko pelbagai komplikasi timbul.
Jika pasangan yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun tidak mengambil tindakan ini, anak-anak mereka akan berdepan pelbagai risiko.
SEBAB KETIGA : PROSES PENGURUSAN HARTA PUSAKA
Sekiranya kedua-dua suami dan isteri meninggal dunia serentak atau berturutan, siapakah yang akan mengambil inisiatif untuk memulakan proses pengurusan harta pusaka ibubapa anak-anak kecil ini?
Seseorang perlu bertindak bagi urusan ini kerana jika tidak, ia akan tidak akan diuruskan sampai bila-bila dan anak-anak ini tidak akan menerima harta pusaka yang berhak ke atas mereka.
Di dalam banyak kes yang saya temui, anak-anak ini akan dijaga oleh datuk atau nenek mereka di kampung.
Mungkin anak-anak ini akan selamat dari segi emosi dan kasih sayang kerana pastinya datuk nenek akan menjaga cucu-cucu ini dengan sebaiknya.
Namun adakah datuk dan nenek ini mempunyai ilmu yang mencukupi untuk melalui proses pengurusan harta pusaka ini bagi pihak cucu-cucunya?
Siapa pula yang akan menanggung kos pengurusan harta pusaka yang mahal itu?
Tahukah anda bahawa di Malaysia kos ini adalah semahal 5% daripada nilai harta pusaka jika anda menggunakan perkhidmatan Syarikat Amanah profesional?
Tahukah juga anda bahawa ada banyak kos-kos lain seperti kos buka fail, kos carian dan pelbagai kos lain terpaksa ditanggung bagi urusan ini?
Siapakah yang akan menanggung kos-kos ini ? Datuk dan nenek di kampung yang membela cucu-cucu itu?
Pasangan yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun, fikir-fikirkan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH