Apa yang Institusi Kewangan Islam di Malaysia tidak nampak tentang `Wasiat'? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 16 August 2023
WasiyyahShoppe

APA YANG INSTITUSI KEWANGAN ISLAM DI MALAYSIA TIDAK NAMPAK TENTANG WASIAT?

 

 

 

TAJUK ini sebenarnya telah pun beberapa kali saya ulas di dalam penulisan saya  malah selama 23 tahun saya secara istiqomah telah menyampaikan maklumat yang cukup komprehensif tentang isu ini. Ikhlasnya saya tidak berniat untuk mengulang ulas semula tentangnya.  

 

Namun semenjak beberapa bulan kebelakangan ini, apabila saya banyak berbincang dengan rakan-rakan daripada institusi kewangan, saya dapati bahawa isu kekeliruan tentang wasiat ini masih menebal.

 

Sangat memeranjatkan apabila majoriti daripada rakan-rakan di perbankan Islam yang pakar di dalam bidang muamalat, kurang memahami topik ini.

 

Banyak institusi kewangan menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat kepada pelanggan mereka tanpa mengetahui secara tepat kesan wasiat itu. Kandungan utama wasiat yang dijual itu pula ialah pelantikan wasi.

 

Walaupun kami berkawan tetapi mereka tidak pernah minta supaya saya menghuraikan secara terperinci isu ini. Jadi, saya membuat andaian bahawa mereka memang telah tahu kerana kebiasaannya institusi kewangan sangat teliti dalam semua tindakan mereka kerana mereka sentiasa mahu memastikan manfaat maksimum dapat dinikmati oleh pelanggan mereka.

 

Mereka juga sangat mengambil berat isu reputasi. Mereka tidak mahu apa-apa tindakan yang mereka buat akan menyebabkan reputasi mereka terjejas. Namun apakah yang institusi kewangan tidak nampak tentang kesan wasiat melantik wasi ini?

 

WasiyyahShoppe

 


Adakah tindakan mempromosi wasiat melantik wasi ini akan menjejaskan institusi kewangan di dalam jangka panjang jika wasiat itu tidak berfungsi seperti yang sepatutnya malah meletakkan waris-waris pelanggan mereka dalam keadaan yang sukar?

 

Institusi kewangan tidak nampak bahawa wasiat yang melantik wasi TIDAK BOLEH dikuatkuasakan di Pejabat Pusaka Kecil (bagi orang yang meninggalkan harta pusaka bernilai kurang daripada RM5 juta) kecuali dengan persetujuan semua waris mengikut hukum faraid.

 

Ini menyebabkan wasiat yang melantik wasi itu dibawa oleh pihak berkenaan ke Mahkamah Tinggi Sivil (walaupun sepatutnya ia hanya perlu dibawa ke Pejabat Pusaka Kecil kerana nilai harta pusaka yang rendah) yang menyebabkan kos pengurusan harta pusaka itu melonjak lebih tinggi.

 

Kos yang tinggi ini akan dicaj semula kepada waris atau ditolak daripada wang tunai harta pusaka berkenaan.

 

Kenapa pula wasiat melantik wasi ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil walaupun ia boleh sahaja dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil? Kerana di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang diguna pakai oleh Mahkamah Tinggi Sivil, wasiat melantik wasi itu akan berkuatkuasa.

 

Ini berbeza dengan Pejabat Pusaka Kecil yang mana wasiat melantik wasiat TIDAK BERKUATKUASA atas sebab yang saya telah nyatakan sebelum ini (sila baca penulisan saya sebelum ini).

 

Oleh kerana pihak berkenaan memang mahukan kuasa sebagai wasi dipegang oleh mereka, wasiat itu di bawa ke Mahkamah Tinggi Sivil. Kesannya akan ditanggung oleh waris oleh kerana kosnya akan meningkat dan harta pusaka yang akan mereka terima menjadi berkurangan.

 
 

WasiyyahShoppe

 


Institusi kewangan tidak nampak wasiat yang melantik wasi TIDAK BOLEH dikuatkuasakan di Pejabat Pusaka Kecil jika wasi yang dilantik itu (walaupun dipersetujui oleh semua waris mengikut hukum faraid) ialah Syarikat amanah swasta (kecuali Syarikat amanah milik Kerajaan atau Majlis Agama Islam Negeri).

 

Ini kerana Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 (Pindaan 2021) menetapkan bahawa hanya ‘Perbadanan’ boleh dilantik sebagai Pentadbir harta pusaka. Di dalam tafsiran akta ini, ‘Perbadanan’ merujuk kepada Syarikat amanah milik Kerajaan atau Majlis Agama Islam Negeri sahaja.   

 

Jika wasiat melantik wasi ini TIDAK BERKUATKUASA di dalam banyak keadaan seperti yang saya jelaskan di atas, kenapa pula masyarakat perlu membazir duit membuatnya?

 

Dari sudut penguatkuasaan, wasiat melantik wasi ini hanya efektif bagi orang yang meninggalkan harta pusaka melebihi nilai RM5 juta dan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil. Tiada keraguan tentang kesahihan pelantikan wasi di sini.

 

Dari sudut agihan harta pusaka pula, wasiat hanya berkuatkuasa jika penerima wasiat itu ialah bukan waris (tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid) dan nilainya tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka simati.

 

Wasiat hanya berkuatkuasa bagi dua keadaan di atas sahaja dan tidak lebih dari itu. Jika ada situasi melebihi dari itu, maka akan ada banyak faktor lain yang akan mempengaruhi kesahihan wasiat itu.

  

Institusi kewangan tidak nampak bahawa wujud UNSUR GHARAR (ketidakpastian) di dalam caj pengurusan pusaka yang dikenakan oleh pihak profesional apabila menguruskan harta pusaka. Di dalam apa sahaja transaksi muamalat, unsur gharar ini wajib dielakkan. Bagaimana dalam urusan harta pusaka wujud unsur gharar ini ? Saya telah ulas isu gharar ini panjang lebar di dalam penulisan saya sebelum ini. Boleh rujuk ya.     

 

Institusi kewangan juga tidak nampak apa perbezaan di antara hibah dan wasiat.

 

Oleh kerana mereka telah didoktrin bahawa buat wasiat semua masalah harta pusaka selesai, mereka tidak meneroka bagaimanakah hibah boleh diperkenalkan dalam  membantu di dalam perancangan harta pelanggan mereka walhal institusi kewangan ‘familiar’ dengan istilah hibah dan menggunakan kaedah hibah dalam pemberian keuntungan kepada pelanggan mereka.


 

WasiyyahShoppe

 


Namun apabila perbincangan terperinci dilakukan, kesimpulan yang dapat saya buat ialah selama beberapa tahun, mereka telah didoktrinkan bahawa wasiat adalah dokumen paling penting yang mesti dibuat oleh orang Islam.

 

Telah dipasak kukuh di dalam fikiran mereka bahawa apabila seorang Islam itu membuat wasiat, maka semua masalah harta pusaka mereka telah selesai sepenuhnya.

 

Saya antara orang paling awal membetulkan silap faham tentang wasiat melantik wasi ini di dalam masyarakat. Saya berpendirian bahawa maklumat yang telus dan tepat wajib disampaikan supaya masyarakat faham. Apa yang saya buat ini bukan sahaja satu perniagaan semata-mata, malah lebih besar lagi ia merupakan satu amanah ilmu.

 

Sebagai seorang muslim saya sangat percaya bahawa apa sahaja yang saya lakukan hari ini, saya akan dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat.

 

Jadi sangat penting untuk saya menyampaikan maklumat yang tepat mengikut peruntukan hukum syarak dan undang-undang yang betul.

 

Anda dah buat wasiat? Cuba semak apa kandungannya kot-kot wasiat anda juga TIDAK BOLEH BERKUATKUASA kelak.       

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

Portfolio Tags