APAKAH IMPLIKASI KOS BAGI URUSAN HARTA PUSAKA YANG MEMPUNYAI WASIAT ?
BERAT sedikit penulisan saya minggu ini kerana ia agak teknikal. Namun saya perlu jawab kerana soalan ini ditanyakan kepada saya baru-baru ini.
Ramai orang terkeliru kerana mereka diberitahu apabila wasiat telah dibuat, maka semua urusan pusaka akan selesai. Isu kos tidak pernah diceritakan secara terperinci kepada masyarakat. Jadi masyarakat beranggapan isu kos juga selesai apabila ada wasiat.
Dalam penulisan saya sebelum ini, ada saya sentuh tentang fungsi wasiat dari sudut pentadbiran harta pusaka.
Saya telah terangkan bahawa wasiat pentadbiran yang melantik wasi itu TIDAK BERKUATKUASA secara automatik sekiranya kes itu dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil (sekiranya harta pusaka yang ditinggalkan bernilai kurang dari RM2 juta atau RM5 juta selepas pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 2021 dioperasikan).
Namun sekiranya harta pusaka itu bernilai melebihi RM2 juta atau RM5 juta selepas pindaan akta di atas dioperasikan, wasiat melantik wasi akan BERKUATKUASA kerana perbicaraan akan dijalankan di Mahkamah Tinggi Sivil dan mengikut Akta Probet dan Pentadbiran 1959.
Untuk penerangan tentang perbezaan kuatkuasa undang-undang wasiat melantik wasi di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil, sila baca artikel saya sebelum ini.
ANEKDOT MAWARITH: Teruknya tanggungjawab wasi harta pusaka
Penulisan minggu ini saya akan hurai panjang lebar tentang isu kos pengurusan pusaka dalam keadaan ada wasiat yang melantik wasi pula.
Apabila seseorang rakyat Malaysia itu meninggal dunia, untuk menuntut harta pusaka yang ditinggalkan, waris-waris perlu melalui proses perundangan sama ada di Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil, Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi Syariah (mengikut bidang kuasa masing-masing).
Namun bagi perbincangan kali ini, saya akan fokus hanya kepada proses pengurusan di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil sahaja.
Seperti yang saya ceritakan di atas, sekiranya harta pusaka itu bernilai kurang dari RM2 juta atau RM5 juta selepas pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 2021 dioperasikan, maka perbicaraan untuk kes ini akan berlaku di Pejabat Pusaka Kecil.
Waris-waris boleh melantik pemohon dalam kalangan mereka untuk memasukkan permohonan perbicaraan pusaka kecil. Pemohon ini perlu memastikan semua dokumentasi bagi tujuan ini lengkap seperti salinan kad pengenalan atau sijil lahir waris-waris yang berhak, carian rasmi hartanah dan pelbagai dokumen yang lain.
Pejabat Pusaka Kecil membenarkan permohonan ini dibuat oleh waris secara terus. Walau bagaimanapun menjadi amalan biasa bagi waris yang tidak mempunyai masa atau tiada pengetahuan tentang urusan ini melantik pihak ketiga bagi menguruskannya.
Pihak ketiga ini boleh terdiri dari sesiapapun sama ada syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad, peguam ataupun mana-mana individu persendirian. Untuk perkhidmatan ini, pihak-pihak ini akan mengenakan caj tertentu. Berapa cajnya? Ia bergantung kepada apa bentuk kerja yang perlu dilakukan.
Dari pengalaman saya, kos ini boleh jadi beberapa ratus ringgit sehingga beberapa ribu ringgit. Dalam situasi ini, pemohonnya masih nama waris. Pihak-pihak ini hanya bertindak sebagai pemudahcara proses.
Namun sekiranya syarikat amanah yang dibenarkan di bawa Akta Pejabat Pusaka Kecil yang menjadi Pentadbir atau mereka menjadi wasi yang telah dilantik di dalam wasiat (dan waris-waris bersetuju syarikat amanah ini bertindak sebagai wasi), kos yang biasanya dikenakan ialah beberapa peratus dari nilai harta pusaka tidak termasuk kos-kos rampaian yang lain.
Secara relatifnya kos pengurusan pusaka situasi kedua ini adalah lebih mahal berbanding situasi pertama. Ini kerana selain daripada melaksanakan tugasan-tugasan berkaitan, syarikat amanah ini yang bertindak sebagai Pentadbir/wasi juga perlu menanggung liabiliti undang-undang yang ditetapkan.
Sebagai Pentadbir/wasi, syarikat amanah ini boleh disaman oleh mana-mana pihak yang berkepentingan ke atas harta pusaka dan syarikat amanah itu juga boleh menyaman pihak ketiga.
Bagi situasi di Mahkamah Tinggi Sivil pula, pelantikan syarikat amanah atau mana-mana pihak sebagai wasi di dalam wasiat akan BERKUATKUASA berdasarkan Akta Probet dan Pentadbiran 1959 kecuali jika boleh dibuktikan oleh waris-waris bahawa pihak yang dilantik ini tidak ‘fit’ dari segi undang-undang untuk bertindak sebagai wasi.
Walaupun begitu, perlu difahami bahawa wasiat yang melantik Baitulmal negeri-negeri sebagai wasi akan BERKUATKUASA di negeri-negeri yang mempunyai enakmen wasiat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Sabah tanpa mengira sama ada kes itu dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.
Bagi urusan fi, di dalam Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959, memang telah dinyatakan bahawa Wasi/Pentadbir harta pusaka boleh mengenakan fi sehingga 5% dari nilai harta pusaka sebagai fi pengurusan harta pusaka tidak termasuk fi-fi lain.
Di Malaysia adalah menjadi amalan biasa fi yang dikenakan kepada waris ialah di antara 0.5% sehingga 5% dari nilai harta pusaka. Perlu saya tegaskan dengan jelas bahawa amalan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mahupun dengan hukum syarak.
Bagaimana pula fi-fi ini dibayar? Sekiranya harta pusaka simati ada komponen wang tunai, wasi boleh menolak terlebih dahulu fi mereka yang beberapa peratus itu dari wang tunai milik simati.
Ini boleh dilakukan dengan mudah oleh wasi kerana semua wang tunai simati akan dibayar kepada mereka terlebih dahulu. Apa sahaja harta pusaka yang berbaki selepas ditolak fi pengurusan pusaka itulah yang diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut bahagian masing-masing.
Sekiranya simati hanya mempunyai hartanah sebagai harta pusaka dan tiada wang tunai, maka waris boleh memilih untuk membayar fi beberapa peratus itu dari wang poket mereka sendiri. Hanya apabila fi ini dibayar oleh waris, wasi akan menguruskan turun milik harta pusaka itu kepada waris.
Namun keadaan akan menjadi lebih sukar sekiranya simati hanya meninggalkan hartanah, tiada wang tunai dan waris juga tiada wang untuk membayar.
Oleh kerana kuasa sebagai wasi itu dimiliki oleh syarikat amanah dan di dalam wasiat dan juga peruntukan undang-undang berkenaan telah dinyatakan bahawa wasi boleh menggunakan harta pusaka bagi membayar semua fi yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka, syarikat amanah boleh sahaja melupuskan mana-mana harta pusaka bagi tujuan mendapatkan tunai dan seterusnya menuntut fi mereka.
Walaupun demikian, kaedah Pelupusan harta pusaka bagi membayar fi pengurusan pusaka ini adalah di bawah pertimbangan syarikat amanah berkenaan.
Dalam keadaan biasa, ini adalah pilihan terakhir. Saya pernah terjumpa kes di mana situasi ini berlaku namun saya juga akui bahawa ada juga keadaan di mana syarikat amanah boleh bertolak-ansur dengan waris bagi tujuan ini. Semuanya adalah di bawah bidang kuasa wasi.
Jadi masyarakat kena faham bahawa walaupun ada wasiat yang melantik wasi, tetap ada kos pengurusan pusaka yang perlu ditanggung oleh pihak waris.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH