Bajet 2024: Apa kerajaan boleh buat untuk gembleng harta pusaka sebagai sumber ekonomi negara? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 13 Sep 2023 07:00 AM
WasiyyahShoppe

BAJET 2024: APA YANG KERAJAAN BOLEH BUAT UNTUK GEMBLENG HARTA PUSAKA SEBAGAI SUMBER EKONOMI NEGARA?

 

 

 

 

BAJET 2024 semakin hampir. Apa yang kita sebagai rakyat harapkan daripada bajet ini? Penulisan saya minggu ini akan menyentuh kaitan di antara bajet dengan isu harta pusaka.

 

Acap kali saya dijemput untuk berdiskusi tentang isu ekonomi yang mencabar ketika ini melalui pelbagai seminar, forum dan bengkel.

 

Di saat dunia dan Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran, pelbagai formula sering dikemukakan bagaimana negara boleh terbela ekonominya dan sekali gus rakyat mendapat manfaat. 

 

Saya bukan ahli ekonomi jauh sekali boleh memberikan formula canggih bagaimana Malaysia boleh keluar dari pelbagai cabaran ekonomi sekarang.

 

Namun dalam semua perbincangan berkaitan ekonomi yang saya hadiri, saya rasa kecewa dan terkilan kerana isu relevan harta pusaka kepada ekonomi tidak pernah disentuh langsung.

 

Di Malaysia ada harta pusaka tertunggak pada anggaran nilai RM70 bilion. Majoriti daripada  harta ini ialah milik orang Islam (kerana majoriti penduduk negara ini orang Islam). Tertunggak di sini bermakna harta ini masih lagi berdaftar atas nama orang mati.


 

WasiyyahShoppe

 


Secara efektifnya, harta yang masih di atas nama orang mati itu tidak boleh dieksploit secara ekonominya baik untuk dijual, dipajak atau diusahakan bagi apa-apa kegiatan ekonomi, Ini kerana selagi harta pusaka itu tidak diturun milik dengan sempurna kepada waris-waris yang berhak, perbuatan ini  bertentangan baik dari sudut hukum mahupun undang-undang.

 

Majoriti dari harta pusaka ini ialah di dalam bentuk hartanah walaupun ada juga bentuk yang lain seperti tunai. Kita semua tahu bahawa hartanah adalah antara modal ekonomi yang penting dan bersifat semakin berkurangan (scarce).Ia boleh dibangunkan bagi pelbagai projek seperti  perumahan atau diusahakan bagi tujuan pertanian untuk menjana sumber makanan negara.

 

Hampir semua pakar ekonomi yang saya berkesempatan untuk berbincang memang langsung terlepas pandang potensi harta pusaka ini. Mereka bercakap tentang betapa Kerajaan mesti ada polisi dan hala tuju yang jelas untuk mencergaskan ekonomi domestik. Ini saya setuju sepenuhnya.

 

Mereka juga bercakap tentang betapa Kerajaan mesti memperuntukkan bajet bagi menjadi stimulus kepada ekonomi. Yang ini saya rasa agak tidak praktikal melihat kepada keadaan semasa.

 

Dalam keadaan hutang negara mencecah RM1.5 trilion dan sumber Kerajaan yang terhad, memperuntukkan bajet tertentu ialah sesuatu yang agak sukar dibuat.

 

Dalam keadaan kita tercari-cari apa penyelesaian untuk mendepani cabaran ekonomi semasa, kita ada harta pusaka sebagai sumber ekonomi ‘terbiar’ yang langsung tidak diberikan perhatian oleh sesiapapun.

 

Memperkenalkan insentif-insentif tertentu bagi menggalakkan waris memulakan prosiding harta pusaka dengan cepat seperti memberi insentif pelepasan cukai kepada harta pusaka atau pelepasan cukai kepada waris berkenaan yang mengeluarkan perbelanjaan mengurus pusaka melalui Syarikat Amanah berdaftar seperti Wasiyyah Shoppe Berhad ialah antara perkara yang boleh dilakukan Kerajaan.


 

WasiyyahShoppe

 


Harta pusaka seperti wang tunai jika dapat diuruskan proses tuntutan harta pusakanya dengan cepat, akan dapat digunakan oleh waris-waris untuk aktiviti ekonomi seperti modal perniagaan. Jika modal ini datangnya dari harta pusaka, Kerajaan boleh memberikan insentif lagi ke atasnya.

 

Begitu juga dengan harta pusaka di dalam bentuk hartanah. Jika ia digunakan di dalam bentuk koperasi keluarga, Yayasan atau disuntik ke dalam Syarikat bagi aktiviti ekonomi seperti perumahan atau pertanian, maka Kerajaan boleh memberikan insentif tertentu bagi tujuan menggalakkan harta pusaka itu dieksploit bagi tujuan ekonomi.

 

Insentif-insentif seperti ini pastinya akan menggalakkan waris-waris untuk berfikir bagaimana untuk menggunakan harta pusaka itu bagi tujuan penjanaan ekonomi dan bukan sekadar untuk dibelanjakan atau dijual sahaja. 

 

Waris-waris akan merasakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibubapa mereka itu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan mampu bertahan untuk tempoh yang lama.

 

Bagaimana strategi pewarisan berpanjangan ini boleh dibuat? Jawapannya ada di Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Kami boleh membantu menyediakan instrumen-instrumen berkaitan yang dapat memastikan harta pusaka ini bertahan lama sehingga beberapa generasi dan paling penting meminimumkan risiko perbalahan di antara waris-waris.

 

Kerajaan juga boleh memberi insentif kepada Syarikat Amanah yang menguruskan harta pusaka. Jika Syarikat Amanah ini dapat menyelesaikan proses tuntutan harta pusaka ini dalam tempoh yang pantas contohnya seperti 6 bulan dari tarikh pemfailan proses pusaka, maka diberikan insentif cukai pula kepada Syarikat Amanah  itu.


 

WasiyyahShoppe

 


Dalam masa yang sama, polisi yang bersifat regresif (bergerak ke belakang) seperti mengenakan duti setem ad valorem ke atas polisi takaful atau insurans yang diserahhakkan  (assigned) oleh pelanggan kepada Syarikat Amanah, perlulah dikaji semula.

 

Penyerahhakkan (assignment) polisi insurans / takaful kepada Syarikat Amanah ini adalah antara kaedah yang selama ini diguna pakai oleh industri bagi memastikan bahawa manfaat polisi itu boleh digunakan bagi tujuan menjaga kebajikan waris dan beramal-jariah. Apabila duti ad valorem ini dikenakan pada kadar yang agak tinggi, ia menyebabkan industri ini ‘terencat’ dan mundur ke belakang.

 

Saya faham kedudukan kewangan semasa Kerajaan memerlukan sumber kewangan baru dicari bagi menambah kantung perbendaharaan. Namun Kerajaan boleh melihat senario ini dengan lebih holistik dan bukan sekadar mengambil pendekatan mengenakan cukai di mana boleh sahaja.

 

Melepaskan harta pusaka dari ‘bebanan’ duti ad valorem dan memberikan insentif-insentif khusus akan menyebabkan harta pusaka yang terbeku RM70 bilion sekarang dapat dicairkan dan disuntik semula ke dalam ekonomi.

 

Waris-waris tidak perlu berharap kepada bantuan stimulus daripada Kerajaan pun jika mereka sudah pun mendapat modal yang mencukupi dari sumber harta pusaka ini. Hasil pulangan daripada penggemblengan harta pusaka ini bolehlah dicukai oleh Kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan atau cukai perniagaan.

 

Harta pusaka sebenarnya ialah satu bentuk modal yang sudah pun tersedia di depan mata kita tetapi kita terlepas pandang. Tidak perlu untuk rakyat terkapai-kapai menunggu bantuan Kerajaan bagi berdepan cabaran ekonomi sekarang.

 

Kerajaan perlu melihat penyelesaian pusaka ini sebagai salah satu dari kaedah untuk menjana ekonomi negara. Jika ada pakar ekonomi negara yang mahu meneroka potensi harta pusaka, saya sedia membantu. Hubungilah saya.

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews