Benarkah hukum faraid tidak ada kena mengena dengan tanggungjawab? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 03 Jul 2024 07:00 AM

BENARKAH HUKUM FARAID TIDAK ADA KENA MENGENA DENGAN TANGGUNGJAWAB?

 

 

 

SAYA memerhatikan dengan penuh minat satu aliran pemikiran yang sedang cuba dibawa ke dalam masyarakat berkaitan hukum faraid.

 

Golongan ini berkata, “Hukum faraid tidak ada kena mengena dengan tanggungjawab penerima bahagian itu. Walaupun dia tidak menjalankan tanggungjawabnya, dia tetap berhak ke atas bahagian itu.”

 

Golongan ini berpandangan sebegitu kerana ada juga golongan lain di dalam masyarakat yang membawa pandangan bahawa waris-waris yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid itu sebenarnya menggalas tanggungjawab tertentu, bukan sekadar menerima bahagian semata-mata.

 

Pada saya pandangan kedua-dua pihak ini sehingga  tahap tertentu adalah BETUL namun tidaklah kedua-dua pihak itu 100% betul dan tidaklah juga 100% salah.

 

Hak waris-waris mengikut hukum faraid memang wujud apabila pemilik harta itu mati dan ia WAJIB diberikan kecuali jika mereka bertakharruj (bersetuju melepaskan hak itu kepada pihak lain selepas mengetahui secara tepat nilai hak mereka yang dilepaskan).

 

Namun pandangan pihak yang satu lagi bahawa mereka yang menerima hak mengikut hukum  faraid itu mempunyai tanggungjawab tertentu kepada waris-waris lainnya juga BETUL.

 

Tidaklah pihak yang menerima itu semata-mata menerima kerana itu hak mereka. Ada tanggungjawab tertentu yang perlu dimainkan.

 

Namun jika mereka gagal menjalankan tanggungjawabnya, hak mereka mengikut hukum faraid itu tetap wujud dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.    

 

Minggu lepas selama 5 hari berturut-turut, saya berpeluang untuk membuat rakaman 39 siri dokudrama berkaitan harta pusaka.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Saya sebagai moderator dan panelis saya ialah Dato Sri Abd Rahman Md Yunos, mantan ketua Hakim Syarie Pahang. Beliau juga dikenali sebagai seorang pakar undang-undang kekeluargaan Islam di Malaysia.

 

Saya menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk mengupas topik berkaitan hukum faraid dan tanggungjawab waris-waris terutamanya dari sudut undang-undang Syariah dan proses perundangan di Malaysia serta mengaitkannya dengan kes-kes yang kami bincangkan di dalam siri-siri itu.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Di dalam salah satu siri, ia memaparkan kisah ayah yang telah lama meninggalkan isteri dan anaknya sehingga ke tahap si isteri memohon fasakh dan diluluskan oleh Mahkamah Syariah.

 

Selepas anaknya meninggal dunia (si anak tidak berkahwin) , si ayah ini muncul semula untuk menuntut harta pusaka si anak.

 

Memang hak mengikut hukum faraid si ayah itu wujud. Si ayah mewarisi 2/3 daripada harta pusaka si anak manakala bekas isterinya hanya mewarisi 1/3 sahaja.

 

Walaupun bekas isteri itulah yang telah bertungkus-lumus membesar dan mendidik anaknya, si ayah tadi tetap tidak boleh dinafikan haknya.

 

Kes ini ialah kisah benar yang saya sendiri yang temui beberapa tahun yang lepas. Bekas isteri ini sangat emosional, memaki hamun dan memarahi bekas suaminya kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya.

 

Walaupun si ayah ini telah tidak menjalankan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri dan anak, dia tetap berhak ke atas bahagiannya sebanyak 2/3 daripada harta pusaka anaknya itu.

 

Ulasan Dato’ Sri Abd Rahman tentang apa yang sepatutnya dibuat oleh bekas isteri ini adalah sangat menarik dan saya percaya TIDAK DIKETAHUI oleh masyarakat umum.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Katanya, si bekas isteri itu sepatutnya mendapatkan perintah nafkah daripada Mahkamah  Syariah sebaik sahaja suaminya telah hilang tanpa dapat dikesan di dalam tempoh tertentu.

 

Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah supaya si bekas suami ini menanggung nafkah bekas isteri dan anaknya sebanyak beberapa Ringgit setiap bulan (Jumlah ini adalah bergantung kepada pertimbangan Mahkamah Syariah). Memang benar si bekas suami itu tidak akan membayar namun perintah itu telah wujud.

 

Apabila si bekas suami itu muncul semula selepas beberapa tahun untuk menuntut harta pusaka bahagiannya daripada harta pusaka si anak, bekas isteri boleh mengemukakan semula tuntutan semua hutang nafkah yang tertunggak ke atas anak dan dirinya sendiri (sebelum Mahkamah Syariah meluluskan tuntutan fasakhnya).

 

Hutang nafkah ini boleh ditolak daripada bahagian harta pusaka 2/3 yang sepatutnya diterima oleh bekas suami itu.

 

Kaedah menuntut hutang nafkah daripada harta pusaka ini amat jarang dibincangkan di dalam masyarakat tetapi menurut Dato’ Sri Abd Rahman, ia adalah peruntukan yang ada di dalam undang-undang keluarga Islam dan boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah Syariah. Di dalam perkongsian ini, Dato’ Sri merujuk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah Pahang.

 

Kebiasaannya isu hutang nafkah ini dibincangkan bagi kes suami isteri bercerai dan bekas suami itu tidak menjalankan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada anak kandung.

 

Umum tahu bahawa jika bekas suami itu culas membayar nafkah anaknya dalam keadaan perintah Mahkamah Syariah telah diperoleh, maka perintah komital (melanggar arahan Mahkamah) yang membawa kepada hukuman penjara boleh dikenakan ke atasnya.    

 

Hutang nafkah ini juga boleh berlaku dalam keadaan ada anak-anak kandung telah mencuaikan nafkah kepada ibu bapa yang berada dalam keadaan kesusahan. Contohnya seorang anak sahaja yang mengambil tanggungjawab menafkah ibu bapa manakala anak-anak lain lepas tangan.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Anak yang menjaga ibu bapa itu boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah anak-anak lain untuk turut sama menafkahi ibu bapa sepanjang hayat ibubapa itu.

 

Sekiranya anak-anak gagal mematuhi perintah ini, maka perintah komital boleh dikenakan ke atas mereka sama seperti keadaan bekas suami isteri di atas.

 

Kehadiran perintah ini membolehkan hutang nafkah itu dipohon untuk ditolak daripada bahagian faraid harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh adik beradik itu.

 

Apabila saya tanyakan kenapa setakat ini tiada prosedur hutang nafkah ini dibuat daripada harta pusaka, jawab Dato’ Sri ia  tidak berlaku kerana ibu bapa atau adik yang menafkahi ibu bapa itu kasihan dan enggan meletakkan waris-waris lain dalam keadaan dikenakan tindakan undang-undang. Selain daripada itu, ia juga kerana mereka TIDAK TAHU hak mereka itu wujud.    

 

Dalam perbincangan yang lebih terperinci, Dato’ Sri menjelaskan bahawa inilah konsep TANGGUNGJAWAB yang terkait dengan harta pusaka itu.

 

Semua waris yang berhak menerima harta pusaka itu ada tanggungajawabnya masing-masing termasuk di dalam urusan nafkah ketika simati itu masih hidup.

 

Dato’ Sri juga menegaskan bahawa tanggungjawab itu bukan sekadar nafkah sahaja malah meliputi sehingga kebajikan, keselamatan, pendidikan (bagi anak yang masih belajar) termasuk ketenangan emosi. Begitu syumul dan lengkapnya Islam itu. Subhanallah.

 

 

parafrasa

 

 

Walaupun saya sudah terlibat selama 26 tahun di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka, namun saya tidak pernah bertemu dengan orang yang mengulas isu tanggungjawab yang terkait dengan harta pusaka ini secara komprehensif seperti Dato’ Sri.

 

Ia satu pengalaman yang sangat menarik.   

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews