BENARKAH NILAI HARTA PUSAKA BEKU RM90 BILION? ADA SESIAPA BOLEH SAHKAN?
SEHARI dua ini kecoh soalan ini berlegar di media sosial. Oleh kerana kebelakangan ini ‘engagement’ saya di media sosial memang agak terhad kerana keterbatasan waktu saya, saya terlepas pandang isu ini sehinggalah ia dibawa ke pengetahuan saya oleh seorang sahabat.
Harta pusaka beku ini bermaksud harta milik simati yang masih belum diuruskan dan diwariskan kepada waris yang berhak atau dalam kata mudahnya harta itu masih di atas nama simati. Contohnya ialah tanah, akaun bank, kereta, akaun koperasi, akaun tabung haji, akaun asb, asn dan harta-harta lain yang masih berdaftar di atas nama simati.
Persoalannya, benarkah harta pusaka yang terbeku yang meliputi kesemua jenis harta di atas itu bernilai RM90 bilion? Kalau benar siapakah pihak berkuasa yang mengeluarkan statistik tersebut? Wujud atau tidak satu agensi atau badan yang mengikuti rapat kesemua nilai bagi harta milik simati?
Di Malaysia sebenarnya tidak wujud mana-mana agensi atau badan yang mempunyai data tepat nilai keseluruhan harta pusaka ini. Semua nilai ini adalah anggaran sahaja. Jadi mengatakan bahawa agensi tertentu mengeluarkan kenyataan nilai harta pusaka terbeku keseluruhan di Malaysia itu sebanyak itu atau sebanyak ini, adalah tidak tepat langsung.
Dari satu sudut, saya bersetuju dengan pandangan bahawa nilai harta pusaka terbeku ini semakin meningkat kebelakangan ini terutamanya semenjak pandemik COVID-19 melanda Malaysia.
Setiap hari kita melihat kadar kematian purata 300 orang akibat COVID-19 sahaja. Ini tidak termasuk kematian oleh sebab lain seperti kemalangan, sakit jantung, diabetes, kanser dan sebagainya. Jika diandaikan hanya ada satu sahaja kematian yang berlaku di 149 hospital kerajaan (tidak termasuk hospital swasta kerana jumlahnya tidak saya ketahui), bermakna setiap hari hampir 450 kematian berlaku.
Tanpa mengira sama ada yang mati itu orang Islam atau bukan Islam, sekiranya setiap seorang itu meninggalkan harta pusaka dengan nilai purata RM100,000 setiap seorang, kita bercakap mengenai harta pusaka yang nilainya RM45 juta sehari! Ini jumlah yang besar.
Sekiranya kita buat pengiraan jumlah kematian ini hanya berlaku semenjak 1 Januari 2021 sahaja tanpa mengira kematian yang berlaku sebelum itu, nilai itu sudah pasti melebihi RM5 bilion!
Bagaimana pula dengan nilai harta pusaka terbeku sebelum 2021 dan sebelum? Kalau dicampur-campur pastinya nilainya lebih besar. Tetapi adakah ia bernilai RM90 bilion ? Saya tiada jawapan itu.
Kita boleh bermain dengan kira-kira dan andaian dalam menganggarkan nilai harta pusaka terbeku hari ini. Itu jugalah yang pernah saya lakukan di awal penglibatan saya di dalam industri perancangan harta ini.
Namun sudah bertahun lamanya saya tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan nilai harta pusaka ini kerana selepas begitu lama dalam industri, hakikatnya saya dapati tiada mana-mana pihak baik agensi kerajaan yang berkaitan ataupun pihak swasta, yang mempunyai statistik sahih dan rasmi tentang nilai keseluruhan harta pusaka tertunggak di Malaysia.
Kenapa pula tiada pihak yang mampu mengeluarkan statistik rasmi? Kerana ia hampir mustahil dilakukan.
Mengukur harta pusaka terbeku berdasarkan jumlah akaun terbeku yang dipegang oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia di bawah Akta Wang Tak Dituntut 1965 adalah kurang tepat kerana pemindahan wang ke Jabatan tersebut dari institusi kewangan dibuat ialah kerana akaun itu sudah ‘dormant’ atau tidak aktif selepas 7 tahun.
Akaun tidak aktif tidak bermakna tuan punya telah mati. Mungkin mereka hanya membuat keputusan untuk tidak menggunakan akaun itu.
Membuat andaian harta pusaka terbeku berdasarkan jumlah wang pencarum berusia 81 tahun yang KWSP hantar ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia di bawah akta yang sama juga tidak tepat kerana tidak semestinya pencarum ini sudah mati walaupun dia tidak menuntut wang carumannya di KWSP bila dia berumur 55 tahun.
Bagaimana pula hendak tahu pemilik sesuatu tanah itu pula sudah mati? Ini lagi mencabar.
Membuat andaian pemilik itu mati berdasarkan jumlah cukai tanah tidak berbayar juga tidak tepat kerana mungkin juga dia tidak mati. Tiada sesiapa juga yang secara tepat menilai tanah yang cukainya tidak berbayar itu jikapun diandaikan pemiliknya sudah mati.
Berapapun nilai harta pusaka terbeku yang pastinya bagi orang Islam kita sebenarnya memang perlu memandang secara serius kepentingan perancangan harta melalui hibah, wasiat atau instrumen lain.
Satu kerugian jika harta yang kita usaha dan kumpulkan puluhan tahun ini, gagal diwarisi dan kemudiannya terbeku tanpa memberi sebarang manfaat kepada sesiapapun.
Namun realitinya sama ada kita merancang atau tidak, kita semua tetap akan mati dan waris kita ditinggalkan dengan cabaran untuk melalui proses perundangan menuntut harta pusaka yang kita tinggalkan.
Jika kita merancang harta, proses itu akan menjadi lebih mudah kerana hasrat kita sudah didokumenkan dengan jelas mengikut peruntukan undang-undang atau hukum syarak.
Tetapi masyarakat kena ingat, walaupun ada dokumen perancangan harta, proses perundangan tetapi perlu dilalui. Membuat dokumen dengan syarikat amanah juga akan memastikan selepas kematian kita, ada pihak profesional yang akan membantu waris kita melalui proses perundangan itu.
Masyarakat tidak boleh dengan mudah menyalahkan pihak berkuasa kerana kononnya menyukarkan proses tuntutan harta pusaka dengan prosedur yang rumit sehingga menyebabkan harta pusaka terbeku berlaku.
Ada banyak kombinasi faktor yang menjadi punca masalah harta pusaka terbeku di Malaysia.
Bermula dari sikap acuh tidak acuh waris, ketidakfahaman waris tentang hukum dan hak yang menyebabkan perbalahan dan tiadanya permuafakatan antara waris, tiada waris yang mengambil inisiatif memulakan prosiding tuntutan kerana kejahilan tentang proses perundangan dan tiada masa, kos yang terpaksa dikeluarkan dan pelbagai faktor lain.
Tidak ada satu faktor pun yang secara eksklusif dan tersendiri menjadi faktor dengan pemberat paling utama menyumbang kepada masalah ini.
Pihak yang memiliki punca kuasa undang-undang membicarakan kes pusaka memang perlu cermat, berhati-hati dan mematuhi semua undang-undang dan hukum syarak yang berkaitan.
Soal harta pusaka bukan sahaja melibatkan undang-undang tetapi juga hukum dan hak waris. Jika dibicarakan secara semberono atas alasan ingin mempercepatkan proses, ada kemungkinan keadilan untuk waris yang berhak akan terjejas.
Kesimpulannya para pembaca sekalian, tiada pihak boleh mengesahkan secara tepat nilai RM 90 bilion itu.
Sampai masanya semua orang yang terlibat di dalam industri perancangan harta ini berhenti dari memainkan isu nilai harta pusaka terbeku.
Semua fokus dan tenaga hendaklah ditumpukan kepada mendidik masyarakat mengenai kepentingan merancang harta dan memahami aspek harta pusaka secara holistik.
KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH