CABARAN KONTEMPORARI DALAM URUSAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM HARI INI
SAYA penuh menulis sebelum ini tentang urusan harta pusaka yang semakin mencabar dan rumit di Malaysia. Minggu ini saya ditanya jika benar urusan ini semakin mencabar, apa yang perlu kita buat? Bagaimana kita ingin mengatasi cabaran-cabaran ini?
Sebagai orang Islam rakyat Malaysia kita kena faham bahawa cabaran-cabaran ini datang dalam dua bentuk iaitu Cabaran Tradisional dan Cabaran Kontemporari.
Cabaran Tradisional ialah cabaran yang selama puluhan tahun memang telah sedia membelenggu isu harta pusaka orang Islam seperti perbalahan waris, ketidakfahaman tentang hukum dan undang-undang berkaitan serta fi pengurusan harta pusaka yang mahal.
Cabaran ini memang telah puluhan tahun membelit dan membelenggu isu harta pusaka orang Islam di Malaysia.
Setakat pemerhatian sepanjang saya terlibat selama 26 tahun di dalam industri pengurusan harta pusaka di Malaysia, sehingga hari ini cabaran-cabaran itu masih GAGAL ditangani secara tuntas oleh masyarkat.
Cabaran inilah yang menyebabkan wujudnya puluhan bilion nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia.
Belum selesai kita mengatasi cabaran-cabaran tradisional di atas, datang pula Cabaran Kontemporari iaitu cabaran terkini yang berlaku kerana keadaan semasa.
Cabaran kontemporari ini datang terutamanya dari sudut perubahan dan pengenalan undang-undang baru yang terkait dengan semua isu penghartaan untuk orang Islam di Malaysia.
Faktor perubahan dan pengenalan undang-undang ini menyebabkan wujudnya tafsiran yang pelbagai terutamanya daripada hakim yang mengadili kes ini. Dalam situasi kes yang sama, keputusan hakim mungkin akan berbeza-beza.
Ada hakim yang membuat keputusan untuk mengesahkan sesuatu dokumen itu manakala ada hakim lain yang mungkin membuat keputusan untuk menolak pengesahan dokumen itu.
Bagi kes-kes berkaitan mal (harta) di Mahkamah Tinggi Syariah, kewujudan kepelbagaian keputusan bagi situasi kes yang hampir sama ini adalah biasa (common) kerana setiap kes adalah unik dan hakim mempunyai pertimbangan untuk membuat ‘ijtihad’ masing-masing.
Hakim di Mahkamah Tinggi Syariah tidak terikat dengan prinsip ‘precedent’ atau keputusan kes yang terdahulu mengikat kes yang akan datang. Kebiasaannya hakim di sini akan membuat keputusan berdasarkan maslahat kes, rujukan daripada kes-kes yang lepas, hujahan daripada para peguam yang bijaksana dan seterusnya mereka akan berijtihad.
Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim boleh sahaja memohon rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah.
Hakim-hakim yang bersidang di Mahkamah Rayuan Syariah pula kebiasaannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan luas di dalam undang-undang Syariah dan ahli akademik malah ada situasi hakim-hakim daripada mahkamah sivil yang telah bersara juga turut dilantik. Ini bermakna pandangan mereka lebih inklusif dan komprehensif.
Oleh kerana sifat setiap kes adalah unik dan tiada prinsip ‘precedent’ diguna pakai maka keputusan sesuatu kes itu hanya menjadi rujukan sahaja dan tidak mengikat kes-kes yang akan datang.
Namun situasi ini agak berbeza untuk keputusan di Mahkamah Tinggi Sivil. Atas prinsip ‘precedent’, apa-apa keputusan yang telah dibuat sebelumnya akan kuat mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat pada masa hadapan.
Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi Sivil, mereka perlu merayu kes ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Jika rayuan tidak dibuat atau gagal, maka keputusan kes itu akan kekal dan akan terus mengikat pada masa hadapan. Atas sebab itu kesan kes-kes seperti ini sangat signifikan.
Dari sudut teknikal, saya rasa kebanyakan pemain industri termasuk Wasiyyah Shoppe Berhad sudah mahir dengan kaedah bagaimana untuk menggabungjalin proses perundangan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil bagi menyelesaikan proses perundangan tuntutan harta pusaka untuk orang Islam.
Kami faham dengan jelas bidang kuasa (jurisdiction) di antara kedua-dua undang-undang ini.
Namun begitu bila wujud keputusan hakim yang menyebabkan isu bidang kuasa ini timbul, ia akan memberi cabaran yang besar.
Perkara 121(1A) Perlembagaan Malaysia memang telah menggariskan panduan bahawa setiap mahkamah sivil dan syariah itu mempunyai bidang kuasa eksklusif masing-masing.
Namun Perkara 75 Perlembagaan Malaysia pula menyebut bahawa jika ada undang-undang negeri itu tidak selaras dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri itu terbatal setakat mana ia bertentangan.
Jika kita melihat dari sudut teknikal undang-undang, inilah yang berlaku kepada kes yang terkenal itu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 itu terbatal kerana bertindan dengan undang-undang Persekutuan.
Secara peribadi saya faham bebanan tanggungjawab seorang hakim mahkamah sivil kerana mereka terikat ketat dengan tafsiran undang-undang dan perlembagaan walaupun kemahuan mereka sebagai seorang muslim mungkin berbeza.
Namun apabila ada keputusan kes-kes ini menyebabkan undang-undang Sivil dan Syariah bertembung, maka ia situasi yang mencemaskan kerana situasi kes Enakmen Kanun Jenayah Kelantan itu mungkin akan berlaku dan kali ini ia melibatkan urusan harta pusaka orang Islam pula.
Saya tidak bercadang untuk mengupas secara spesifik apa kes yang maksudkan di dalam artikel ini. Segala perbincangan akademik sedang berjalan ke arah mencari penyelesaian tuntas agar ia dapat memelihara undang-undang Syariah dan di dalam masa yang sama tidak bertembung dengan undang-undang sivil.
Kesimpulannya para pembaca sekelian, industri ini adalah satu industri yang dinamik. Tafsiran dan keputusan para hakim baik di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil mungkin akan berubah-ubah dari semasa ke semasa kerana perubahan atau pengenalan undang-undang baru.
Para hakim juga akan bertambah ilmu dan pengetahuan mereka berkenaan topik ini apabila ia semakin kerap diwacana dan dikupas secara ilmiah. Maka keputusan mereka juga akan berubah-ubah.
Atas sebab itulah saya selalu menasihatkan masyarakat supaya jangan ambil mudah isu pengurusan harta pusaka ini. Ramai yang beranggapan buat dokumen bukanlah susah sangat. Ramai juga yang beranggapan bila mereka sudah ada dokumen maka semua urusan sudah selesai.
Hakikatnya, walaupun sudah ada dokumen, urusan harta pusaka ini sentiasa berpotensi untuk berdepan pelbagai cabaran terutamanya cabaran kontemporari yang saya huraikan secara ringkas di dalam artikel ini.
Oleh itu buatlah dokumen anda dengan pihak yang benar-benar berpengalaman seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH