INGIN MENJADI DAEI PERANCANGAN HARTA SECARA SYARIAH? HATI KENA KUAT
MENCECAH tahun 2024, genaplah 26 tahun saya terlibat di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia.
Bermula dari tahun 1998, saya melihat dengan mata kepala sendiri dan melalui pengalaman peribadi bagaimana lanskap industri ini berubah dari setahun ke setahun.
Perintis industri ini yang masih hidup sehingga hari ini dan sezaman dengan saya semenjak 1998, hanya tinggal 2 orang sahaja (termasuk diri saya sendiri).
Kebanyakan yang lain sama ada sudahpun bersara, meninggalkan industri ini untuk membuat kerja lain ataupun sudah meninggal dunia.
Perintis yang saya maksudkan di sini ialah individu yang masuk jauh ke dalam masyarakat untuk bercakap tentang kepentingan perancangan harta, bercakap tentang hukum yang berkaitan dengan harta pusaka dan hukum faraid.
Mereka ini tidak dibayar gaji oleh mana-mana agensi Kerajaan sebaliknya melakukan kerja ini dengan tanggungan kos sendiri.
Perintis di sini juga saya maksudkan sebagai individu yang bersungguh-sungguh mendidik dan menunjukkan kepada masyarakat apa bentuk dokumen perancangan harta yang mesti dibuat untuk mencapai hasrat mereka dan membantu mereka membuat dan melaksanakan arahan-arahan di dalam dokumen-dokumen itu.
Perintis di sini juga saya maksudkan sebagai individu yang menggadaikan segala-galanya, masa, tenaga, keringat dan wang sendiri semata-mata untuk membantu masyarakat menyedari hakikat bahawa perancangan harta sebagai salah satu dari cabang maqasid syariah yang mesti dipandang serius.
Saya masih ingat, ketika saya mula membawa dakwah fiqh mawarith ini ke dalam masyarakat, saya dituduh membawa ajaran sesat kerana hibah katanya tidak wujud dalam Islam.
Saya dituduh mengajak masyarakat mengenepikan hukum faraid yang menjadi hukum asas Allah di dalam pembahagian harta pusaka Islam. Pelbagai tuduhan dan penghinaan dilemparkan kepada saya.
Bersusah-payah saya bermusafir ke seluruh pelosok Malaysia untuk bercerita tentang hukum faraid, hibah dan wasiat tetapi tidak mendapat sambutan malah dicerca pula.
Namun saya kekal dengan pendirian bahawa jika bukan kita sebagai orang Islam yang menegakkan ilmu fiqh mawarith ini, siapakah lagi yang akan memperjuangkannya. Pada saya kerja ini adalah ibadah fardu kifayah yang mesti saya perjuangkan walaupun bersendirian ketika itu.
Walaupun latar belakang dan pengalaman saya lebih kepada perbankan, namun saya mempunyai guru-guru yang pakar di dalam bidang fiqh mawarith.
Mereka inilah yang mendidik, membimbing dan membantu saya menguasai bidang ini. Mereka membantu Wasiyyah Shoppe Berhad membangunkan pelbagai perkhidmatan berkaitan.
Tugas saya ialah untuk secara sistematik memperkenalkan perkhidmatan ini kepada masyarakat dan memastikan perkhidmatan ini dapat dikuatkuasakan selepas kematian pelanggan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kalau saya nak ikutkan hati, saya boleh sahaja membuat kerja lain yang akan memberi saya pendapatan yang lebih lumayan dan kehidupan yang lebih selesa.
Kalau mahu dibandingkan hasil yang diperoleh daripada membuat kerja ini dengan segala penat lelah dan pengorbanan yang telah dicurahkan, pulangan kewangan membuat kerja ini memang tidak berbaloi langsung.
Namun saya melihat kerja ini sebagai satu amanah ilmu yang mesti saya lakukan. Allah telah merezekikan saya bertemu dengan guru-guru hebat ini. Menjadi tanggungjawab peribadi saya untuk memastikan amanah ini disempurnakan.
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya masih tegar berdiri kukuh di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran.
Ramai yang memandang dari luar beranggapan bahawa saya sudahpun berjaya berdasarkan apa yang mereka lihat.
Mereka sebenarnya langsung tidak tahu apa yang telah saya lalui, pengorbanan yang telah saya buat dan harga yang terpaksa saya bayar sehingga berada di tahap ini. Ia tidak mudah dan selalu mencabar kekuatan hati.
Syarat utama untuk menjadi dai’e di dalam industri perancangan harta secara Syariah ini pastinya ialah kekuatan hati.
Wasiyyah Shoppe Berhad yang saya asaskan kini telah pun menjadi peneraju di dalam industri ini. Kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad mempelopori industri ini menjadi inspirasi pula kepada syarikat-syarikat lain untuk muncul dan menawarkan perkhidmatan yang hampir sama dengan kami.
Kebanyakan daripada individu-individu yang bekerja atau menerajui syarikat-syarikat ini pula adalah ‘junior’ kepada saya di dalam industri ataupun pada satu ketika dulu pernah juga menjadi anak didik dan belajar daripada saya di Wasiyyah Shoppe Berhad sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Namun jangan salah sangka, saya tidak cemburu atau marah dengan kemunculan mereka kerana saya percaya lebih ramai orang yang bercakap tentang perkara ini lebih baik kerana kesedaran masyarakat akan menjadi lebih baik.
Asalkan saja mereka ini menyebarkan ilmu yang tepat dan membawa kebaikan kepada masyarakat, saya akan tumpang berbangga kerana saya tahu sedikit sebanyak, saya telah menyumbang ke arah itu.
Saya juga telah menghalalkan semua ilmu yang saya ajarkan kepada mereka kerana saya sangat percaya bahawa salah satu dari perkara yang tidak putus kepada anak adam ialah ilmu bermanfaat yang dikongsikannya untuk kebaikan masyarakat.
Apa sahaja ilmu yang mereka pelajari daripada saya, apabila ia disebarkan Insya-Allah saya akan mendapat ganjaran daripadaNya.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH