Integriti dalam kepimpinan menjamin kejayaan organisasi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 10 Jul 2024 07:00 AM

INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN MENJAMIN KEJAYAAN ORGANISASI

 

 

 

MINGGU ini kita lari sedikit daripada topik yang saya selalu ulas iaitu harta pusaka. Minggu ini saya nak ulas tentang topik integriti dan kaitannya dengan kejayaan sesuatu organisasi.

 

Saya tahu subjek integriti ini bukanlah satu subjek yang diminati ramai. Malah apabila saya kupas subjek ini di media sosial, yang ‘like’ tak ramai pun.

 

Mungkin kepada ramai pihak, integriti ini tidak penting atau ia hanyalah satu subjek yang bersifat akademik semata-mata. Di dalam realiti kepimpinan organisasi di Malaysia hari ini, memang integriti ialah elemen yang selalu dipandang remeh.  

 

Sebelum saya mengulas panjang berkaitan isu ini, saya ingin mengindemniti bahawa tulisan saya minggu ini tidak merujuk kepada mana-mana pihak. Ia adalah kupasan umum berdasarkan pemerhatian saya berkaitan isu kepimpinan organisasi mutakhir ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Hari ini sangat mudah untuk kita melihat contoh di sekeliling kita bagaimana pemimpin bercakap tentang sesuatu perkara yang JANGAN dibuat oleh orang-orang di bawah kepimpinannya namun secara jelas dan terang dia sendiri melakukan perbuatan yang dilarangnya itu.

 

Seringkali juga pemimpin bercakap tentang sesuatu peraturan atau nilai tertentu yang ahli di dalam organisasinya mesti patuh, namun dia sendiri sebagai pemimpin melanggarnya sesuka hati. Seolah-olah wujud ‘double standard’ dalam pelaksanaan peraturan.

 

Pelbagai janji juga dilontarkan oleh pemimpin namun sewenang-wenangnya janji itu dilanggar dengan memberikan pelbagai alasan kenapa janji itu tidak dapat dipatuhinya sendiri.  

 

Di dalam prinsip syarak ada disebut tentang konsep ‘al muslimuna ala shurutihim’ yang bermaksud seseorang muslim itu dipegang pada janjinya.  Seseorang muslim itu apabila dia berjanji maka wajiblah dia menunaikan janjinya itu. Ini ialah antara ciri-ciri akhlak seorang muslim. Dalam masa yang sama, dinukilkan juga bahawa antara ciri-ciri seorang munafik ialah apabila dia berjanji dia memungkirinya.

 

Pada tahap kepimpinan yang lebih mikro iaitu di dalam institusi keluarga, seringkali kita dapat melihat kejadian di mana ibu bapa yang selalu menasihati anaknya agar jangan berbohong tetapi dalam masa yang sama meminta anak-anaknya berbohong yang mereka tiada di rumah apabila ada orang memberi salam.

 

Biasa juga dilihat ibubapa mengharapkan anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, taat beribadat kepada Allah SWT serta berakhlak mulia namun dia sendiri secara terang-terangan tidak pernah solat atau berpuasa jauh sekali daripada membayar zakat atau bersedekah.

 

Contoh lainnya ialah kita mengharapkan anak-anak kita supaya taat dan berbakti kepada kita sebagai ibu bapa namun kita sendiri tidak taat dan berbakti kepada ibu bapa kita.

 

 

wasiyyah

 

 

Kerana sangat berleluasa dan tanpa rasa bersalah perbuatan tidak berintegriti seperti ini dilakukan, maka masyarakat menganggap integriti itu satu perkara yang remeh. Saya seorang Ketua Pengakap dan Pengakap DiRaja Negeri Johor pada tahun 80-an.  

 

Dari umur remaja, saya telah mendapat latihan dan pendedahan yang sangat berguna tentang integriti melalui Pengakap. Saya diajar bahawa manusia tanpa integriti itu ialah manusia yang tiada nilainya baik kepada diri sendiri, organisasi yang dipimpinnya, masyarakat malah tiada nilai juga di sisi Allah SWT.

 

Saya telah dilatih untuk tidak mementingkan diri sendiri, amanah di dalam menunaikan segala tanggungjawab, meletakkan kepentingan khalayak melebihi daripada kepentingan diri sendiri, menjaga adab pergaulan dengan ahli-ahli, menunaikan janji dan yang paling penting menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh ahli-ahli yang saya pimpin.

 

Semua ilmu ini saya terapkan di dalam kehidupan sehingga hari ini termasuk apabila saya memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Pada saya , integriti ialah subjek yang sangat relevan dibincang dan difahami kerana ia merupakan salah satu daripada formula kejayaan sesuatu organisasi. Apabila pemimpin itu berintegriti, ia meningkatkan juga keyakinan ahli-ahlinya mahupun orang ramai terhadap organisasi.

 

Pemimpin yang berintegriti menjadi contoh yang terbaik kepada ahli-ahlinya. Dia akan dihormati dan disayangi. Ahli-ahlinya akan berusaha bertungkus-lumus untuk membantu pemimpinnya mencapai sasaran yang telah ditetapkan bersama. Produktiviti yang paling optimum akan dihasilkan oleh pemimpin berintegriti.  

 

Kita perlu sedar bahawa ukuran organisasi cemerlang hari ini bukan sahaja dilihat daripada kecekapannya di dalam operasi, pelaksanaan strategi yang tepat pada waktu yang betul atau pengurusan yang baik malah lebih penting lagi organisasi itu mestilah mempunyai integriti yang diyakini masyarakat dan integriti organisasi itu dipelopori oleh pemimpinnya.

 

 

wasiyyah

 

 

Di dalam dunia hari ini, organisasi yang mempunyai integriti yang baik dilihat mempunyai nilai (value) dan kemampanan (sustainability) yang  tinggi.

 

Apa yang memeranjatkan organisasi ini bukanlah organisasi yang  ‘glamour’ dan berprofil tinggi. Antaranya ialah seperti Kao Corporation, Aflac dan Ecolab.

 

Apa maksud integriti di dalam kepimpinan organisasi?

Selain daripada ciri-ciri akhlak mulia yang saya sebutkan di atas, seorang pemimpin itu mestilah  mempamerkan konsistensi di dalam kepimpinannya. Apa yang  disebutnya mesti dikotakannya dan peraturan yang diperkenalkan itu mestilah wajib dipatuhi oleh semua orang, tanpa favoritisme tanpa kronisme.  

 

Pemimpin mesti ‘walk the talk’. Jika dia melarang ahli-ahlinya menyalahgunakan kuasa, dia mestilah menjadi orang pertama yang patuh kepada larangan itu. Inilah yang dikatakan kepimpinan melalui teladan. Bagaimana ahli-ahli akan patuh kepada arahannya jika dia sendiri dilihat melanggarnya.

 

Hakikatnya memang sukar untuk kita sendiri sebagai pemimpin untuk patuh kepada apa yang kita sendiri katakan. Ini kerana sebagai pemimpin, kuasa dan wang berada di dalam tangan kita.     

 

Integriti yang tinggi dan terpuji akan menjadikan sesuatu organisasi itu berdaya saing dan mampan di dalam jangka panjang. Adakah anda seorang pemimpin yang berintegriti ?

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews