JIKA ANAK-ANAK ANDA BERADA DI DALAM 4 KEADAAN INI, ANDA TIDAK PERLU AMBIL TAHU LANGSUNG TENTANG HARTA PUSAKA
SAYA sudah menulis lebih daripada 150 artikel di dalam kolum Anekdot Mawarith ini. Pelbagai tajuk telah saya sentuh dan kupas secara terperinci.
Malah saya juga pernah menulis di dalam Utusan Malaysia selama beberapa tahun menyentuh topik yang sama [editor ketika itu Sdr Johardy Ibrahim yang kini mengendalikan DagangNews.com].
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH
Kalau nak sentuh tentang ceramah, pembentangan kertas kerja, forum, bengkel dan seminar yang saya terlibat sebagai pembentang atau penceramah di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Turkiye, United Kingdom dan Qatar, saya sebenarnya tidak terkira dan ‘lost track’ bilangannya. Sejak 1998, anggaran saya mungkin lebih dari 5,000 acara.
Namun sehingga hari ini, di Malaysia saya masih berjumpa dengan masyarakat yang memberi respon dingin kepada saya dengan mengatakan, “Saya tak perlu bersusah-payah buat apa-apa perancangan harta sebab anak-anak saya semua bagus dan mereka pasti tidak akan berbalah perihal harta pusaka saya selepas saya mati nanti.”
Mereka sangat yakin yang harta pusaka yang bakal ditinggalkan tidak akan menyebabkan waris-waris berbalah kerana mereka telah memberi pendidikan dan kasih sayang terbaik.
Saya juga seorang bapa. Saya juga telah berjuang puluhan tahun membesar dan memberikan pendidikan terbaik dalam kemampuan kepada anak-anak saya.
Namun sebagai pelopor di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka Malaysia yang berpengalaman selama 26 tahun, saya juga sudah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana anak-anak yang kaya dengan sifat berkasih-sayang dan hormat-menghormati sesama mereka ketika ibu bapa masih hidup, berubah sekelip mata selepas mereka meninggal dunia.
Akibat harta pusaka, anak-anak ini yang dulunya baik dan lemah-lembut kini berbalah, memaki-hamun, bertumbuk malah yang ada sanggup sehingga berbomoh sesama mereka.
Saya percaya jika ibu bapa mereka masih hidup, mereka pasti sedih melihat keadaan anak-anak mereka. Saya sendiri beristighfar dan mengurut dada melihat kejadian seperti ini di depan mata.
Oleh itu secara sinis, jika ada ibu bapa yang memberikan respon seperti di atas kepada saya, saya akan menjawab bahawa mereka sebenarnya boleh untuk tidak ambil peduli tentang harta mereka sekiranya anak-anak mereka berada di dalam 4 keadaan berikut:
KEADAAN PERTAMA : Sekiranya semua anak-anak itu taraf pendidikan dan taraf kehidupannya sama, mempunyai pendapatan yang sama tanpa sebarang perbezaan (disparity) langsung dan sama-sama berjaya dalam hidup.
Jika keadaan ini dapat dicapai, maka pasti mereka tidak akan berbalah tentang harta pusaka yang bakal anda tinggalkan kerana tiada apa yang mereka mahu dengkikan sesama mereka.
Oleh kerana anak-anak ini semuanya kaya, maka mereka juga pastinya tiada sebarang masalah langsung untuk membayar fi pengurusan pusaka sehingga 5% daripada nilai harta pusaka yang anda tinggalkan itu ( tidak termasuk fi rampaian lain seperti fi guaman, fi perjalanan, fi pemfailan dan fi-fi yang lain ).
Mereka pastinya tidak juga akan menuding jari dan saling tolak-menolak apabila perlu membayar fi-fi ini.
KEADAAN KEDUA : Sekiranya sedari kecil ibu bapa telah berjaya mendidik anak-anaknya supaya menjadi zuhud dan langsung tidak mempunyai kehendak dan keinginan terhadap harta seperti wang tunai, hartanah, kenderaan dan sebagainya.
Apakah ‘litmus test’ yang boleh anda gunakan untuk menguji kejayaan anda mendidik anak-anak supaya zuhud dalam kehidupan?
Antaranya ialah ketika hari raya, cuba anda jangan belikan apa-apa baju baru untuk mereka. Adakah mereka akan merengek kerana melihat rakan-rakan mereka berpakaian baru atau mereka hanya tersenyum sahaja.
Jika anda telah berjaya di dalam aspek pendidikan ini dan telah diuji bahawa sememangnya anak-anak anda boleh hidup selesa dan tenang tanpa keinginan terhadap harta dunia, maka anda juga tidak perlu bimbang tentang harta pusaka yang bakal ditinggalkan kerana anak-anak anda akan redha sahaja dengan apa yang akan mereka terima daripada harta pusaka anda.
KEADAAN KETIGA : Sekiranya anak-anak anda semuanya merupakan orang yang sangat faham selok-belok urusan tuntutan harta pusaka baik dari sudut undang-undang sivil mahupun dari sudut undang-undang Syariah serta hukum syarak yang berkaitan.
Jika anda telah berjaya mendidik mereka sehingga mempunyai tahap kefahaman sebaik ini, anda tidak perlu bimbang langsung.
Anda boleh menaruh keyakinan penuh bahawa anak-anak anda faham sepenuhnya apa yang mesti mereka lakukan dan tidak akan melanggar hukum syarak.
Mereka tidak akan menuntut apa yang lebih daripada apa yang mereka berhak. Mereka tidak akan menuntut apa yang bukan hak mereka.
KEADAAN KEEMPAT: Sekiranya ketiga-tidak keadaan di atas telah berjaya anda capai, maka anda perlu juga memastikan bahawa pasangan kepada anak-anak anda juga berada di dalam tiga keadaan di atas.
Dari pengalaman, saya memang tahu secara tepat dan berfakta bahawa di dalam kes-kes tertentu, anak-anak simati mungkin boleh berkompromi dan bermuafakat secara baik namun peranan pasangan mereka pula menyebabkan kes harta pusaka itu berlarutan dan menimbulkan pelbagai konflik.
Namun jika pasangan mereka adalah sebaik dan sebagus anak-anak anda, anda bolelhlah yakin dengan seyakin-yakinnya bahawa harta pusaka anda tidak akan bermasalah.
Harta Terpijak
Para pembaca yang saya hormati sekelian, saya tahu anda faham bahawa keempat-empat keadaan yang saya huraikan ini adalah MUSTAHIL untuk dicapai.
Mungkin anda boleh mencapai satu atau dua keadaan itu namun untuk mencapai kempat-empat keadaan itu memang tidak realistik.
Di dalam dunia yang serba mencabar ekonominya, harga barang keperluan yang semakin menggila dan desakan kehidupan yang semakin meninggi, harta pusaka adalah HARTA TERPIJAK yang boleh menjadi faktor penyambung kehidupan yang kritikal untuk anak-anak anda.
Mereka akan berjuang berhabis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir bagi mendapatkan apa yang mereka fikirkan hak mereka ke atas harta pusaka anda.
Anda sangat yakin yang anak-anak anda akan boleh bermuafakat dengan baik selepas ketiadaan anda?
Atas sebab saya tidak fikir anak-anak saya berada di dalam EMPAT KEADAAN SEMPURNA di ataslah, maka saya telahpun merancang harta saya dengan baik melalui Wasiyyah Shoppe Berhad.