Kalau syarikat penyedia dokumen hibah sudah tutup pun tiada masalah. Siapa-siapa peguam pun boleh uruskan. Betulkah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 19 July 2023
WasiyyahShoppe

"KALAU SYARIKAT PENYEDIA DOKUMEN HIBAH SUDAH TUTUP PUN TIADA MASALAH. SIAPA-SIAPA PEGUAM PUN BOLEH BOLEH URUSKAN". BETULKAH?

 


 

MINGGU ini saya nak bercerita pula tentang impak membuat dokumen dengan pihak selain dari syarikat amanah.

 

“Ini kerana ada pihak yang mendakwa bahawa buat dokumen hibah dengan sesiapa pun tak kisah. Yang penting ada dokumen.

 

“Jika pun syarikat sdn bhd yang membuat dokumen hibah itu telah tutup kedai/ operasi ketika pelanggan mati, dokumen hibah itu tetap boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah. Apa yang perlu dibuat oleh penerima hibah ialah membayar mana-mana peguam untuk bawa kes itu ke mahkamah. Jadi tiada isu untuk membuat dokumen hibah dengan sesiapapun”.

 

Ramai dalam kalangan masyarakat tidak faham bagaimana dokumen hibah itu akan dikuatkuasakan mengikut undang-undang Syariah dan undang-undang berkaitan turun milik harta di Malaysia.

 

Masyarakat hanya berfikir bahawa bila dia sudah menyediakan dokumen hibah maka hibah secara automatik akan sah. Sangkaan ini sebenarnya salah!  Ada proses perundangan yang perlu dilalui sebelum sesuatu hibah itu sah.

 

Dokumen hibah ini perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan. Peguam perlu dilantik bagi mewakili pihak penerima hibah untuk berdepan dengan waris-waris lain yang bertindak sebagai defendan.

 

Peguam perlu berhujah di Mahkamah bahawa hibah ini sah dari segi rukun, syarat dan kandungannya itu mengikat berdasarkan hukum syarak yang berkaitan. Untuk tujuan pengesahan ini ada kos yang perlu dikeluarkan oleh penerima hibah.

 

Apa jadi bila syarikat ditutup?

Persoalan paling besar yang tidak diketahui masyarakat ialah apa jadi kepada pelanggan-pelanggan yang telah membuat dokumen hibah melalui syarikat sdn bhd ini jika ia sudah ditutup?

 

Selepas syarikat ini ditutup, siapakah yang akan membantu waris-waris pelanggan ini melalui semua proses perundangan yang berkaitan?

 

Siapakah yang akan menjamin bahawa waris-waris ini tidak akan dikenakan caj yang membebankan? Adakah peguam yang dilantik ketika itu yang tidak tahu hujung pangkal kenapa dokumen-dokumen ini didraf sedemikan rupa, mengetahui secara tepat bagaimana untuk berhujah di mahkamah?

 
 

fudzail

 


Syarikat sdn bhd hanya tertakluk kepada Akta Syarikat 2016. Untuk menutup operasi prosedurnya mudah. Syarikat sdn bhd hanya perlu membuat keputusan berdasarkan resolusi Lembaga pengarah sahaja.

 

Selepas itu, pelikuidasi dilantik (jika perlu) dan selepas selesai urusan ini, syarikat sdn bhd itu secara rasmi boleh menutup operasi (wind-up).

 

Ini bermakna Lembaga pengarah syarikat sdn bhd yang kebiasaannya adalah juga pemegang saham boleh pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai oleh mereka, membuat keputusan untuk menutup operasi. Mereka boleh menutup operasi apabila tidak lagi berminat ke atas perniagaan itu atau atas apa-apa sebab sekalipun.

 

Situasi ini sangat berbeza dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad kerana kami terikat dengan elemen kelangsungan kewujudan (perpetuity) seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100)

Peruntukan ini secara spesifik menetapkan bahawa jika syarikat amanah ingin menutup operasi (winding up), selain daripada proses yang tertakluk seperti syarikat sdn bhd, kami perlu juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Sivil untuk menutup operasi.

 

Di dalam mempertimbangkan permohonan ini, mahkamah akan melihat kepada aspek adakah syarikat amanah itu telah melaksanakan semua tanggungjawabnya kepada pelanggan. Sekiranya tanggungjawab itu belum diselesaikan, maka mahkamah tidak akan memberikan kebenaran untuk menutup operasi.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai lebih dari 80,000 pelanggan yang telah memberi amanah kepada kami untuk melaksanakan arahan-arahan mereka berkaitan harta dan harta pusaka. Jumlah ini juga semakin bertambah setiap hari.

 

Adalah mustahil Wasiyyah Shoppe Berhad akan berada di dalam situasi di mana semua tanggungjawab kami akan diselesaikan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, kalaupun kami ingin menutup operasi, adalah mustahil mahkamah akan membenarkannya. 

 

Kerana itu seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hanya syarikat amanah berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) sahaja yang dijamin undang-undang dari segi kelangsungan kewujudannya (perpetuity).

 

Kenapa pula  undang-undang menetapkan bahawa syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad mestilah mempunyai unsur-unsur kelangsungan kewujudan (perpetuity)?

 

Kerana peruntukan seksyen 8 Akta Syarikat Amanah memberikan bidang kuasa yang besar kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka, pemegang amanah harta, penjaga harta bagi anak bawah umur dan orang tidak waras fikiran, ejen pelaburan, ejen pungutan hasil,  pengurus harta alih dan tidak alih, penyimpan selamat dokumen, barang kemas, barang berharga dan pelbagai bidang kuasa lain.

 

Untuk melindungi kepentingan pihak-pihak yang berurusan dengan Wasiyyah Shoppe Berhad, akta ini telah memasukkan  unsur kelangsungan kewujudan (perpetuity) ini.

 

Ariffin atau mana-mana pemegang saham individu akan mati satu hari nanti namun Wasiyyah Shoppe Berhad perlu untuk terus wujud. Saya pernah bertemu dengan syarikat amanah yang berusia 150 tahun di Australia.   


 

WasiyyahShoppe

 


Saya yakin, elemen kelangsungan kewujudan (perpetuity) ini akan sangat melegakan kepada pelanggan kerana mereka mempunyai jaminan walaupun mereka mati 30 tahun akan datang pun, Wasiyyah Shoppe Berhad akan tetap berada di situ untuk memberikan perkhidmatan kepada waris-waris mereka, Insya-Allah.

 

Panel peguam Wasiyyah Shoppe Berhad yang berpengalaman dan berpengetahuan pastinya dapat berhujah dengan lebih baik di Mahkamah kerana mereka faham secara tepat kenapa dokumen itu didraf sedemikian rupa. Kepentingan waris-waris juga akan terjaga kerana mereka tidak akan terbeban dengan kos untuk urusan ini.

 

Semua bidang kuasa Wasiyyah Shoppe Berhad yang saya sebutkan di atas tiada kepada syarikat sdn bhd. Kerana itulah untuk menutup operasi syarikat sdn bhd jauh lebih mudah prosedurnya berbanding dengan syarikat amanah.

 

Daripada sudut perundangannya juga syarikat sdn bhd sebenarnya tidak boleh menjalankan operasi dengan bidang kuasa sama seperti syarikat amanah.

 

Semenjak 23 tahun lepas, saya secara istiqomah menekankan kepada masyarakat bahawa tiada gunanya kita mengeluarkan apa-apa belanja walaupun ia hanya semurah ayam gunting untuk membuat dokumen perancangan harta terutamanya hibah, jika syarikat sdn bhd yang membuat dokumen itu sudah tutup operasi dan tidak boleh membantu waris menerima harta seperti yang kita maksudkan.

 

Walaupun demikian, tiada undang-undang menetapkan bahawa anda hanya boleh membuat dokumen hibah melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja.

 

Jika anda merasakan sekiranya elemen jaminan perkhidmatan dan kelangsungan kewujudan (perpetuity) yang ditawarkan syarikat amanah ini tidak penting dan tidak mengapa jika dokumen yang anda buat semurah ayam gunting itu tidak boleh dikuatkuasakan, maka anda bebas untuk membuat dokumen dengan mana-mana pihak pun. Pilihan di tangan anda!      


 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

WasiyyahShoppe

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags