KENAPA MAK TIRI DAN ADIK TIRI PUN ADA HAK KE ATAS RUMAH KAMI?
Kisah ini diceritakan kepada saya oleh Lina (bukan nama sebenar). Dia menceritakan dengan penuh emosi bagaimana rumah tempat di mana mereka sekeluarga berteduh semenjak berpuluh tahun kini sedang dituntut oleh mak dan adik tirinya selepas kematian ayahnya.
Allahyarham ayahnya seorang usahawan terkenal yang berjaya. Ibunya seorang suri rumah dan dia merupakan anak perempuan tunggal pasangan ini.
Rumah itu dibeli ayahnya sejak tahun 1990-an pada harga RM1 juta, dan kini sudah pun bernilai hampir RM 5 juta. Rumah itu sangat banyak kenangan indah buat mereka sekeluarga dan sangat sentimental.
Namun hubungan mereka sekeluarga retak apabila ayahnya telah bernikah dengan setiausaha peribadinya sendiri di negara jiran dan pernikahan itu dan kemudiannya proses pengesahan pernikahan itu telah diselesaikan di Mahkamah Syariah di Malaysia.
“Ibu dan saya sangat kecewa dengan tindakan ayah tapi apa nak buat, pernikahan itu sudah pun berlaku dan kami terimalah takdirnya. Tapi kami tidak pernah berjumpa dengan isteri mudanya. Masing-masing membawa kehidupan sendiri,” ceritanya lagi kepada saya.
Bersama isteri muda, ayahnya telah mendapat seorang anak lelaki. Sebagai membuktikan rasa tanggungjawab untuk memberikan tempat perlindungan, ayahnya telah membeli sebuah kondominium dan meletakkan nama isteri mudanya sebagai pemilik.
Beberapa tahun lepas ayahnya telah meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia, ayahnya telah sempat memindah milik beberapa harta termasuk saham perniagaannya kepada Lina tetapi pindah milik untuk rumah banglo itu tidak sempat dibuat kerana kesihatannya yang semakin merosot.
Ketika ingin menguruskan harta pusaka ayahnya, mak tiri dan adik tirinya yang kini berumur 18 tahun menuntut hak mereka mengikut hukum faraid ke atas rumah banglo itu.
Mereka berkeras jika mahukan mereka melepaskan hak itu, Lina dan ibunya perlu menebus bahagian itu mengikut nilai semasa.
Nilai bahagian faraid yang dituntut oleh mak tiri dan adik tirinya ke atas rumah itu melebihi RM3 juta!
Lina dan ibunya tidak mempunyai wang tunai sebanyak itu untuk membayar. Sekiranya mereka tidak mampu membayar bahagian itu, maka mak tiri dan adik tirinya berkeras agar nama mereka dimasukkan juga ke dalam geran tanah itu selepas proses pengurusan pusaka itu selesai.
Apabila keadaan ini berlaku, bermakna rumah banglo itu sudah pun dimiliki bersama oleh Lina, ibunya, mak tirinya dan adik tirinya. Mana-mana dari mereka meninggal dunia selepas itu, waris-waris mereka mengikut hukum faraid pula akan mewarisi bahagian mereka.
Oleh kerana Lina ialah anak tunggal dan ibunya tidak mempunyai waris yang lain, apabila ibunya meninggal dunia pula, bahagian ibu itu akan diwarisi oleh Lina sebanyak ½ bahagian dan Baitulmal mengambil ½ lagi baki bahagian ibu Lina.
Bayangkan semua waris ini yang saling tidak mengenali antara satu sama lain secara rapat (termasuklah Baitulmal), akan berkongsi hak ke atas rumah itu yang pastinya akan terus meningkat nilainya pada masa hadapan.
Agak-agaknya senangkah pengurusan pewarisan rumah banglo ini pada masa hadapan? Adakah situasi ini yang dihasratkan oleh ayah Lina?
Selama 24 tahun saya bergiat di dalam industri perancangan harta ini, saya istiqomah tanpa jemu mendidik masyarakat bahawa dari semua harta yang kita miliki, rumah (hartanah) ialah harta yang paling kritikal sekali untuk dihibahkan.
Dengan menggunakan kaedah hibah, kita telah jelas siapakah yang telah memiliki rumah kita.
Hakikatnya nilai rumah semakin tinggi dari masa ke semasa. Jika ada waris yang ingin menebus hak waris lain (itu pun jika mereka bersetuju bahagian mereka ditebus), nilai yang terpaksa waris menebus bayar akan menjadi semakin mahal seperti di dalam kes Lina ini.
Jika ramai waris yang ‘ketegaq’ mahukan nama mereka dimasukkan juga ke dalam geran tanah selepas selesai proses pusaka, maka waris yang memiliki rumah itu akan menjadi semakin ramai.
Apabila mereka pula mati, waris-waris mereka pula akan mewarisi bahagian mereka. Mahukah anda rumah anda diwarisi oleh puluhan malah mungkin juga ratusan waris pada masa akan datang?
Saya ada bertemu tanah pusaka di mana waris yang terlibat adalah seramai 80 orang iaitu generasi ketiga dan keempat. Ramai dalam kalangan mereka tidak mengenali pun antara satu sama lain.
Walaupun nilai tanah itu tinggi kerana terletak di tengah Kuala Lumpur, waris dengan hak yang terkecil nilai bahagiannya tidak pun melebihi RM500!
Mungkin mereka tiada nilai sentimental terhadap tanah itu dan tidak mahu membuat apa-apa tuntutan hak terhadapnya, namun undang-undang tetap memerlukan persetujuan mereka diperoleh secara rasmi melalui semua dokumentasi berkenaan sebelum kes pusaka itu diselesaikan.
Mungkin kita boleh mengambil jalan mudah dengan mengatakan biarlah anak-anak kita membeli rumah mereka sendiri. Kita tak payah kalutlah nak hibahkan rumah untuk mereka. Anda ada melihat iklan-iklan rumah hari ini?
Saya selalu meneliti iklan-iklan ini dan saya dapati rumah teres tengah (intermediate) di kawasan luar Lembah Kelang yang mungkin jaraknya sekitar 30 -50 km dari pusat bandar KL, dijual pada harga paling murah RM450,000 untuk keluasan 20 x 70 kaki.
Mampukah anak-anak kita yang baru memulakan kehidupan dan bekerja dengan gaji RM3,000 ( itu pun kalau berjaya mendapatkan pekerjaan dengan gaji RM3,000 ) membeli rumah harga sebegini? Kalau anda tanya saya, saya akan katakan hampir mustahil!
“Tak payahlah cerita pasal pusaka ini. Waris-waris saya semua akan bermuafakat takkan gaduh punya. Mereka akan kenang jasa saya membesarkan diaorang. Faraidkan ada. ” Kata seorang selebriti apabila saya menceritakan komplikasi pengurusan pusaka kepadanya.
Ya hukum faraid memang lengkap dan sempurna namun cabaran paling besar kepada umat Islam dalam menguruskan harta pusaka hari ini bukanlah lagi tentang kaedah mengira faraid itu. Ramai ustaz dan guru yang bergiat aktif mendidik masyarakat dengan ilmu faraid hari ini.
Apa yang lebih mencabar kepada kita hari ini ialah kerana sikap waris dan ketidakfahaman mereka mengenai hikmah hukum faraid itu secara holistik.
Dipengaruhi sikap “harta ini aku punya dan kerana itu aku mesti tuntut”, mereka hanya nampak nombor tetapi tidak nampak elemen ihsan dan tanggungjawab kepada waris-waris lain terutamanya kepada anak yatim.
Kita bukan tidak percaya hukum faraid cuma kita kurang yakin dengan sifat tanggungjawab waris-waris pada masa hadapan. Hibahkan sahaja rumah anda.