KENAPA UMAT ISLAM WAJIB ELAK UNSUR GHARAR DALAM URUSAN HARTA PUSAKA?
RAMAI kawan bertanya kenapa saya selalu sentuh isu gharar dalam penulisan saya sebelum ini. Pemain lain dalam industri tak pernah pun bercakap tentang hal ini.
Sebenarnya memang terlalu banyak perkara yang tidak disentuh oleh pihak-pihak yang terkait dengan industri perancangan harta ini.
Lebih banyak pihak yang suka ‘oversimplify’ sahaja apa yang mereka buat. Contohnya ialah hujah “buat wasiat, urusan pusaka akan selesai dengan mudah.”
Mereka tidak menceritakan kedudukan wasiat melantik wasi yang tidak berkuatkuasa bagi kes-kes di Pejabat Pusaka Kecil (bagi harta pusaka bernilai kurang dari RM5 juta selepas pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 2021).
Mereka tidak menceritakan juga apa situasinya dan berapakah kosnya apabila wasiat melantik wasi yang tidak berkuatkuasa di Pejabat Pusaka Kecil itu dibawa pula ke Mahkamah Tinggi Sivil semata-mata kerana mereka mahukan kuasa mereka sebagai wasi dikuatkuasakan melalui geran probet (berbeza dengan Pejabat Pusaka Kecil, wasiat melantik wasi di Mahkamah Tinggi Sivil adalah berkuatkuasa).
Mereka juga tidak pernah secara telus menceritakan tentang berapakah kos pengurusan pusaka yang bakal dipotong daripada harta pusaka atau kos-kos lain yang mungkin perlu ditanggung waris seperti kos buka fail yang kebiasaannya dikenakan sehingga beberapa ribu ringgit sebelum mereka memulakan kerja.
Sebenarnya apa sahaja proses dan kos yang terlibat di atas, ia adalah perkara yang wajar memandangkan beban tugas yang perlu dipikul oleh pihak-pihak tersebut.
Namun semua perkara ini perlulah didedahkan secara telus dan terperinci supaya masyarakat tidak terkeliru dan merasakan seolah-olah urusan harta pusaka ini ada ‘kos tersembunyi’.
Mungkin pihak-pihak ini merasakan kalau mereka bercerita terlalu teknikal, masyarakat akan sukar memahaminya sehingga menyebabkan proses membuat keputusan oleh pelanggan akan menjadi lebih lambat atau lebih buruk lagi akan menyebabkan masyarakat tidak jadi untuk membuat wasiat melantik wasi.
Di Wasiyyah Shoppe Berhad, saya memilih laluan yang lebih sukar daripada kaedah ‘oversimplify’ ini. Saya memilih untuk menongkah arus industri semenjak 23 tahun yang lepas. Saya pilih untuk mendidik masyarakat dengan memberi kefahaman tepat tentang isu-isu harta pusaka.
Memang benar apabila pendekatan ini yang dipilih, proses ini akan menjadi panjang dan meleret.
Tidak asing untuk kami terpaksa mengambil masa berjam-jam lamanya untuk memahamkan masyarakat isu-isu teknikal seperti wasiat melantik wasi tidak berkuatkuasa di Pejabat Pusaka Kecil (kecuali jika dipersetujui waris), wasiat pembahagian harta pusaka kepada waris mengikut hukum faraid tidak sah (kecuali jika dipersetujui waris), proses perundangan di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil, proses pengesahan hibah, wasiat Islam dan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah dan segala kos-kos yang terlibat untuk kerja-kerja ini.
Semua maklumat ini perlu didedahkan secara penuh (full disclosure) supaya masyarakat faham sekaligus membuang persepsi bahawa urusan pusaka ini sentiasa ada ‘kos tersembunyi’ yang akhirnya akan terbeban kepada waris-waris.
Semenjak 1998 apabila saya menceburi bidang ini, saya dapati satu daripada sebab kenapa terlalu banyak kes pusaka tidak diselesaikan ialah kerana waris-waris tidak memahami proses perundangan dan hukum-hakam yang terlibat serta mereka juga bimbang isu ‘kos tersembunyi’ ini.
Di dalam fikiran waris-waris, sesiapa yang mengambil inisiatif untuk memulakan proses ini, secara tidak langsung dia jugalah yang perlu menanggung kos yang nyata dan ‘kos tersembunyi’ berkaitan.
Oleh itu, tiada sesiapa yang berani mengambil langkah pertama. Maka semakin bertambahlah kes-kes pusaka tertunggak di Malaysia.
Saya lebih suka mendidik masyarakat secara telus apa yang kami buat. Walaupun kerja ini akan menjadi susah, namun pada saya perkara yang paling penting ialah masyarakat tahu apa yang akan mereka tempuhi apabila mereka berurusan dengan Wasiyyah Shoppe Berhad.
Semua urusan di antara masyarakat dengan Wasiyyah Shoppe Berhad diakad dan dikontrakkan secara hitam putih dan jelas. Pelanggan kami akan tahu secara tepat apakah tanggungjawab mereka dan Wasiyyah Shoppe Berhad juga secara bertulis mengisytiharkan apakah tanggungjawab kami.
Semua elemen kos dinyatakan secara tepat tanpa sebarang ‘kos tersembunyi’. Prinsip asas yang kami pegang seperti yang ditetapkan oleh Panel Syariah kami ialah urusan muamalat mestilah telus, tepat dan dibuat secara reda-meredai dengan akad yang jelas.
Pelanggan tahu, faham dan reda membayar untuk perkhidmatan yang telah ditetapkan manakala Wasiyyah Shoppe Berhad juga reda untuk menerima semua tanggungjawab seperti mana yang dinyatakan di dalam kontrak. Semuanya jelas dan tepat. Tiada keraguan dan unsur gharar di dalamnya.
‘Kos tersembunyi’ dan proses yang rumit tetapi tidak diceritakan inilah yang menjadi elemen gharar di dalam urusan harta pusaka. Ringkasnya, gharar ini bermaksud ketidakpastian di dalam transaksi.
Para pembaca boleh ‘google’ untuk mengetahui lebih terperinci tentang huraian gharar kerana di dalam penulisan minggu ini saya hanya ingin ketengahkan kewujudan unsur ini dalam urusan harta pusaka.
Walaupun demikian, pandangan sama ada sesuatu perkara di dalam urusan harta pusaka seperti yang saya ceritakan di atas ini gharar atau tidak, ia tertakluk kepada panel syariah Syarikat masing-masing.
Setahu saya, setiap Syarikat terutamanya Syarikat amanah mempunyai panel syariah masing-masing yang faqih dan alim di dalam bidang ini serta bertindak mengikut peruntukan had kuasa (limit of authority) yang jelas.
Namun masyarakat harus berhati-hati kerana disiplin panel syariah ini mungkin tidak wujud di dalam syarikat sdn bhd yang juga tumbuh seperti cendawan selepas hujan di dalam industri ini.
Apa pun saya menghormati pandangan semua pihak. Mungkin kepada mereka, perkara-perkara yang saya huraikan di atas tiada unsur gharar dan tidak memudaratkan.
Di dalam penulisan ini saya hanya menceritakan tentang pandangan pihak kami tentang isu ini. Kami berpandangan mengelakkan diri dari berada di dalam keadaan gharar adalah lebih baik. Wallahuaklam.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH