Keuntungan bukanlah segala-galanya! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 06 Dec 2023 07:00 AM

KEUNTUNGAN BUKANLAH SEGALA-GALANYA!

 

 

MERENUNG kembali hampir 20 tahun yang lepas, apabila saya menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad tanggal  5 Mei 2004, saya tidak pernah menyangka organisasi ini akan pergi sejauh ini dan memberi impak signifikan seperti ini kepada masyarakat.

 

Pada ketika itu di dalam fikiran saya hanya fokus kepada satu tekad sahaja iaitu saya ingin membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh untuk merancang harta mereka mengikut kaedah Syariah.

 

Saya tahu terlalu banyak masalah yang wujud dalam urusan perancangan harta dan pusaka orang Islam di Malaysia.

 

Nilai harta pusaka tertunggak tak terurus yang mencecah RM32 billion pada tahun 2004 yang menjadi satu kerugian dari sudut ekonomi kepada ummah dan masalah waris yang bergaduh sesama sendiri akibat harta pusaka, menjadi motivasi kuat untuk saya bekerja kuat mencari penyelesaian kepada kemelut ini.

 

 

ariffin sabirin

 

 

Saya mengambil misi membantu umat Islam merancang harta bagi mengelakkan masalah-masalah ini berlaku sebagai misi peribadi hidup dan mati untuk saya.

 

Saya menggadaikan segala-gala yang saya ada ketika itu, wang, masa dan tenaga untuk memastikan misi ini berjaya.     

 

Bersama beberapa orang kakitangan, saya bekerja hampir 18 jam sehari mencuba sedaya upaya membangunkan pelbagai manual operasi, merancang strategi pemasaran dan kewangan mampan. Segala-galanya dibina dari kosong kerana tiada contoh yang boleh kami ikuti di dalam industri.

 

Dengan bantuan panel syariah yang berpengalaman pula, saya bertanggungjawab menerajui usaha membangunkan pelbagai produk pewarisan yang baru dan ‘alien’ kepada masyarakat pada ketika itu seperti hibah.

 

 

ariffin sabirin

 

 

Pelbagai mesyuarat, bengkel, muzakarah dan seminar dilalui untuk memformulasi bentuk perkhidmatan perancangan harta secara Syariah paling berkesan. Begitu banyak wang, masa dan tenaga dilaburkan untuk tujuan ini.  

 

Ketika itu saya mengembara ke seluruh pelosok Semenanjung Malaysia untuk bercerita tentang hukum faraid dan instrumen perancangan harta seperti hibah dan wasiat kepada masyarakat.

 

Ratusan surau dan masjid saya jejaki di seluruh Semenanjung Malaysia. Saya berceramah di ribuan organisasi Kerajaan dan swasta. Ketika ini, tiada sesiapa yang membayar saya untuk memberi ceramah. Saya terpaksa semua kos bersendirian.  

 

Pada ketika tertentu, dalam keadaan modal kehabisan, ketika bermusafir saya terpaksa tidur sahaja di dalam kereta kerana tidak mampu membayar hotel untuk penginapan. Makan pun sekadarnya sahaja untuk mengalas perut.

 

Pastinya makanan segera dan makanan ringan yang murahlah menjadi sasaran. Kerana itu, berat badan saya bagai dipam-pam sehingga mencecah 136kg!

 

 

ariffin sabirin

 

 

Saya bekerja 7 hari seminggu tanpa henti sepanjang 10 bulan pertama Wasiyyah Shoppe Berhad ditubuhkan. Namun semua usaha keras ini tidak menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

 

Tiga tahun pertama dari 2004-2007 ialah tempoh yang  sangat mencabar untuk saya. Segala pengorbanan yang dilakukan tidak mendatangkan hasil kewangan yang berbaloi dengan tenaga yang dicurahkan.

 

Walaupun saya berceramah di banyak tempat, mesej tentang kepentingan perancangan harta yang saya sampaikan kepada masyarakat ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

 

Tidak ramai orang yang membuat dokumen perancangan harta mereka dengan Wasiyyah Shoppe Berhad. Malah saya pernah dituduh membawa ajaran sesat kerana bercerita tentang hibah yang menurut mereka tidak wujud dalam al-Quran!

 

Saya bukanlah seorang agamawan atau berlatarbelakang undang-undang. Semenjak tamat belajar, kerjaya saya lebih banyak dibina di dalam bidang perbankan dan kewangan yang merupakan bidang yang saya pelajari di universiti. Saya juga pernah menikmati hidup yang jauh lebih selesa di dalam bidang kewangan ini.

 

Berdepan dengan pelbagai cabaran dan penolakan, pernah juga terlintas di fikiran saya untuk mengibar bendera putih dan menyerah kalah sahaja dari membuat kerja yang ‘sia-sia’ ini. Buat apalah saya nak berkorban jiwa dan raga semata-mata untuk membuat kerja yang bukan kepakaran saya pun dan tidak pula dihargai masyarakat.

 

Namun di saat perasaan berbolak-balik itu melanda, pelanggan pertama Wasiyyah Shoppe Berhad meninggal dunia. Mengikut SOP yang telah kami bangunkan, saya mengunjungi rumah pelanggan untuk bertemu keluarganya bagi membaca khutbah pusaka.

 

 

ariffin sabirin

 

 

Di rumahnya saya bertemu dengan ibu bapa, adik-beradik, balu serta anak-anak kecil Allahyarham. Perspektif kehidupan saya berubah selepas itu.

 

Wajah balu simati yang pada mulanya suram kembali bersinar-sinar apabila saya katakan kepadanya, “Puan jangan bimbang. Arwah suami puan pelanggan Wasiyyah Shoppe Berhad. Kami akan bantu Puan untuk melalui semua proses tuntutan harta pusakanya dengan sempurna dan Puan tidak perlu membayar apa-apa fi pun kepada kami. Perkhidmatan ini kami bagi percuma.”  

 

Momen paling saya ingati sehingga sekarang ialah apabila saya dan kakitangan saya menghantar Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian harta pusaka arwah suaminya selepas proses di Pejabat Pusaka Kecil selesai.

 

Si balu dengan linangan air mata mengucapkan terima kasih kepada saya sambil mencium dokumen-dokumen itu. “Dengan harta pusaka yang arwah tinggalkan ini dapatlah saya meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak yatim ini. Semoga Allah memberkati usaha tuan dan memberi ganjaran terbaik di atas jasa baik tuan kepada kami sekeluarga.”  Ucapnya sambil mengusap rambut anak-anaknya.

 

Dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas pertemuan bersama balu ini, saya pula yang bergenang airmata menahan sebak di dada. Saya tidak sangka di saat hati saya berbolak-balik sama ada ingin meneruskan perjuangan di dalam bidang ini atau tidak, Allah hadirkan kejadian ini untuk saya renungkan.

 

Baru saya faham bahawa perniagaan ini yang saya sangkakan  objektifnya ialah keuntungan sama seperti perniagaan lain, sebenarnya adalah lebih besar daripada itu.

 

Daripada kejadian ini, hati saya dijentik Allah untuk mengenalpasti bahawa kepuasan tidak terhingga saya sebenarnya ialah apabila saya tahu hasil kerja kuat saya, ada balu dan anak yatim yang akan dapat meneruskan kehidupan mereka dengan selesa asbab urusan harta pusaka si ayah atau si suami yang selesai dengan cepat dan secara percuma pula.

 

 

ariffin sabirin

 

 

Baru saya sedar bahawa Allah menjuruskan saya bekerja di dalam bidang ini bukanlah untuk membuat keuntungan semata-mata sebaliknya untuk menjadi pemudahcara untuk masyarakat.

 

Menoleh ke belakang, 20 tahun melalui perjalanan ini saya merasa puas bukan kerana Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya mencatat keuntungan memberangsangkan semenjak 3 tahun terakhir ini, namun lebih penting lagi kerana saya tahu Wasiyyah Shoppe Berhad bakal  membantu kelangsungan kehidupan waris-waris kepada lebih daripada 80,000 pelanggan kami apabila mereka meninggal dunia kelak.

 

Dengan nawaitu yang betul, keuntungan itu hanyalah sesuatu yang bersifat ‘incidental’. Sesungguhnya keuntungan bukanlah segala-galanya !   

 

 

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

dagangnews