Lebih ramai Daei diperlukan untuk bantu umat Islam merancang harta | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 4 October 2023

LEBIH RAMAI DAEI DIPERLUKAN UNTUK BANTU UMAT ISLAM MERANCANG HARTA

 

 

 

SABTU lepas, Wasiyyah Shoppe Berhad menganjurkan Konvensyen Daie Wasiyyah Shoppe Berhad untuk tahun 2022/23.

 

Kecuali pada tahun 2020 kerana kekangan COVID-19, Wasiyyah Shoppe Berhad tanpa gagal menganjurkan majlis ini setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan daie kami yang telah bertungkus-lumus sepanjang tahun membantu umat Islam merancang harta dan mengurus pusaka.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad ialah organisasi pertama di Malaysia yang menawarkan peluang keusahawanan di dalam industri perancangan harta secara Syariah kepada orang awam. Sebelum 2004, aktiviti pemasaran industri ini hanya dibuat oleh kakitangan Syarikat Amanah.

 

Saya faham hakikat bahawa untuk membolehkan lebih ramai masyarakat memahami manfaat merancang harta, pendidikan secara meluas perlu dibuat dengan berkesan. Untuk mendidik masyarakat pula, saya memerlukan ‘tentera’ yang ramai untuk membawa dakwah ilmu fiqh mawarith ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Saya ingin meminjam analogi ‘tentera’ ini sebagai penjelasan teori saya. Di dalam batalion tentera bukan semua orang berperang mengangkat senjata berdepan dengan musuh sebagai anggota infanteri. Ada yang bertindak sebagai tukang masak. Ada juga doktor perubatan dan pemandu trak di situ.  Semuanya memainkan peranan masing-masing. Semuanya penting bagi memastikan tentera itu berjaya dalam pertempurannya.

 

Menyedari hakikat inilah semenjak daripada 2004, saya menggalakkan seberapa ramai masyarakat untuk menyertai Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai daie tanpa mengira latarbelakang mereka. Pada saya semua daie ada peranan masing-masing. Asal saja mereka mempunyai niat yang betul iaitu mahu membantu umat Islam, saya terima semuanya.

 

Pada ketika itu kami menerima daie daripada pelbagai latarbelakang. Selain daripada golongan ustaz, ramai juga  yang bekerja sebagai guru, pegawai Kerajaan, pekerja swasta  malah petani dan pesawah pun ada.

 

Hari ini kebanyakan daripada daie kami ialah perancang kewangan yang bergiat di dalam industri unit Amanah, takaful, insurans, pelaburan dan hartanah.

 

Pada peringkat awalnya ramai yang menyertai kami sebagai daie merasa cuak dan sangsi bolehkah mereka membuat kerja ini kerana mereka tiada latarbelakang syariah mahupun undang-undang. Pada tanggapan masyarakat, hanya peguam dan ustaz sahaja yang layak bercakap tentang perancangan harta secara Syariah ini.

 

Saya sendiri pun sebenarnya hanya berlatarbelakangkan pengurusan perniagaan dengan pengalaman kerja hanya di dalam bidang perbankan. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran bahawa saya bahawa satu hari saya akan menerajui Syarikat Amanah yang bergiat di dalam industri perancangan harta yang saya langsung tidak mempunyai asas.  

 

 

wasiyyah

 

 

Namun dengan minat yang sangat mendalam saya menggali ilmu berkaitan dengan orang-orang bijak pandai di sekeliling saya semenjak 1998. Allah merezekikan saya pula dengan mempertemukan saya dengan orang-orang baik yang sentiasa menyokong visi saya dan sedia membantu. Ada di antara mereka yang telah pun meninggal dunia (semoga Allah mencucuri roh mereka)

 

Dari awal saya memang menjangkakan rasa tidak yakin ini akan timbul dalam kalangan daie kami. Kerana itu semenjak 2004 lagi, kami sudahpun membangunkan pelbagai modul latihan komprehensif yang boleh mereka lalui supaya mereka menjadi berpengetahuan dan mempunyai skil yang mencukupi untuk membawa dakwah ini dengan lebih berkesan. Pada saya ilmu boleh dipelajari.

 

Daie Wasiyyah Shoppe Berhad bukan sahaja didedahkan dengan ilmu berkaitan hukum faraid,  hibah, wasiat, harta sepencarian dan Amanah serta proses tuntutan harta pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Syariah, malah mereka juga didedahkan dengan ilmu berkaitan fiqh muammalat serta ilmu-ilmu ekonomi, pengurusan perniagaan dan pemasaran kontemporari.  

 

Selain daripada itu, melalui seminar-seminar yang dianjurkan, daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad juga mempunyai berpeluang bertalaqqi secara bersemuka dengan ahli-ahli Panel Syariah kami yang berpengalaman dan berpengetahuan luas di dalam bidang kehakiman syariah dan sivil, fiqh mawarith, undang-undang harta pusaka dan muammalat.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad menekankan kepada daienya bahawa usaha untuk mempelajari ilmu yang berkaitan mestilah dibuat secara berterusan. Aktiviti keilmuan sangat intensif di Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Kesemua latihan ini membolehkan daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad menyampaikan maklumat yang telus dan tepat kepada masyarakat. Masyarakat mesti tahu apa sahaja elemen pro dan kon sesuatu instrumen perancangan harta. Apabila mereka sudah faham, izinkan mereka membuat pilihan sendiri. Jangan disorokkan apa-apa maklumat daripada masyarakat.

 

Saya sangat percaya bahawa untuk membina kredibiliti jangka panjang, unsur ketelusan dan ketepatan maklumat ini sangat kritikal. Apabila maklumat yang disampaikan tidak tepat seperti hujah paling terkenal hari ini iaitu, “Buat wasiat semua masalah pusaka selesai.” dan masyarakat mengetahui hakikatnya, kredibitili individu yang menyampaikan serta organisasi itu juga akan musnah.   

 

Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai pengalaman yang mendewasa dan mematangkan,  hari ini saya berani mengatakan bahawa daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad merupakan penggerak industri yang paling berpengetahuan dan terdedah dengan pelbagai isu-isu teknikal industri. Insya-Allah mereka mampu menjawab apa sahaja pertanyaan berkaitan harta pusaka dengan tepat.

 

 

wasiyyah

 

wasiyyah

 

 

Apakah pula kepuasan saya di sini? Kepuasan saya paling maksimum ialah apabila saya tahu kerja keras saya selama hampir 20 tahun ini telah berjaya melahirkan ribuan daie-daie yang berpengetahuan dan mempunyai niat yang betul dalam membantu umat Islam.

 

Kepuasan saya terbit dari pengetahuan bahawa betapa daie-daie ini berjaya membantu lebih 80,000 orang Islam seluruh Malaysia merancang harta melalui Wasiyyah Shoppe Berhad.    

 

Melihat mereka naik ke pentas seorang demi seorang untuk menerima pelbagai anugerah ialah satu kepuasan yang tidak terhingga kepada saya. Mereka semua ibarat anak-anak yang saya latih dan bangunkan potensi dirinya. Alhamdulillah.

 

 

wasiyyah
Sesi penerangan Wasiyyah Shoppe di Kota Kinabalu, Sabah pada bulan September 2023.

 

 

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara ukhwah kami dan memberi persepaduan yang kuat untuk kami terus berjuang menegakkan fiqh mawarith di bumi tercinta ini.

 

Kami memerlukan lebih ramai orang Islam untuk bersama-sama kami sebagai daie.

 

 

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & Presiden Kumpulan Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews
Portfolio Tags