Mengurus Gen Z dengan berhikmat untuk produktiviti maksimum | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 17 Jul 2024 07:00 AM

MENGURUS GEN Z DENGAN BERHIKMAH UNTUK PRODUKTIVITI MAKSIMUM

 

 

MINGGU ini sekali lagi saya lari dari tajuk perbincangan biasa saya iaitu harta pusaka. Kita akan membincang tajuk kepimpinan yang kontemporari iaitu bagaimana kita mengurus Gen Z di dalam organisasi kita.

 

Di dalam struktur kepimpinan organisasi, sama ada kita suka ataupun tidak, golongan pihak pengurusan yang berumur melebihi 50 tahun akan mulai mengundur diri secara beransur-ansur.

 

Walaupun mereka mungkin cekap dan berpengalaman, namun sampai waktunya, mereka akan bersara dan keluar daripada organisasi.

 

Kepada pemimpin organisasi seperti saya, hari ini topik pelan penerusan perniagaan atau ‘business continuity plan’ perlu segera difikirkan.

 

Kita tidak mahu apabila pengurusan yang berumur ini berundur, ia meninggalkan satu kelompongan yang besar sehingga menjejaskan operasi organisasi.

 

 

hikayat

 

 

Saya sangat menyedari keadaan ini bakal berlaku kepada Wasiyyah Shoppe Berhad dan  kerana itu saya sudahpun menggariskan pelbagai strategi untuk berdepan dengan cabaran itu mulai hari ini. Antara strateginya ialah membangunkan bakat-bakat Gen Z yang banyak di dalam organisasi saya.    

 

Ramai kawan yang sebaya dengan saya dan duduk di dalam posisi kepimpinan organisasi selalu tertanya-tanya kepada saya bagaimana saya berhadapan dengan Gen Z.  Mereka berdepan banyak cabaran mengurus Gen Z dan sebahagian daripada mereka buntu.

 

“Budak-budak umur ini degil dan susah dikawal. Selalu langgar arahan, melawan cakap dan bertindak mengikut sesuka hati,” kata mereka.  

 

Mereka ingin tahu bagaimana saya yang berada di dalam kategori umur tua ini (lebih dari setengah abad) boleh memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad yang 80% ahli keluarganya ialah Gen Z yang berumur 30 tahun ke bawah.

 

Dengan komposisi umur sebegini di dalam organisasi, bagaimana pula Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membimbing Gen Z ini menyumbang secara produktif kepada organisasi yang seterusnya memberi impak posisif kepada prestasi kewangan kami.

 

Tahun Kewangan Terbaik

Untuk pengetahuan bersama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, kami mencatatkan prestasi kewangan yang terbaik dalam sejarah penubuhan Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 20 tahun yang lepas.

 

 

ariffin sabirin

Saya ialah orang yang paling tua di dalam Wasiyyah Shoppe Berhad. Barisan kepimpinan ketua-ketua jabatan Wasiyyah Shoppe Berhad seramai 15 orang majoritinya pula berumur di antara 28-50 tahun. Selebihnya ialah Gen Z.

 

Saya memang tahu daripada awal bahawa Gen Z ialah bakat-bakat baru yang mesti dipupuk dan dibangunkan bagi tujuan perancangan pewarisan (succession planning) di Wasiyyah Shoppe Berhad. Mereka ialah wajah dan masa depan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Pemimpin organisasi  hari ini perlu faham bahawa generasi ini membesar di dalam zaman yang sangat berbeza dengan kita. ‘Traits’ atau sifat mereka juga. Mereka tidak boleh dididik dengan cara kita membandingkan mereka dengan generasi kita.

 

Kita tidak boleh mendidik mereka dengan melontar ayat seperti, “Kami dulu terpaksa bertungkus-lumus dan berdisiplin untuk mencapai ke tahap sekarang. Kami dulu serius dan taat 100% kepada ketua kami. Barulah boleh berjaya,”

 

Kepada Gen Z ayat seperti ini tiada makna dan tidak relevan kepada mereka kerana hidup zaman generasi kita dan mereka terlalu jauh. Gen Z ini ibarat tahap anak-anak kita. Mengharapkan mereka mematuhi arahan semata-mata kerana kita adalah ketua mereka adalah hampir mustahil.

 

Perkataan ‘jangan’ tidak mendatangkan kesan kepada mereka.

 

Kalau kita tidak mahu mereka melakukan sesuatu perkara, kita perlu jelaskan kenapa perkara itu tidak baik untuk mereka. Begitu juga jika kita mahu mereka melakukan sesuatu arahan.

 

Mereka perlu diberi kefahaman kenapa arahan itu baik untuk dilakukan dan memberi manfaat juga kepada mereka.

 

Pemimpin ‘orang tua’ organisasi termasuk saya, perlu faham bahawa Gen Z  bukan golongan ‘yes man’ seperti kita pada zaman memulakan kerjaya dahulu yang sentiasa akan patuh atas dasar hormat kepada pegawai atasan atau orang-orang yang lebih tua daripada mereka.  

 

Kita kena faham Gen Z  boleh memperoleh semua maklumat di hujung jari sahaja, Mereka sangat ‘technology savvy’. Dalam masa yang sama generasi ini sangat peka dengan nilai (values ).

 

Mereka tahu membezakan apa yang salah dan apa yang benar. Ramai golongan tua seperti saya salah faham kerana kita menyangkakan Gen Z ini longgar dari sudut moral hanya berdasarkan kacamata kita.

 

Seperti dalam penulisan saya minggu lepas, saya sentiasa menegaskan di dalam organisasi pimpinan saya bahawa bahawa pemimpin perlu mempunyai integriti yang baik.

 

Atas neraca moral yang saya sebutkan di atas, Gen Z akan sangat menghormati pemimpin yang bertindak ‘betul’ dalam pemerhatian mereka.

 

Pemimpin yang sentiasa bertindak mengikut apa yang disebutnya sendiri, pemimpin yang menunjukkan teladan yang baik, pemimpin yang menghormati orang yang dipimpinnya, berkomunikasi dengan efektif, tulus, jujur dan amanah antara ciri pemimpin yang dipandang oleh Gen Z.

 

Contohnya jika pemimpin itu selalu melarang Gen Z daripada berpeleseran membuang masa di tempat kerja, pemimpin itu juga mesti dilihat bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawabnya.

 

Sebaik sahaja pemimpin melanggar disiplin ini, rasa hormat Gen Z kepadanya akan musnah dan susahlah mereka ini ingin dimotivasikan supaya bekerja dengan produktif.  

 

‘Respect is earned and not given’ ialah istilah yang tepat menggambarkan keadaan ini.

 

Sebagai contoh, saya kerap menasihati anak-anak saya Gen Z di Wasiyyah Shoppe Berhad supaya mengurus kesihatan dengan baik.

 

 

wasiyyah

 

 

Saya sendiri pun bersungguh-sungguh mengurus kesihatan saya supaya mereka dapat melihat contoh yang  baik daripada saya.

 

Malah saya juga tidak keberatan langsung untuk turun bersama-sama mereka bersenam dan berlari serta berpeluh-peluh bersama. Penglibatan aktif saya mendorong mereka untuk bersemangat dalam pengurusan kesihatan.     

 

Di dalam masa yang sama, saya kerap mengingatkan Gen Z ini bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai organisasi yang sedang  berkembang pesat, sentiasa melihat kepada bakat, usaha dan kreativiti mereka di dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Wasiyyah Shoppe Berhad ialah tempat menyemai dan menyuburkan bakat-bakat Gen Z.  

 

 

wasiyyah

 

wasiyyah

 

 

Mereka diberikan ruang untuk memberikan idea bagaimana tugasan yang mereka lakukan ketika ini boleh dilaksana dengan strategi yang lebih berkesan dan dalam masa yang sama menjimatkan sumber organisasi.

 

Apabila idea mereka ini berjaya memberikan impak positif, mereka akan diberikan ganjaran yang sewajarnya seperti kenaikan pangkat dan gaji.

 

Ada juga Gen Z yang telah dinaikkan pangkat dan gaji yang signifikan kerana sumbangan positif mereka. Saya tidak pernah kedekut atau berkira dalam hal ini kerana saya sangat faham bahawa Gen Z ini memerlukan pengiktirafan (recognition) sebagai faktor motivasi mereka.

 

Banyak lagi sebenarnya strategi yang telah, sedang dan akan saya laksanakan di Wasiyyah Shoppe Berhad bagi mengurus Gen Z ini.

 

Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja. Harapan saya ia dapat dijadikan panduan bagi pemimpin organisasi golongan tua seperti saya.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews