Menguruskan emosi waris lebih susah berbanding pengurusan undang-undang harta pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 24 July 2024

MENGURUSKAN EMOSI WARIS LEBIH SUSAH BERBANDING PENGURUSAN UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA

 

 

 

MINGGU ini kita kembali berkongsi cerita berkaitan harta pusaka.

 

Seperkara yang mesti difahami oleh masyarakat Malaysia ialah proses perundangan menuntut harta pusaka di Malaysia ini rumit dan penuh dengan pelbagai isu teknikal dan prosedur kecuali kepada mereka yang sememangnya berpengalaman dan berkepakaran di dalam bidang ini.

 

Dalam keadaan yang sedia mencabar ini, satu isu lain yang turut menghantui urusan harta pusaka ialah pengurusan emosi waris-waris.

 

Diceritakan kepada saya oleh seorang  ibu berkaitan kes harta pusaka anaknya.

 

Simati meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki di bawah umur 18 tahun dan ibu tersebut. Mengikut hukum faraid, hak isteri itu ialah 3/24, ibu simati mendapat 4/24 manakala baki 17/24 ialah bahagian si anak lelaki.

 

Nampak macam pembahagian harta pusaka ini kepada waris-waris yang berhak agak ‘straight forward’ dan tidak bermasalah kerana hanya melibatkan waris selapis sahaja. Tambahan pula hanya 3 orang waris sahaja yang terlibat.

 

Namun kes ini sebenarnya bermasalah kerana emosi yang telah terbina di antara si ibu dan menantu perempuannya.

 

Kadang-kadang saya selalu terfikir kenapa banyak kes pusaka yang saya jumpa, ibu mertua sering ‘berlaga angin’ dengan menantu perempuannya.

 

Kes bapa mertua berselisih dengan menantu lelaki, jarang pula kedengaran. Mungkin ini sesuatu yang kita perlu renungkan juga.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Si ibu ini bercerita betapa sepanjang hidupnya, si mati (anak lelakinya) sering bercerita tentang perangai isterinya yang selalu mengabaikan tanggungjawabnya kepada si mati. Makan pakai si mati tidak diurus dengan baik. Anak juga sering terabai dan terpaksa diuruskan oleh si mati. Malah si isteri yang bekerja sering pulang lewat malam ke rumah atas alasan sibuk.  

 

Si mati sering bercerita kepada ibunya betapa dia tidak bahagia dengan rumahtangganya dan tidak berpuas hati dengan isterinya. Dari lenggok si ibu ini bercerita, saya dapat meneka bahawa ada satu emosi negatif yang kuat telah terbina di jiwa dan fikiran si ibu berkaitan menantu perempuannya.

 

Si ibu bercerita betapa menantunya ini kerap keluar rumah di hujung minggu untuk berlibur dengan rakan-rakan sekerja manakala anak lelakinya terpaksa menjaga anak di rumah. Macam-macam keburukan diceritakannya tentang menantu ini. Saya hanya mengangguk dan mendengar dengan teliti.

 

Memang salah satu daripada ciri orang yang bekerja di dalam bidang ini ialah dia mestilah menjadi pendengar yang baik. Setiap kes itu unik maka pendekatan untuk menyelesaikan kes itu juga unik. Hanya dengan menjadi pendengar yang baik, kita mampu memahami kes dan memberikan penyelesaian yang tuntas. 

 

Di dalam kisah ini, sangat jelas bahawa si ibu beranggapan yang menantu perempuannya itu tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan baik dan kerana itu dia tidak boleh dipercayai untuk menguruskan harta pusaka simati.

 

Saya jelaskan kepadanya, hukum tetap hukum.

 

Maka semua pihak berhak mendapat bahagian masing-masing seperti yang ditetapkan di dalam hukum faraid seperti di atas. Sama ada dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri ataupun tidak semasa hidup suaminya, faktor itu tidak relevan.

 

 

wasiyyah

Jika benar sekali pun situasi itu berlaku, maka ia adalah dosa si isteri kepada suaminya dan Allah sahajalah yang akan membalasnya. Namun harta pusaka tetap perlu diagihkan kepada yang sepatutnya.   

 

Itu emosi negatif si ibu terhadap menantu perempuannya. Si menantu juga mempunyai kisahnya yang tersendiri. Dia bercerita betapa sepanjang perkahwinannya, si ibu mertua tidak putus-putus mencampuri semua urusan keluarganya.

 

Dia rasa tertekan kerana si ibu mertua sentiasa mencari salahnya dan tidak berpuas hati dengan segala tindak-tanduknya. Ada sahaja  yang tidak betul pada pandangannya.

 

Tambah memburukkan keadaan, si ibu mertua memperbesarkan pula keburukan si isteri ini kepada si mati.

 

Di pihak si isteri juga, emosi negatif telah terbina terhadap si ibu mertua. Apabila kedua-dua pihaak ini telahpun beremosi sedemikian, maka proses pengurusan harta pusaka yang telah tersedia rumit kerana prosedur dan dokumentatasinya, menjadi semakin rumit kerana kedua-dua pihak ini tidak boleh bermuafakat dan bertemu muka.

 

Perkara paling asas di dalam pengurusan pusaka ialah penentuan siapakah yang bakal menjadi pentadbir/ wasi kepada harta pusaka.

 

Pentadbir ini namanya akan dicetak di dalam Surat Kuasa Mentadbir (bagi kes di Pejabat Pesaka Kecil) atau Letter of Administration/ Grant of Probate (bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil).

 

 

wasiyyah

 

 

Pentadbir ini ialah orang yang mempunyai kuasa untuk menuntut harta pusaka simati yang tidak berpenama seperti akaun di bank, kenderaan dan harta-harta yang masih tidak boleh diturun milik seperti harta yang masih bercagar kepada bank.

 

Walaupun akhirnya pentadbir ini bertanggungjawab untuk mengagihkan semula harta-harta ini kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid, namun yang selalu menjadi pertikaian ialah sama ada pentadbir ini akan benar-benar beramanah di dalam menjalankan tanggungjawabnya.

 

Bagi kes si ibu mertua dan si menantu perempuan yang saya ceritakan di atas, perkara asas ini iaitu pelantikan pentadbir pun tidak dapat dipersetujui kerana emosi negatif yang telah terbina di antara mereka.

 

Kedua-dua pihak saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Jika urusan asas ini pun sudah tersangkut, urusan-urusan lain tidak boleh bergerak.  

 

Ada kes-kes yang saya ketahui telah memakan masa bertahun-tahun lamanya hanya untuk menentukan pentadbir sahaja. Cabaran lebih besar daripada ini sebenarnya ialah persetujuan berkaitan bagaimana harta pusaka ingin diagihkan.

 

Dalam kebanyakan kes pusaka yang saya temui memang menguruskan emosi itu lebih susah daripada menguruskan proses undang-undang berkaitan.

 

Saya menasihatkan si ibu mertua dan si menantu perempuan tadi untuk melihat kepada gambaran yang lebih luas. Kebajikan anak yang berumur di bawah 18 tahun itu mestilah diberikan keutamaan. Anak itu memerlukan peruntukan kewangan untuk belajar dan sara dirinya.

 

 

wasiyyah

 

 

Lebih cepat kedua-dua pihak membuang ego dan emosi negatif antara satu sama lain lebih cepat kes pusaka itu diurus dan lebih terjaga kebajikan anak itu.

 

Jika kesemua  pihak terlibat gagal mengurus emosi, kes pusaka ini akan tertangguh bertahun lamanya sehingga ada waris yang meninggal dunia dan jumlah waris terlibat semakin ramai.

 

Pemikiran “kalau aku tak dapat, biarlah semua  orang tak dapat” mestilah dibuang dari menjadi budaya masyarakat.

 

Bukan sahaja waris rugi bila keadaan ini berlaku, malah masyarakat dan negara juga tidak mendapat apa-apa manfaat.   

 

 

wasiyyah

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags