Pemimpin yang dihormati lebih berkesan di dalam memacu kejayaan organisasi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 18 Sep 2024 07:00 AM

PEMIMPIN YANG DIHORMATI LEBIH BERKESAN DI DALAM MEMACU KEJAYAAN ORGANISASI

 

 

 

SEPANJANG 183 artikel saya di Anekdot Mawarith yang lepas saya cukup banyak mengulas isu harta pusaka.

 

Jadi minggu ini, saya mengalih lagi perbincangan kita kepada isu kepimpinan di dalam organisasi. Kenapa saya sangat berminat dengan topik ini?

 

Kerana Malaysia sebagai sebuah negara sebenarnya mempunyai potensi bakat yang sangat baik untuk muncul sebagai antara negara terbaik di dunia, namun saya perhatikan potensi bakat ini mati, terbantut atau ‘distorted’ apabila bakat-bakat ini mulai bekerja di dalam sesebuah organisasi.

 

Apakah punca kepada keadaan ini? Salah satu daripadanya ialah kerana stail kepimpinan di dalam sesebuah organisasi itu.

 

Lebih ramai pemimpin yang lebih suka ditakuti dan dipatuhi membuta tuli berbanding dengan pemimpin yang berusaha keras menjadikan dirinya dihormati sebagai seorang pemimpin. Saya klasifikasikan pemimpin ini sebagai pemimpin gila kuasa.

 

 

hikayat

 

 

Generasi milennial atau Generasi Z yang merupakan antara kumpulan teramai di dalam tenaga kerja di Malaysia, di dalam pemerhatian saya, walaupun agak terdedah dengan trend media sosial terkini, namun tetap mempunyai nilai moral yang tinggi.

 

Mereka amat mudah untuk membezakan di antara buruk dan baik. Mereka dengan cepat dapat menilai  sama ada mereka mahu berada di bawah kepimpinan seseorang pemimpin itu atau tidak.

 

Generasi ini bersedia untuk meninggalkan organisasi itu pada bila-bila masa apabila mereka merasakan pemimpin gila kuasa ini menjadikan suasana kerja itu toksik dan mereka tiada masa depan di dalamnya.

 

Tentunya organisasi yang dipimpin oleh pemimpin seperti ini akan pekat likat dengan budaya mengampu, membodek, memijak dan menindas orang lain untuk mendaki tangga kepimpinan.

 

Prestasi kerja yang objektif bukan lagi menjadi ukuran penting di dalam penilaian sumbangan  seseorang di dalam organisasi. Sebaliknya penilaian prestasi kerja lebih bertumpu kepada siapa yang disukai oleh pemimpin.

 

Budaya ini seterusnya akan membawa kepada munculnya isu kronisme, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan skandal seks juga.

 

Apabila organisasi telah terpalit dengan pelbagai isu di atas, secara logiknya adakah organisasi itu akan mempamirkan prestasi yang terbaik? Adakah organisasi itu akan memberi manfaat kepada semua pemegang taruhnya? Jawapannya pastilah TIDAK.

 

Untuk menjadi pemimpin gila kuasa ini memang sangat mudah. Status sebagai pemimpin itu sendiri membawa konotasi seseorang yang mempunyai kuasa dan boleh menentukan kedudukan orang-orang yang bekerja di bawahnya.

 

 

wasiyyah

 

 

Seorang pemimpin yang baik dan lebih mementingkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan dirinya, akan faham bahawa menjadi seorang pemimpin yang dihormati lebih banyak manfaatnya kepada semua pihak berbanding jika menjadi pemimpin gila kuasa ini.

 

Saya ditanya oleh seorang rakan, bagaimana saya memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad yang majoriti kakitangannya ialah generasi milenial dan generasi Z untuk mencapai kejayaan yang lebih baik pada setiap tahun.

 

Semenjak saya memegang amanah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif daripada tahun 2019 sehingga ke tahun kewangan berakhir 30hb Jun 2024 yang lepas, kami telah mencatat peningkatan prestasi yang ketara setiap tahun.

 

Malah untuk tahun kewangan 2023/24 yang baru menutup tirai pada 30hb Jun 2024 yang lepas, kami telah mencatat prestasi kewangan yang terbaik semenjak penubuhan kami 20 tahun lepas.

 

Pendapatan syarikat meningkat 34% daripada tahun kewangan 2022/23 manakala keuntungan selepas cukai (pendapatan bersih) pula meningkat sehingga 78%!

 

Jawapan  saya ialah pastinya ‘TEAMWORK’ ! saya tidak akan berupaya membawa Wasiyyah Shoppe Berhad ke tahap ini jika tidak disokong oleh keseluruhan pasukan saya.

 

Pemegang saham, Lembaga pengarah, pasukan pengurusan, kakitangan dan daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad semuanya menyumbang kepada kejayaan ini. Namun untuk perbincangan di dalam artikel ini saya hanya merujuk kepada stail kepimpinan saya di kalangan kakitangan sahaja.  

 

Salah satu dari kaedah saya mendorong kakitangan untuk bekerja keras mencapai kecemerlangan ialah dengan saya secara sedar berusaha sedaya-upaya saya untuk menjadi pemimpin yang dihormati.  

 

 

wasiyyah

 

 

Bagaimana caranya untuk menjadi pemimpin yang dihormati? Salah satu daripadanya ialah memastikan saya berlaku adil kepada kakitangan saya.  

 

Maka diskripsi kerja (job description) dan indeks prestasi utama (Key Performance Index) ditetapkan secara objektif pada setiap tahun kewangan mengikut cabaran semasa yang telah dikenalpasti oleh syarikat. Kakitangan diberikan penerangan terperinci mengenai indeks ini dan apa yang saya harapkan daripada mereka.

 

Mereka tahu secara tepat apa objektif dan sasaran tanggungjawab mereka pada tahun berkenaan. Setiap tiga bulan (bagi kakitangan) dan enam bulan (bagi pengurusan) penilaian akan dibuat dan mereka akan membentangkan apakah yang telah mereka lakukan dan hasil daripada tindakan tersebut.

 

Setiap kakitangan tahu bahawa penilaian mereka bukan sahaja dibuat oleh ketua jabatan masing-masing malah dibuat secara kolektif di antara semua 14 orang ketua jabatan. Oleh itu mereka bukan sahaja perlu cemerlang di jabatan sendiri tetapi cemerlang juga di dalam penglibatan di seluruh syarikat.

 

Bagi ketua jabatan pula (pengurusan), mereka akan dinilai oleh 3 orang panel di dalam Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif yang dipengerusikan oleh saya. Jadi keputusan ini juga dibuat secara kolektif.

 

Tiada apa-apa keputusan akhir kepada penilaian prestasi kakitangan dan pengurusan boleh diubah oleh mana-mana individu selepas ia diputuskan termasuk oleh saya. Ini menjamin penilaian prestasi ini dibuat secara adil dan tepat.  

 

Dalam banyak keadaan keputusan penilaian prestasi ini akan selari dengan prestasi Wasiyyah Shoppe Berhad yang juga dinilai secara tepat bagi tempoh yang sama.

 

Dari sini saya akan tahu secara objektif sama ada apa yang mereka lakukan itu benar-benar telah menyumbang kepada prestasi syarikat atau mereka hanya ‘goreng’ sahaja. Saya telah tegaskan secara terbuka di dalam setiap sesi ‘engagement’ dengan subordinat bahawa saya tidak boleh ‘dibodek’ atau diampu.

 

 

wasiyyah

 

 

Kakitangan Wasiyyah Shoppe Berhad yang mencapai markah penilaian paling tinggi pada tahun ini mendapat bonus sehingga 6 bulan gaji manakala purata kakitangan yang cemerlang mendapat 2 bulan bonus. 6 orang yang paling cemerlang di kalangan  mereka pula saya hantar untuk bercuti ke luar negara secara percuma. Kakitangan gembira dan saya juga berbangga melihat kejayaan yang mereka telah capai.

 

Bonus saya pula bagaimana ? Keputusan untuk bonus saya pula ialah keputusan Lembaga Pengarah.

 

Pada saya ia tidak penting kerana yang lebih memuaskan kepada saya ialah melihat kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad dan  kakitangan saya menikmati hasil daripada kerja keras yang telah mereka sumbangkan.

 

Pemimpin yang objektif dalam penilaian prestasi kerja kakitangannya akan dihormati. Walau kita tidak berada sepanjang masa untuk memantau kerja mereka, kita tahu mereka akan bertindak bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan kerana prestasi mereka dihargai.

 

Memang banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menjadi pemimpin yang dihormati berbanding pemimpin gila kuasa. Namun manfaat menjadi pemimpin yang baik kepada organisasi memang tidak dapat dinafikan.

 

Pemimpin yang dihormati akan disayangi dan kakitangannya akan sanggup berkorban apa sahaja untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Pada saya lebih baik kita dikenang sebagai seorang yang baik berbanding diingati sebagai seorang yang dibenci!

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews