SELEPAS MATI, SAYA TIDAK MAHU KES HARTA PUSAKA SAYA DISIARKAN DI DALAM AKHBAR !
SEORANG Tan Sri membisikkan ayat ini kepada saya sejurus selepas saya selesai mengendalikan akad hibah di antaranya dengan anak cucunya.
Dia berbisik begitu ketika duduk minum di sebelah saya sambil tersenyum memerhatikan gelagat keluarganya bergurau senda sesama mereka.
“Saya mahu hubungan mereka kekal harmoni begini walaupun selepas kematian saya. Saya tidak mahu harta yang bakal saya tinggalkan nanti menjadikan asbab keluarga saya musnah.” Sambungnya dengan suara yang lembut.
Ini bukanlah kali pertama saya berjumpa dengan orang sebegini. Orang yang sangat faham bahawa harta dan anak-anak itu adalah fitnah (ujian) seperti yang diperingatkan oleh Allah SWT kepada kita di dalam Surah At-Taghabun ayat 15 : “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan disisi Allah jualah pahala yang besar.”
Orang begini sangat faham bahawa harta yang dikumpulnya sepanjang umur itu jika tidak diurus dan dirancang dengan baik, bakal menjadi ujian yang hebat kepadanya baik semasa dia masih hidup mahupun selepas dia mati.
Tan Sri ini sudah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas dan harta pusakanya juga telah Wasiyyah Shoppe Berhad uruskan sehingga semuanya selesai. Anak-anak dan cucu-cucunya telah pun menerima semua harta yang dimaksudkan untuk mereka seperti arahan ayah/datuk mereka.
Ketika melalui proses ini, memang ada ‘percikan api’ yang cuba diwujudkan sebahagian waris. Ada yang tidak puas hati kenapa orang ini mendapat harta ini sedangkan mereka mendapat harta itu yang pada persepsi mereka pembahagian itu kurang adil.
Oleh kerana kes ini diuruskan sendiri oleh saya, ada antara waris yang menghantar mesej bernada ugutan kepada saya kerana menurut mereka saya telah berkomplot dengan waris lain untuk membolot harta pusaka ayah mereka.
Selain daripada ugutan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas saya secara peribadi, mereka juga mengugut untuk menyihir saya!
Namun kerana Wasiyyah Shoppe Berhad telah membantu Tan Sri ini untuk membuat perancangan hartanya dengan teliti, patuh sepenuhnya kepada Hukum Syarak, undang-undang Syariah dan Sivil yang tersedia dan mencakupi parameter yang paling maksimum serta pelaksanaannya juga dilakukan dengan teliti dan cekap, maka semua perbalahan dan komplikasi perundangan dapat diminimumkan.
Waris-waris ini akhirnya faham dan menerima semua bentuk perancangan harta yang telah dibuat oleh ayah/datuk mereka. Hasilnya, semua harta dapat ditransmisikan kepada pihak yang berhak dengan mudah, cepat, di dalam masa yang secara relatifnya singkat. Apa yang lebih penting, hubungan waris-waris yang pada mulanya kelihatan tegang, dapat diharmonikan kembali.
Untuk bab sihir itu pula, saya serahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan Alhamdulillah Allah memelihara saya daripada segala mara bahaya. Tan Sri ini memang seorang yang bijaksana kerana dia yang mengenali anak cucunya tahu apakah risiko yang bakal berlaku sekiranya dia tidak membuat perancangan harta.
Masih segar dalam ingatan saya, Tan Sri ini berkata dia faham bahawa lagi banyak harta yang ditinggalkannya, lagi besar potensi perbalahan yang mungkin wujud dalam kalangan warisnya dan dia tidak mahu nama baik dan reputasinya tercalar walaupun selepas dia mati.
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan cerita kes pusaka Allahyarham ini tidak keluarpun di dalam mana-mana media kerana semuanya berjalan lancar.
Beberapa hari lepas, saya berkesempatan bertemu dengan seorang hamba Allah yang terkenal sebagai seorang usahawan yang berjaya di Malaysia. Di dalam pertemuan yang singkat itu, hamba Allah ini berkata bahawa dia telah membuat perancangan harta untuk semua hartanya.
Jadi segalanya telah selesai dan dia ‘got everything under control’. Saya tidak sempat untuk bercerita secara terperinci dengannya kerana dia juga kelihatan tergesa-gesa.
Dari pengalaman 26 tahun saya dalam bidang ini, saya telah berjumpa dengan banyak jawapan seperti ini terutamanya daripada golongan terpelajar dan berharta. Saya teringat respon sama yang pernah saya peroleh dari seorang hamba Allah lama dahulu.
Katanya kepada saya para peguamnya yang berpuluh orang di sekelilingnya telah menasihatkannya apa yang perlu dibuat dan dia telah pun mengambil tindakan yang sesuai. Jadi tidak perlulah dia berurusan dengan Wasiyyah Shoppe Berhad. Semuanya sudah ‘settle’ katanya.
Selang beberapa tahun selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada salah seorang anaknya yang memberitahu saya bapanya telah meninggal dunia.
Dia juga bertanya apakah bentuk dokumen perancangan harta yang telah dibuat oleh bapanya dengan Wasiyyah Shoppe Berhad sebab menurut si anak, bapanya ada memberitahu yang dia telah berjumpa Wasiyyah Shoppe Berhad bagi urusan ini.
Saya terperanjat dan tercengang kerana arwah bapanya ketika saya bertemu dengannya berkata bahawa segala-galanya telah ‘settle’ melalui puluhan peguam yang berada di sekelilingnya. Di dalam rekod kami, bapanya bukanlah pelanggan kerana tidak pernah menggunakan perkhidmatan perancangan harta kami.
Namun saya tidak menyalahkan para peguamnya. Mungkin juga mereka telah menasihati hamba Allah ini tetapi tiada tindakan diambil.
Mungkin juga di hadapan para peguamnya, dia berkata semuanya sudah selesai kerana dia sudah berjumpa dengan Wasiyyah Shoppe Berhad. Di hadapan anak-anaknya juga dia berkata demikian. Namun di depan saya pula dia berkata para peguamnya telah menguruskan segalanya!
Pada saya golongan ini kurang memberi perhatian bab perancangan harta kerana mereka sentiasa memikirkan bahawa akan sentiasa ada masa untuk mereka pada masa depan.
Mereka merasakan ajalnya sentiasa jauh lagi. Jadi lebih baik mereka luangkan masa mereka untuk mengumpulkan seberapa banyak harta yang boleh.
Mereka juga sentiasa ‘mengandaikan’ bahawa waris-warisnya tiada masalah untuk bermuafakat tentang hartanya selepas dia mati walaupun di dalam hati mereka tahu isteri-isteri mereka (biasanya golongan ini beristeri lebih dari satu dan kebiasaannya pernikahan nombor dua dan seterusnya berlaku di negara jiran tanpa diketahui isteri dan keluarga pertama) dan anak-anak daripada isteri-isteri ini, hari ini ketika dia masih hidupun sudah tidak bertegur-sapa dan bermasam muka.
Saya sebenarnya kasihan dengan golongan ini. Mereka tidak faham (sebenarnya lebih kepada enggan faham) hakikat ujian seperti yang Allah ingatkan di dalam ayat di atas.
Golongan ini bila mati kelak, akan menyumbang secara signifikan kepada statistik kes pusaka tertunggak yang sedia ada di Malaysia.
Sungguh malang apabila Allah telah memberikan kurniaan rezeki yang melimpah ruah kepada kita namun selepas kita mati, harta itu tidak membawa sebarang makna baik kepada diri kita sendiri sebagai tuanpunya harta, waris-waris kita, ummah dan negara.
Bertindaklah untuk merancang harta anda seberapa segera yang boleh melalui Wasiyyah Shoppe Berhad kerana kita tidak tahu bila kita akan dipanggil pulang!
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH