Seluruh dunia faham wasiat untuk orang Islam hanya terhad kepada 1/3 sahaja | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 12 June 2024

SELURUH DUNIA FAHAM WASIAT UNTUK ORANG ISLAM HANYA TERHAD KEPADA 1/3 SAHAJA

 

 

 

KETIKA artikel ini ditulis saya sedang bermusafir di bumi Oman dan UAE. Sudah 10 hari saya bermusafir untuk menghadiri pelbagai perbincangan dan mesyuarat.

 

Walaupun bersenam secara berkala dan mengawal pemakanan sebaiknya, badan sudah rasa lemau dan fikiran pun sudah kepenatan namun saya rasa sangat seronok. Mungkin kerana saya sudah hampir sebulan tiada hari rehat.

 

Namun saya sangat bersyukur kerana direzekikan oleh Allah SWT untuk mengembara ke seluruh dunia bagi menyebarkan ilmu fiqh mawarith.

 

Sebelum ke sini, saya juga ke Maldives atas tujuan yang hampir sama.

 

 

anekdot mawarith
Perbincangan bersama BML Islamic Bank Maldives

 

 

Permusafiran ini bukan sahaja memberikan perspektif keilmuan baru kepada saya malah memberi juga perspektif kehidupan yang baru. Ia membawa saya kepada berfikir, apakah sumbangan kita kepada dunia sebelum kita meninggalkan dunia ini.

 

Seperti kata pepatah, lain padang yang belalang. Di negara-negara ini saya bertemu dengan cabaran baru terutamanya dari sudut pandangan pelbagai mazhab berkenaan dengan hibah.

 

Dengan bantuan sahabat saya, Kemal Rizaldi Arbi di Oman, saya berkesempatan bertemu dengan Penolong Mufti Besar Oman, Sheikh Dr Kahlan Al Kharusi di Muscat. Kami berbincang panjang hampir 2 jam berkenaan dengan isu harta pusaka umat Islam.

 

Sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap isu-isu agama di Oman, Sheikh Dr Kahlan menerangkan tentang situasi isu harta pusaka dan pemakaian undang-undang di Oman, perancangan strategik Oman khususnya di dalam pendigitalan undang-undang Syariah, perkembangan kewangan Islam di Oman dan beliau juga mencadangkan beberapa tindakan susulan yang boleh dilakukan Wasiyyah Shoppe Berhad untuk berkongsi ilmu ini di Oman.

 

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana berkesempatan mendapat ‘insight’ yang sangat terperinci daripada beliau.

 

 

anekdot mawarith
Perbincangan bersama Penolong Mufti Besar Oman, Sheikh Dr Kahlan Al Kharusi

 

 

Apabila Sheikh Dr Kahlan menyokong usaha-usaha yang dilakukan Wasiyyah Shoppe Berhad di Oman, ia menyuntik semangat yang kuat untuk saya terus berusaha membantu umat Islam Oman dalam konteks perancangan harta walaupun cabarannya besar.  

 

Di Dubai pula, kami bertemu beberapa bank Islam dan maklum balas daripada mereka juga amat menggalakkan. Kami semua faham ada cabaran undang-undang yang perlu didepani namun potensinya ‘outweigh’ cabarannya.

 

Tentunya ada gunung yang perlu didaki dan lembah curam yang perlu kami lalui bagi mencapai matlamat membantu umat Islam di negara-negara ini merancang harta mereka melalui kaedah hibah.

 

Kerangka undang-undang pentadbiran pusaka dan undang-undang Syariah mereka berbeza daripada Malaysia.

 

 

anekdot mawarith
Perbincangan bersama Abu Dhabi First Islamic Bank  di Dubai

 

anekdot mawarith
Perbincangan bersama Jabatan Syariah Dubai Islamic Bank

 

 

Apabila Wasiyyah Shoppe Berhad berhasrat untuk berkolaborasi dengan pihak-pihak di luar negara, kami faham bahawa ada dua cabaran paling besar bakal dihadapi.

 

Cabaran pertama ialah sistem perundangan di negara tersebut. Kami perlu memastikan apa yang ingin dibuat mestilah menepati sistem perundangan negara berkenaan.

 

Sekiranya produk Wasiyyah Shoppe Berhad tidak selari dengan sistem perundangan itu, ia perlu dikodifikasikan sewajarnya.

 

Usaha ini juga melibatkan ‘buy in ‘ daripada pihak berotoriti seperti Mufti, Kementerian Agama dan Bank Negara yang mempunyai bidang kuasa masing-masing. Usaha ini tidak mudah tetapi ia boleh dilakukan.

 

Cabaran kedua pula ialah untuk memberi kesedaran (awareness) dan pendidikan (education) kepada masyarakat di negara berkenaan tentang kepentingan perancangan harta secara Syariah.

 

Oleh kerana penggunaan HIBAH memang tidak diketahui secara meluas, usaha pendidikan ini memang berdepan dengan cabaran yang sangat hebat.

 

Walaupun undang-undang mungkin boleh membenarkan, tetapi jika masyarakat tidak faham, usaha ini akan tetap menjadi sia-sia.  Usaha ini juga tidak mudah namun boleh dilakukan.

 

Namun begitu, Wasiyyah Shoppe Berhad bukanlah asing kepada keadaan ini.

 

Ketika kami mula beroperasi 20 tahun lepas di Malaysia, undang-undang berkaitan hibah tidak wujud langsung malah istilah HIBAH  itu sendiri sangat asing di telinga masyarakat sehingga ada yang menuduh saya mencipta produk HIBAH itu atas sebab komersial dan ingin mengaut keuntungan.

 

Tak kurang juga yang menuduh saya membawa ajaran sesat seperti ayah pin (sebab namanya pun sama)!

 

 

anekdot mawarith

 

 

Kami bergerak di dalam masyarakat tanpa sokongan mana-mana pihak. Saya masih ingat untuk 10 tahun pertama, saya dan pasukan saya bekerja tanpa henti malah kami pernah tidur di dalam kereta sahaja kerana kehabisan duit ketika bermusafir menyebarkan ilmu ini.  

 

Kami bertungkus lumus memberi pendidikan kepada masyarakat dan di dalam masa yang sama berkongsi hasil penyelidikan ilmiah kami kepada pihak-pihak berotoriti di Malaysia bagi mendapat ‘buy in’ mereka. Ia bukanlah tugas yang mudah. Begitu banyak tenaga, masa dan wang telah dilaburkan.

 

Alhamdulillah hari ini, instrumen HIBAH di Malaysia sudahpun diterima oleh Mahkamah Syariah secara meluas. Ilmu berkenaan  HIBAH juga semakin subur dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

Sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin Wasiyyah Shoppe Berhad  mempromosikan HIBAH semenjak 20 tahun lepas, saya mampu tersenyum puas melihat hasil kerja keras kami berpuluh tahun ini semakin membuahkan hasil.

 

Bukanlah keuntungan materialistik itu yang menjadi keutamaan, sebaliknya kejayaan membantu umat Islam merancang harta melalui HIBAH itulah yang memberikan kepuasan yang tidak terhingga.

 

Namun begitu, dari sudut positifnya, prinsip Syariah dalam fiqh mawarith itu sama bagi umat Islam di seluruh dunia.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Di mana-mana perbincangan saya di sini, agak menarik apabila mereka kerap mengulang-ulang ayat Al-Quran ‘la wasiatan lil warith’ yang bermaksud TIADA WASIAT UNTUK WARIS.     

 

Mereka sangat jelas bahawa wasiat itu tujuannya ialah untuk pemberian 1/3 kepada bukan waris seperti anak angkat atau bagi tujuan kebajikan seperti masjid, persatuan dan lain-lain.

 

Dalam kalangan masyarakat juga telah diterapkan pemikiran bahawa wasiat itu hanyalah untuk bukan waris sahaja. Wasiat tidak dipromosikan melangkaui daripada tujuan sebenarnya.

 

Ia berbeza dengan di Malaysia. Masyarakat dimomokkan bahawa buat sahaja wasiat, maka semua urusan pusaka telah selesai.

 

Kita diberitahu bahawa apa sahaja hasrat kita untuk membahagikan harta kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris akan tercapai jika kita memasukkan klausa itu di dalam wasiat kita.

 

Walaupun di dalam wasiat itu ada satu klausa lain yang menyebut, “jika hasrat pembahagian saya ini tidak dipersetujui oleh waris-waris, maka hak mereka mengikut hukum faraid perlu diberikan,” namun kesan klausa ini tidak dijelaskan.

 

Wasiat di Malaysia kekal dipromosikan sebagai instrumen perancangan harta yang paling penting mesti dibuat oleh umat Islam.

 

Jadi jika anda ingin membahagikan harta kepada sesiapa pun yang anda kehendaki mengikut formula anda, gunalah kaedah HIBAH dan bukannya wasiat.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Sebagai penyedia dan pelaksana HIBAH terbesar di Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu.

 

Gunalah kaedah wasiat mengikut fungsinya yang sebenar iaitu pemberian 1/3 kepada bukan waris. Umat Islam seluruh dunia pun tahu hal ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

 

Portfolio Tags