Semua pihak mesti cermat ketika memberi pandangan berkaitan Hibah dari sudut hukum | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 19 June 2024

SEMUA PIHAK MESTI CERMAT KETIKA MEMBERI PANDANGAN BERKAITAN HIBAH DARI SUDUT HUKUM

 

 

KETIKA artikel ini ditulis, umat Islam seluruh dunia baru sahaja menyambut kedatangan Aidil Adha, satu perayaan yang mengajar kita erti pengorbanan.

 

Mungkin di mata kasar kebanyakan kita pengorbanan ini hanyalah dari sudut kita mengorbankan wang ringgit kita untuk membeli haiwan korban bagi disembelih dan disedekahkan kepada pihak yang memerlukan.

 

Alhamdulillah, saya direzekikan untuk sekali lagi untuk mengerjakan ibadah ini. Kali ini saya memilih daerah Kuala Kedah yang di dalamnya terdapat ramai masyarakat dari golongan asnaf.

 

Kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) membolehkan seramai 250 keluarga asnaf menikmati daging korban ini.

 

Terima kasih saya kepada Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, Datuk Abdul Shakor dan semua ahli jawatankuasa kerana bertungkus-lumus membantu menyampaikan hajat kami. 

 

Kepada diri saya secara peribadi, maksud pengorbanan ini lebih luas daripada sekadar mengorbankan wang ringgit sahaja.

 

Ia lebih kepada bagaimana kita mengorbankan kepentingan peribadi bagi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu untuk menjaga kepentingan ummah.

 

wasiyyah

 

 

Sehari dua ini kecoh di alam media sosial mengenai pandangan pihak tertentu mengenai konsep  HIBAH yang diaplikasi di dalam produk kewangan tertentu di Malaysia.

 

Apabila subjek kegemaran saya ini disentuh, saya merasa terpanggil untuk mendengar dan mengulas pandangan itu secara terperinci.

 

Manakan tidak, semenjak 2004 lagi, saya secara peribadi telah terlibat secara aktif di dalam membangunkan produk HIBAH di Malaysia malah kini saya juga secara langsung sedang berusaha untuk memperkenalkan aplikasi HIBAH ke dalam sistem kewangan negara Islam tertentu.

 

Kepentingan saya di sini ialah untuk memastikan maklumat yang tepat disebarkan di dalam masyarakat.

 

Namun ingin saya perjelaskan sebelum dipertikaikan bahawa saya tidak berniat untuk menjadi mahkamah yang menentukan sama ada sesuatu HIBAH itu sah ataupun tidak.

 

Saya faham setiap orang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman masing-masing. Tiada sesiapa pun boleh mendabik dada mengatakan dia lebih pandai daripada pihak yang lain.  

 

Bidang kuasa pengesahan HIBAH ini adalah milik mutlak Mahkamah Syariah Malaysia sahaja dan hak itu tidak dapat dinafikan sama sekali. Ini adalah asas kepada perbincangan kita minggu ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Tanggungjawab saya hanyalah sekadar memberi pandangan berdasarkan pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri yang telah bertungkus-lumus melalui proses membangunkan produk HIBAH di Malaysia serta melalui semua proses perundangan yang  terkait dengannya.

 

Antara pandangan yang viral itu ialah tentang betapa oleh kerana sesuatu harta itu dimaksudkan oleh ibu atau bapa untuk diberikan kepada anak bagi tujuan tertentu, maka ia dianggap sebagai HIBAH kepada anak.

 

Maka apabila ibu atau bapa yang merupakan pemilik harta yang berdaftar itu mati, harta itu tidak akan menjadi harta pusaka ibu atau bapa itu.

 

Ini bermakna harta itu tidak perlu difaraidkan kepada waris-waris simati kerana asasnya harta itu bukan milik simati sebaliknya ialah milik anak.

 

Pada pandangan saya (mungkin pada pandangan orang lain berbeza) dan pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad, walaupun harta itu dimaksudkan oleh ibu bapa untuk menjadi milik anak, asalkan sahaja harta itu berdaftar di atas nama ibu bapa, jika ibu bapa itu mati, dari sudut hukum ia tetap menjadi HARTA PUSAKA kepada simati dan wajib diagihkan mengikut hukum faraid.

 

Jika tidak diagihkan, maka hukumnya ialah HARAM. Kedudukan ini jelas.

 

Tidak wujud apa-apa pandangan ulama ataupun mana-mana kes yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah Malaysia yang mengatakan bahawa niat sahaja sudah mencukupi untuk menjadikan sesuatu  HIBAH itu sah.

 

Saya ulangi sekali lagi bahawa pandangan saya mengenai isu ini ialah berdasarkan pengalaman 20 tahun Wasiyyah Shoppe Berhad turun naik Mahkamah Syariah menguruskan kes-kes HIBAH dan bukan sekadar pandangan peribadi semata-mata saya.

 

 

wasiyyah

 

 

Pandangan ini juga adalah berdasarkan keputusan kolektif 7 orang Panel Syariah kami yang setiap seorang daripadanya  berpengalaman minimum  25 tahun di dalam bidang fiqh pewarisan serta hasil penyelidikan ilmiah intensif kami yang melibatkan lebih daripada 20 orang pakar di dalam undang-undang Syariah dan Hukum Syarak.    

 

Di dalam apa keadaan pun terutamanya bagi isu sensitif seperti ini, saya tidak berani memberikan pandangan peribadi kerana saya tahu pandangan peribadi saya boleh jadi silap dan mungkin juga diselubungi kepentingan peribadi.

 

HIBAH tidak boleh sah dan berkuatkuasa hanya berdasarkan niat sahaja. Ia hanya berkuatkuasa apabila semua rukun iaitu harta, pemberi, penerima dan sighah (ijab qabul) telah terlaksana ketika pemberi hibah masih hidup.

 

Kecuali bagi pandangan Maliki, semua mazhab lain bersetuju bahawa untuk menjadikan HIBAH itu berkuat kuasa pula, ia mestilah memenuhi syarat Qabd (penguasaan terhadap harta oleh penerima hibah).

 

Contohnya si suami mati dan balunya ingin menuntut harta yang berdaftar di atas nama suami itu sebagai milik anak mereka dengan dakwaan bahawa si suami itu sebenarnya memang berniat bahawa harta itu telah dihibahkan kepada anak mereka.

 

Malah si suami sendiri telah menyebut-nyebut kepada semua ahli keluarga bahawa harta itu telah dihibah kepada anak mereka.

 

Apa yang balu ini kena buat ialah dia perlu membuat tuntutan di Mahkamah Syariah bagi mengesahkan bahawa harta itu memang telah dihibahkan oleh suaminya kepada anak mereka ketika suaminya masih hidup.

 

Mahkamah Syariah akan memerlukan bukti bahawa semua rukun HIBAH termasuk akad HIBAH itu telah dilaksanakan semasa hidupnya serta syarat Qabd telah dipenuhi. Mahkamah Syariah juga akan memerlukan keterangan saksi bahawa akad hibah itu benar-benar telah berlaku.     

 

 

wasiyyah

 

 

Jika rukun dan syarat ini gagal dibuktikan, maka ada kemungkinan yang sangat besar  HIBAH itu tidak akan disahkan.

 

Kesannya? Harta itu mesti diagih kepada waris-waris mengikut hukum faraid. Isu ini sangat kritikal kerana ia melibatkan hukum.

 

Tidak boleh kita membuat andaian sendiri bahawa niat kita untuk memberi harta itu kepada anak telahpun mencukupi untuk menjadikan ia HIBAH yang sah. Jika andaian kita ini salah, kita telah melakukan dosa kerana telah memakan bahagian harta yang mungkin ada hak waris lain ke atasnya.   

 

Saya ulang … HIBAH hanya sah apabila semua rukun dan syaratnya telah terlaksana ketika hidupnya pemberi hibah.

 

Tiada kompromi di dalam bab rukun dan syarat ini. Tiada istilah HIBAH itu terlaksana hanya dengan niat sahaja.

 

Kalau kita mengambil analogi pernikahan, ia hanya sah apabila semua rukunnya terlaksana iaitu pengantin lelaki, pengantin Perempuan, wali, 2 saksi lelaki dan IJAB QABUL.

 

Tidak akan sah pernikahan itu jika rukun ini tidak dipenuhi. Mengatakan HIBAH itu sah hanya dengan niat adalah seperti mengatakan bahawa pernikahan itu juga sah hanya dengan niat sahaja.

 

Oleh kerana Ali berniat untuk memperisterikan Minah, maka pernikahan itu sudahpun sah. Fikirkan logiknya.

 

 

wasiyyah

 

 

Jika anda benar-benar serius ingin menghibahkan harta anda kepada anak-anak, datanglah kepada Wasiyyah Shoppe Berhad, penyedia dan pelaksana HIBAH yang paling berpengalaman dengan trek rekod 20 tahun yang terbukti di Malaysia.

 

Jangan sekadar niat sahaja nak menghibah tetapi rukun dan syaratnya tidak terlaksana. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

 

Portfolio Tags