Ulasan jujur: Kenapa suami berpoligami di sempadan? Siri Satu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 12 Apr 2023 07:00 AM

parafrasa

ULASAN JUJUR: KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI SATU

 

 

BULAN Ramadan kali ini kita dihujani dengan pelbagai kisah artis yang bercerai rentetan  suami berpoligami di sempadan. Kisah bapa yang meninggalkan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya kerana telah berpoligami dengan isteri baru di sempadan.

 

Kisah anak yang membelakang dan mengecewakan ibubapanya semata-mata kerana mempertahankan poligaminya di sempadan dan macam-macam cerita lagi. Semuanya menjurus kepada isu berpoligami di sempadan. 

 

Artikel saya minggu ini lain sedikit. Kalau sebelum ini saya banyak mengulas tentang isu terkait isteri apabila suami berpoligami di sempadan, kali ini saya ingin menulis daripada perspektif suami pula, kenapa dia berpoligami di sempadan.

 

Kerana faktor yang diberikan terlalu banyak, saya terpaksa menulis beberapa siri artikel untuk mengupasnya.

 

Penulisan saya ini tidak secara khusus terkait dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati. Ini indemniti awal saya. Janganlah mana-mana individu tersinggung dengan penulisan ini. Ia adalah hasil dari kutipan pengalaman saya berpuluh tahun di dalam bidang perancangan harta yang juga secara langsung terkait dengan isu poligami ini.

 

Para isteri yang belum dimadukan di luar sana mesti membaca penulisan saya ini dan kongsikan dengan rakan taulan supaya boleh dijadikan panduan bersama.

 

Para isteri yang sudah dimadukan di sempadan, anda akan mendapati penulisan saya minggu ini menyamai jalan cerita yang diberikan oleh suami anda tentang kenapa  dia berpoligami secara tiba-tiba di sempadan.


 

parafrasa

 


ALASAN PERTAMA:       

“Aku rasa aku memang ditakdirkan untuk berpoligami.  Kitakan mesti  percaya kepada qada dan qadar.”


Dalam carta sebab berpoligami di sempadan, ini adalah alasan ranking nombor satu. Suami yang berpoligami sentiasa percaya bahawa ia adalah satu suratan takdir bahawa dia akan beristeri lebih dari satu.

 

Sebagai muslim, saya juga percaya bahawa kehidupan kita ini sudah pun tertulis di luh mahfudz semenjak kita belum dilahirkan lagi dan sebab ‘takdir’ ini memang tidak salah. Jodoh, rezeki, ajal kita semuanya sudah ditentukan oleh Allah dan kekal menjadi rahsiaNya sahaja.

 

Kita tidak tahu secara tepat berapakah bilangan isteri kita sepanjang kehidupan. Walaupun kita tidak berpoligami, jika ditakdirkan pasangan kita mati, mungkin sahaja kita akan berkahwin dengan pasangan yang baru. Saya pernah berjumpa suami yang mempunyai tiga orang isteri pada tempoh yang berturutan.

 

Isteri pertama mati, dia bernikah dengan isteri kedua. Bila isteri kedua mati, dia bernikah pula dengan isteri ketiga dan kekal sehingga hari ini.

 

Saya perhatikan suami ini sangat baik dan lemah-lembut dengan isterinya. Mungkin kerana itulah Allah takdirkan dia berkongsi kasih sayang yang banyak itu dengan tiga isteri pada waktu yang berbeza.

 

Dia sendiri tidak menyangka dia akan bernikah sehingga tiga orang isteri!


 

parafrasa

 


Kebanyakan suami yang saya tanya memang mereka tidak merancang pun untuk berpoligami daripada awal. Tiada seorang anak bujang lelaki pun yang bercita-cita untuk bernikah dua , tiga atau empat. Semuanya berlaku kerana takdir.

 

Seorang suami memberitahu saya bahawa dia melihat sendiri bagaimana kesan poligami kepada  kehidupan keluarganya apabila datuknya berpoligami. Keluarga mereka hidup simpang perenang dan penuh dengan konflik.

 

Maka dia pun berazam di dalam hatinya, dia tidak akan mengikut jejak langkah mereka kerana tidak mahu isteri dan anak-anaknya pun melalui tekanan yang sama. Dia terlalu sayang kepada mereka.

 

Selepas beberapa tahun tidak berjumpa, hari ini di dalam bulan Ramadan yang mulia dia memberitahu saya dia sudah pun terpoligami di sempadan.

 

Saya merenung mukanya dan bertanya, ke mana perginya azam dia tidak ingin melukai hati isteri dan anak-anaknya dulu?

 

Jawabnya, “Aku memang berazam tapi ia sudah ditakdirkan. Aku tak mencari pun cinta kedua ini tapi ia datang sendiri. I just go with the flow”

 

Kita memang tidak tahu apa takdir kita di masa hadapan. Namun sebagai muslim kita kena yakin bahawa apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT itu adalah yang terbaik untuk kita.


 

parafrasa

 


Mungkin kita tidak dapat melihat hikmah ketika kejadian itu berlaku tetapi pastinya Allah tahu yang mana lebih baik untuk kita.

 

Pahit bagaimanapun, para isteri kena memahami hakikat ini apabila pada satu hari nanti tiba-tiba suami duduk di depan anda dan mengaku bahawa dia sebenarnya telah pun bernikah lagi di sempadan.

 

Suka atau tidak, isteri perlu menjalani kehidupan seterusnya dan menerima takdir itu. Namun pastinya ada langkah-langkah yang perlu diambil isteri selepas itu bagi menjaga kebajikannya dan anak-anak. Ini sudah saya ceritakan. Boleh semak penulisan-penulisan saya sebelum ini.   

 

Kita juga diajar bahawa takdir boleh diubah melalui doa dan tindakan. Kita tidak diajar untuk berserah bulat-bulat kehidupan ini kepada takdir tanpa berusaha.

 

Sebagaimana kita berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki untuk mengubah takdir kita dari seorang miskin kepada seorang kaya, begitu jugalah kita boleh berusaha bersungguh-sungguh untuk kekal dengan isteri yang seorang sahaja. Jangan salahkan takdir bulat-bulat.

 

Masalah yang kerap berlaku ialah kadang-kadang suami itu di dalam fikiran bawah sedarnya, telah memberikan isyarat kepada alam di sekelilingnya bahawa , “I’m available”.

 

Maka semua pemikiran dan tindak-tanduknya akan menjurus kepada mencari seorang lagi cinta baru. Wanita-wanita di sekelilingnya  pula  akan dapat menangkap signal itu dan yang berhasrat akan mencuba mengintai-intai peluangnya.

 

Maka bila tepukan bersambut, ke sempadanlah mereka menuju bagi menghalalkan cinta baru itu.  


 

parafrasa

 


Sebaliknya jika suami itu memberikan isyarat “Im not available” kepada alam sekelilinganya, secara automatik pemikiran dan tindak-tanduknya juga akan menjurus kepada menjaga dirinya dari terjebak dengan cinta kedua.

 

Wanita-wanita di sekelilingnya juga akan dapat menangkap signal itu dan menjauhi diri dari suami seperti ini. Maka kekallah si suami tadi beristeri seorang sahaja.    

 

Menyelami hati suami berpoligami, inilah kesimpulan saya. Takdir itu berlaku kerana kita yang mengingininya sama ada secara langsung dengan berusaha bersungguh-sungguh mencari cinta baru atau secara tidak langsung ( tidak mencari tetapi memberikan signal kita ‘available’ ).

 

Allahpun telah memberitahu kita, “Mintalah dari ku maka akan ku perkenankan.”

 

Jadi adakah faktor ‘takdir’ itu faktor yang betul ? Berdasarkan penulisan saya ini anda fikirkanlah jawapannya.

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

  

volatiliti

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH