Wasiat pembahagian harta kepada waris batal jika waris tidak setuju | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 5 June 2024

WASIAT PEMBAHAGIAN HARTA KEPADA WARIS BATAL JIKA WARIS TIDAK SETUJU

 

 

 

KETIKA artikel ini disiarkan, saya telah pun kembali berada di Oman untuk beberapa mesyuarat susulan selepas kunjungan saya yang  pertama kali pada februari yang lepas mewujudkan minat beberapa pihak di sana.

 

Walaupun saya tahu perjuangan memperkenalkan ilmu fiqh mawarith di negara arab ini tidak mudah, namun saya yakin dengan izinNya, saya mampu memberikan impak yang signifikan, insya-Allah.

 

Pengalaman ini mengingatkan saya 20 tahun dahulu apabila Wasiyyah Shoppe Berhad mula beroperasi di Malaysia. Ketika itu tiada sesiapapun pernah mendengar tentang hibah. Wasiat pun satu instrumen yang sangat asing.

 

Hukum faraid hampir tidak diketahui ilmunya dalam kalangan masyarakat. Saya bersama pasukan pengurusan saya telah bertungkus-lumus bekerja untuk mendidik masyarakat supaya lebih cakna tentang isu ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Alhamdulillah ‘fast-forward’ 20 tahun selepas itu, hari ini masyarakat mulai faham kepentingan mereka merancang harta.

 

Cuma masih ada masyarakat yang keliru perbezaan di antara wasiat dan hibah. Inilah fokus artikel saya minggu ini.  

 

Sebelum saya berangkat ke Oman, beberapa rakan saya telah menghantar pesanan whatsapp kepada saya beserta beberapa ‘snapshot’ dokumen wasiat yang telahpun mereka buat dengan beberapa pihak di dalam industri ini (bukan Wasiyyah Shoppe Berhad).

 

Saya pun merasa hairan kenapa semenjak dua-menjak ini, persoalan tentang wasiat ini semakin kerap saya temukan. Sebelum ini pun ada persoalan ditanyakan namun tidaklah sebanyak sekarang. Seolah-olah sekarang baru masyarakat ambil tahu apa kandungan wasiat yang mereka tandatangani itu.

 

Mereka menunjukkan saya klausa ‘mysterious’ seperti tajuk artikel saya minggu ini dan bertanyakan kepada saya apa maksud klausa itu.

 

Kenapa saya katakan klausa ini ‘mysterious’? Kerana semua sahabat saya ini mengatakan bahawa mereka tidak diberikan penerangan tentang klausa itu ketika mereka menandatangani wasiat.

 

Saya juga membaca wasiat mereka di mana kebanyakannya disebut secara terperinci di dalamnya bagaimana harta pusaka itu hendak diagihkan oleh pewasiat. Ini adalah hasrat agihan harta pusaka di dalam wasiat.

 

Disebut bahawa rumah diwasiatkan kepada sipolan, wang di dalam akaun bank diwasiatkan kepada sipolan dan sebagainya. Kebanyakan penerima wasiat ini pula ialah waris-waris mengikut hukum faraid seperti pasangan dan anak-anak.

 

 

wasiyyah

 

 

Saya boleh membayangkan betapa banyaknya masa telah dihabiskan oleh pewasiat itu untuk memikirkan formula agihan yang terperinci ini. Pastinya formula agihan itu dibuat berdasarkan keperluan setiap waris itu.

 

Sebaik sahaja diperincikan formula agihan ini di dalam wasiat, klausa ‘mysterious’ ini pun menyusul.

 

Apakah kesannya? Secara umumnya, klausa ini memang akan muncul di dalam semua wasiat yang dibuat oleh orang Islam di Malaysia.

 

Ia sebagai peringatan kepada pewasiat dan waris-warisnya bahawa sekiranya arahan pembahagian harta pusaka di dalam wasiat itu tidak dipersetujui oleh waris-waris, maka hak waris-waris TETAP WAJIB diberikan berdasarkan hukum faraid.

 

Beberapa tahun lepas saya bertemu satu kes wasiat. Di dalam wasiat itu, hamba Allah ini  memperincikan bahawa semua harta pusakanya hendaklah diagihkan kepada isterinya sebanyak ½ bahagian, manakala ¼ bahagian diserahkan kepada dua anak perempuannya setiap seorang.

 

Ini bermakna di dalam wasiatnya, Ali menyebut bahawa semua harta pusakanya akan diagihkan kepada isteri ½ bahagian, anak perempuan pertama ¼ bahagian dan anak perempuan kedua ¼ bahagian.

 

Di dalam masa yang sama, waris-waris mengikut hukum faraid bagi hamba Allah ini  termasuklah seorang kakak dan adik lelakinya.

 

Mengikut hukum faraid, waris yang berhak kepada semua harta pusakanya ialah isteri 9/72 bahagian, anak Perempuan berkongsi 24/72 bahagian setiap seorang, kakaknya berhak ke atas 5/72 bahagian manakala adik lelakinya beroleh 10/72 bahagian.

 

 

wasiyyah

 

Apabila dinilai kesemua harta pusakanya seperti hartanah, akaun bank, saham syarikat dan harta-harta yang lain, ia dijangkakan mencecah nilai RM10 juta. Ini bermakna setiap bahagian harta pusakanya bernilai RM138,888.

 

Walaupun hamba Allah ini telah menyatakan di dalam wasiatnya bahawa kesemua harta pusakanya hendak diwariskan kepada isteri dan anak-anaknya sahaja, kakak dan adik lelakinya telah tidak bersetuju. Mereka menuntut supaya hak mereka di dalam hukum faraid diberikan.

 

Hak kakak simati iaitu 5 bahagian bernilai RM694,440 manakala hak adik lelaki iaitu 10 bahagian bernilai RM1.38 juta.

 

Apakah makna klausa ‘mysterious’ di dalam wasiat itu? Maknanya ialah jika si kakak dan si adik lelaki ini menuntut, nilai di atas perlu diberikan kepada mereka daripada harta pusaka tersebut.

 

Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa wasiat itu batal dan hak si kakak serta si adik lelaki wajib diberikan.

 

Kes ini dengan jelas menunjukkan bahawa WASIAT YANG MENYATAKAN TENTANG PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA ITU TIDAK BERKUATKUASA!

 

Orang-orang yang bertanya apabila saya jelaskan kedudukan ini terperanjat. Mereka selalu berkata bahawa mereka tidak diterangkan mengenai kesan klausa ini. Mereka tidak tahu!

 

Mereka menyangkakan apa sahaja formula pembahagian yang telah susah payah mereka fikirkan dan nyatakan di dalam wasiat itu akan berkuatkuasa.

 

 

wasiyyah

 

 

Sebenarnya menjadi tanggungjawab kitalah untuk bertanya tentang kandungan apa sahaja dokumen yang kita tandatangani.

 

Janganlah kita tandatangan secara ‘buta’ sahaja dokumen wasiat itu. Tanya setiap satu klausa dengan terperinci sebelum menandatanganinya.

 

Pembahagian harta pusaka kepada waris yang menerima hukum faraid di dalam wasiat sememangnya TIDAK BERKUATKUASA kecuali jika dipersetujui oleh semua waris selepas kematian pewasiat.

 

Di dalam kes hamba Allah ini, apabila si kakak dan si adik lelaki itu menuntut hak mereka dan tidak bersetuju semua harta pusaka diterima oleh isteri dan anak-anak perempuan si mati sahaja, maka hak si kakak dan si adik lelaki itu wajib diberikan.

 

Itulah maksud sebenar klausa ‘mysterious’ ini. Semua rakan yang bertanya saya soalan ini memberitahu bahawa tujuan utama mereka membuat wasiat ialah kerana mereka mahu supaya harta pusaka mereka diagihkan kepada orang-orang tertentu mengikut formula yang mereka kehendaki.

 

Saya katakan bahawa jika itulah hasrat mereka, maka apa yang mereka perlukan ialah HIBAH dan bukannya wasiat.

 

Wasiat tidak membantu memenuhi hasrat ini kerana dari sudut hukum syarak, wasiat hanya berkuatkuasa pada kadar maksimum 1/3 dan pemberian kepada bukan waris (pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid).

 

 

wasiyyah

 

 

Buatlah hibah dengan WASIYYAH SHOPPE BERHAD. Rekod prestasi 20 tahun kami menyedia dan melaksanakan dokumen hibah umat Islam di Malaysia sudah pun terbukti.

 

Sehingga hari ini Wasiyyah Shoppe Berhad adalah penyedia dokumen hibah yang terbanyak di Malaysia.

 

Anda ingin membahagikan harta anda kepada orang-orang tertentu mengikut formula anda sendiri? Maka HIBAH ialah jawapannya.

 

Anda pun sudah membuat HIBAH ?

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

 

 

Portfolio Tags