Akhbar Cina persoal sampai bila sistem kuota perlu dipertahankan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 17 July 2023

Akhbar Cina persoal sampai bila sistem kuota perlu dipertahankan?

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 13–15 Julai 2023

 

 

ADAKAH sistem pendidikan negara kita lemah dan gagal sehingga pelajar perlu diberi perlindungan tertentu untuk membolehkan mereka sambung belajar di peringkat tertinggi?

 

Bukankah kerajaan ‘Madani’ menggunakan keharmonian, keterbukaan dan toleransi sebagai panji perpaduan?

 

Mengapa tiba-tiba Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentap hati rakan sekutu, dalam satu program pelajar secara terbuka menyatakan ‘sistem kuota universiti tidak akan dimansuhkan’?


 

anwar

 


Selama ini, sistem kuota telah berjaya menghantar ramai pelajar Melayu ke menara gading untuk menerima pendidikan universiti, tetapi pada masa yang sama ia juga menyekat ramai pelajar bukan bumiputera yang berkelayakan. Maka sistem kuota mempunyai penilaian yang berbeza di kalangan kumpulan yang berbeza dalam masyarakat.

 

Namun persoalannya, adakah sistem yang bermula pada tahun 1970-an sudah lapuk? Dalam konteks perubahan sosial, adakah ia masih menepati keperluan negara dan peredaran zaman?

 

Baik buruk sistem kuota

Sejak dilaksanakan pada tahun 1971, sistem kuota pelajar sentiasa menjadi duri kepada kumpulan etnik di negara kita. Bagi melindungi pendidikan Melayu dan Bumiputera, kerajaan melaksanakan ‘kuota’ sebagai tindak balas terhadap dakwaan ketidakseimbangan dalam nisbah pelajar di Universiti Malaya.

 

Dengan pelaksanaan sistem kuota, bilangan Melayu dan bumiputera yang diterima masuk ke universiti awam sememangnya meningkat. Pembahagian kuota masa itu adalah 55% Bumiputera: 45% bukan Bumiputera, dan jumlah tersebut bertambah dari semasa ke semasa.

 

Akibatnya berlaku isu pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang tidak diterima masuk ke universiti awam kerana sistem kuota. Ramai ibu bapa marah kerana perlu membelanjakan wang yang banyak untuk menghantar anak sambung belajar di luar negara.

 

Kemudian anak-anak yang telah tamat belajar ini memilih untuk terus tinggal di luar negara dan bekerja di sana. Satu kerugian besar kepada negara kerana aliran bakat-bakat ini.

 

Bagaimanapun, mereka yang menyokong percaya bahawa sistem ini adalah untuk melindungi hak dan kepentingan pelajar Melayu dan Bumiputera. Menurut Perlembagaan, orang Melayu menikmati hak dan layanan istimewa, jadi sistem ini boleh meningkatkan daya saing mereka. 


 

volatiliti

 


Selain itu, menerusi sistem ini juga kerajaan dapat memastikan perwakilan yang betul bagi pelajar Melayu dan Bumiputera di universiti-universiti utama Malaysia. Cara ini dapat memelihara kesaksamaan masyarakat majmuk, agar tidak dipinggirkan dalam sistem pendidikan.

 

Dasar perlindungan kikis daya saing

Berbanding dengan sistem kuota kaum, kemasukan berasaskan merit boleh menilai dengan lebih adil prestasi akademik dan potensi pelajar serta menyediakan peluang persaingan yang adil. Selain dapat membantu merangsang motivasi pelajar untuk pembangunan diri.

 

Pun begitu, ada beberapa masalah dengan kemasukan berdasarkan merit. Bagi pelajar Melayu dan Bumiputera yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan yang mencukupi, sistem merit boleh memburukkan lagi ketidaksamaan pendidikan.

 

Jadi kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan semua pelajar mempunyai akses yang sama kepada sumber dan peluang pendidikan untuk kemasukan yang adil ke universiti awam.

 

Pelaksanaan dasar perlindungan universiti memberi manfaat kepada kumpulan etnik terbesar di negara ini. Keadaan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada pembangunan pendidikan kumpulan etnik lain dan negara secara keseluruhan.

 

Di peringkat antarabangsa, kebanyakan dasar perlindungan pendidikan adalah bertujuan untuk menyokong etnik minoriti kerana mereka kurang bernasib baik dalam masyarakat. Jika dasar perlindungan atau sokongan sesebuah negara menyasarkan kumpulan etnik terbesar, kesan negatifnya lebih besar.

 

Kekangan mansuh dasar tidak seimbang

Dasar yang telah dilaksanakan selama setengah abad ini, memberi impak dalam pelbagai bidang dalam negara. Kita mempunyai sumber yang banyak dan tanah yang luas tetapi ketinggalan jauh di belakang banyak negara termasuk Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.


 

tnb

 


Ini adalah kerana sistem kuota universiti memberi kesan negatif kepada pemupukan bakat tempatan dan pembangunan ekonomi negara.

 

Bagaimanapun, keadaan Kerajaan Perpaduan yang belum benar-benar stabil dan kedatangan 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) menyebabkan perkara ini sukar untuk dibincangkan.

 

Sebagaimana Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata suasana politik negara sekarang tidak sesuai untuk memansuhkan kuota universiti dan sebarang perubahan akan mengambil masa yang lama.

 

Ahli-ahli politik negara sebelum ini sangat jelas bahawa sistem kuota universiti memberi pelbagai kesan negatif kepada negara.

 

Tetapi semua orang tahun untuk menyentuh isu ini kerana kumpulan etnik terbesar mendapat manfaat paling banyak dengan pelaksanaan dasar ini. Jadi sebarang pembaharuan boleh menjejaskan status politik, tiada pemimpin yang
sanggup mengambil risiko ini.

 

Begitu juga dengan Kerajaan Perpaduan sekarang, mencabar isu ini hanya akan memberi kesempatan kepada pihak lawan Perikatan Nasional (PN) untuk membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum.

 

Jika dari sudut politik tidak sesuai untuk membincangkan sistem kuota, tetapi ahli politik perlu berdepan masalah ini dari sudut pembangunan jangka panjang. Perlindungan berpanjangan kepada kumpulan etnik terbesar adalah beban yang berat untuk negara dan tidak selari dengan rancangan pembangunan negara.

 

Sampai bila seseorang itu perlu dibantu dan disokong untuk pembangunan diri? Sebenarnya banyak dasar negara yang perlu diperbaiki dengan sewajarnya kerana sudah lapuk, perubahan perlu dibuat agar boleh menjadi lebih baik.


 

volatiliti

 


Walaupun PM memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan meminggirkan pelajar cemerlang bukan Bumiputera, dan akan mencari strategi lain untuk memupuk bakat ini di bawah sistem berasaskan merit.

 

Selain sistem kuota universiti, banyak dasar perlindungan ekonomi yang perlu dikaji. Jika tidak negara bukan sahaja akan jatuh ke dalam keadaan yang tidak stabil, malah akan terus tenggelam. Nescaya lebih banyak negara akan mengatasi kita dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 13–15 Julai, dan telah diterjemah oleh
Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan
kerajaan sebelum ini.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

dagangnews

 

Portfolio Tags