Akhbar Cina pertikai Menteri Pendidikan enggan komited kepada isu UEC | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 25 February 2023

Akhbar Cina pertikai Menteri Pendidikan enggan komited kepada isu UEC

Sin Chew Jit Poh, Oriental & Nanyang Siang Pao 21 - 24 Feb 2023

 

 

SEKOLAH Menengah Persendirian Cina (SMPC) bukanlah sesuatu isu yang baru dan sentiasa menjadi agenda utama dalam politik di negara kita.

 

Sama ada pengiktirafan jangka panjang terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), atau isu peruntukan kepada SMPC beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kesan kepada masyarakat Cina.

 

Bagi mereka yang sudah lama mengikuti politik negara tahu pengiktirafan UEC pasti akan berdepan dengan tekanan masyarakat Melayu.  Ini kerana masyarakat Melayu percaya bahawa pendidikan pelbagai aliran tidak dapat menggalakkan perpaduan negara.

 

Jadi mereka lebih suka kepada pendidikan satu aliran yang dapat menggalakkan perpaduan rakyat dan mempertingkatkan kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu.

 

Halangan perkembangan SMPC

Kesukaran perkembangan SMPC bermula sejak Laporan Rahman Talib, 1960 ditubuhkan bagi mengkaji semula pelaksanaan Laporan Razak dan langkah-langkah bagi mewujudkan satu sistem pendidikan.

 

Walaupun Laporan Rahman Talib masih memasukkan sekolah rendah Cina dalam sistem pendidikan kebangsaan tetapi sekolah menengah Cina telah dikeluarkan daripada sistem pendidikan, melainkan sekolah ini menerima saranan Kementerian Pendidikan untuk penstrukturan semula menjadi sekolah menengah jenis kebangsaan dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

 

 

dong zong

 

 

Cabaran SMPC dan UEC

Penstrukturan semula sekolah menengah Cina telah membawa pendidikan Cina ke ambang kepupusan. Pada masa itu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), telah mengadakan kempen untuk memperjuangkan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi dan menuntut penubuhan universiti swasta.

 

Walaupun siri kempen ini mendapat sokongan meluas daripada masyarakat Cina, namun semuanya berakhir dengan kegagalan dek kerana pendirian keras kerajaan.

 

Isu SMPC kini dilihat bukan lagi isu pendidikan semata-mata, tetapi sentiasa terpalit dengan isu politik, kaum dan lain-lain. Persoalan sama ada sijil UEC akan diiktiraf atau tidak, telah dibangkitkan setiap kali pilihan raya diadakan tetapi setiap kali juga ia akan berakhir tanpa ada apa-apa keputusan.

 

Walaupun SMPC merupakan sekolah swasta tetapi mereka menggunakan yuran yang rendah untuk membolehkan ramai pelajar kelas menengah dan bawah berpeluang menerima pendidikan.

 

SMPC tidak mengendalikan sekolah sebagai satu kumpulan dan mencari keuntungan untuk pemegang saham. Sebaliknya ia menjalankan pendidikan dalam bentuk persatuan kebajikan dan selalunya lembaga-lembaga pengarah perlu membayar perbelanjaan pengurusan sekolah.

 

Dari isu tahap akademik yang dipersoalkan sehingga apabila ia mula diiktiraf oleh negara-negara luar, ahli politik telah menggunakan isu perkauman untuk menyekat pengiktirafan UEC.

 

Daripada Hussein Onn, Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan kembali semula kepada Mahathir, selepas hampir setengah abad, isu ini masih ‘belum selesai’. Kerajaan dilihat tidak pernah mengambil serius isu pendidikan ini, dan hanya menganggapnya sebagai cip tawar-menawar politik.

 

 

uec
Contoh sijil UEC

 

 

Pendirian Kerajaan Perpaduan

Pada Pilihan Raya Umum 2022, Pakatan Harapan (PH) adalah satu-satunya gabungan politik yang memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya.

 

Bagaimanapun selepas memenangi tampuk pemerintahan, Menteri Pendidikan PH, Fadhlina Sidek berkata manifesto pilihan raya akan disemak semula atas alasan ‘Kerajaan Perpaduan’.

 

Tetapi 3 bulan selepas pilihan raya, menteri kemudiannya menyatakan di Parlimen bahawa kementerian tidak menganggap isu pengiktirafan UEC sebagai keutamaan dan tiada kewajipan untuk memberikan sebarang bentuk bantuan kepada SMPC.

 

Selain rasa kecewa, kita dapat melihat PH berkemungkinan akan mengulangi kesilapan 2018. Sudah tentu, masih ada segelintir netizen yang memilih untuk terus mempertahankan PH dan menganggap lebih banyak masa yang perlu diberikan untuk kerajaan membuktikan diri mereka.

 

Tetapi jika menjadikan alasan ‘gambaran keseluruhan adalah lebih penting’ atau perlu ambil kira undi Melayu, maka kenyataan Fadhlina Sidek seolah-olah menyampaikan mesej bahawa mungkir janji adalah perkara biasa dan boleh diterima. Rakyat boleh sahaja ditenangkan dengan alasan ‘kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan’. 

 

Peranan Kerajaan Perpaduan

Memasuki tahun 2023, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menyelesaikan isu SMPC secara beransur-ansur. Walaupun dari segi undang-undang, dikatakan kerajaan tidak bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana kepada SMPC dan peruntukan yang ada sekarang adalah untuk menenangkan masyarakat Cina.

 

 

Menteri Pendidikan PH, Fadhlina Sidek

 

 

Kerajaan perlu menjalankan penilaian profesional terhadap SMPC dan sijilnya. Walaupun SMPC tidak dimasukkan dalam sistem pendidikan negara, namun banyak bakat-bakat yang berkualiti telah dilahirkan selama lebih setengah abad.

 

Jadi kerajaan hari ini sepatutnya berhenti mempolitikkan isu ini dan berhenti berfikir secara politik. Isu ini perlu dilihat dari sudut profesional pendidikan, tidak boleh menyamakan SMPC dengan sekolah swasta yang mencari keuntungan. Jadi kerajaan sekarang perlu memandang serius peranan yang dimainkan oleh SMPC dalam pendidikan negara.

 

Pertamanya, memberi peruntukan secara rasmi agar semua SMPC dapat menerima sedikit manfaat daripada dana kerajaan. Kemudian, menyingkirkan halangan politik dengan secara profesional menilai tahap pendidikan akademik SMPC. Selain itu menyediakan cadangan untuk integrasi 60 buah SMPC di seluruh negara, dan seterusnya mengiktiraf sijil UEC di masa hadapan.

 

Oleh kerana undi Melayu adalah majoriti, kerajaan perlu segera melaksanakan pengiktirafan UEC di awal pemerintahan supaya kerajaan mempunyai masa yang cukup untuk mencerna rasa tidak puas hati masyarakat Melayu sebelum pilihan raya umum akan datang.

 

Kerajaan perlu bersikap lebih terbuka

Tahun ini, penubuhan Malaysia akan genap mencapai 60 tahun, namun isu pengiktirafan UEC masih di jalan buntu dan diperdebatkan.

 

Salah satu masalah utamanya adalah apabila falsafah pendidikan tidak boleh mencapai kata sepakat.

 

Jika kita berterusan bercakap mengenai perasaan tetapi tidak mengambil endah perasaan kaum Cina, adakah negara akan kerugian dan menderita jika UEC diiktiraf?

 

Meskipun SPMC tidak disenaraikan dalam dasar pendidikan negara, tetapi ia tetapi memainkan peranan penting dalam memupuk dan melahirkan modal insan yang berkualiti untuk ekonomi negara.

 

Justeru itu, adalah wajar kerajaan menjaga SPMC dan berhenti mempolitikkan isu pendidikan. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 21-24 Februari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags