Akhbar Cina: Prestasi Kerajaan Perpaduan membimbangkan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 19 June 2023

Akhbar Cina: Prestasi Kerajaan Perpaduan membimbangkan

 

 

GENDANG 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) telah pun dipalu. Apa sahaja keputusan pilihan raya akan dianggap oleh dunia luar sebagai penilaian pertengahan penggal pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat walau apa pun keputusannya, ia tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan pusat. Sehebat mana sekali tekanan yang diberikan oleh parti pembangkang, tidak akan dapat menggugat kedudukan kerajaan.

 

Benar, walau apa pun keputusan PRN, ia bukanlah keputusan muktamad. Tetapi perkara yang paling tidak ingin dilihat ialah berlaku perbezaan di antara negeri yang dikuasai oleh parti pemerintah dan pembangkang. Konfrontasi agama, kaum dan demokrasi, yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Apabila struktur sosial tidak seimbang, bagaimana pula dengan pembangunan negara?

 

Dari sudut pilihan raya, Anwar Ibrahim berada dalam tekanan untuk tidak kalah dalam 6 PRN yang akan datang terutamanya 3 negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Beliau sama sekali tidak boleh membenarkan PN mendapat apa-apa.


 

tnb

 


Strategi Kerajaan Perpaduan berdepan serangan pihak lawan

Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) begitu jelas amemanipulasikan isu perkauman dan agama, dalam usaha untuk memenangi 6 PRN. Sebagai contoh, PAS menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang ‘merampas tanah orang Melayu secara sistematik’ dan membandingkan keadaan itu seperti Palestin. Tujuan utama PAS jelas adalah untuk memprovokasi orang Melayu dan sentiment pengundi.

 

Dalam hal ini kerajaan Anwar mempunyai beberapa strategi yang boleh dipilih untuk menangani serangan PN, termasuklah mengabaikannya, melayan karenah konservatisme atau lancar serangan balas secara menyeluruh. Nampaknya kerana takut kehilangan undi Melayu, Kerajaan Perpaduan telah menggunakan strategi serangan balas untuk pertahanan.

 

Selain itu, mengabaikan atau tidak ambil peduli boleh mengelak kemarahan pengundi konservatif. Tetapi jika gelombang konservatisme melanda seluruh masyarakat Melayu, secara perlahan-lahan Pakatan Harapan (PH) akan menyusut dan hanya akan berada dalam kepompong mereka sendiri.

 

Sementara itu, memilih persaingan konservatif dengan PN pula hanya akan mengukuhkan lagi kuasa pihak lawan. Ini kerana kerajaan Anwar tidak boleh menjadi lebih konservatif daripada PN, bimbang akhinya penyokong mereka sendiri akan angkat kaki.

 

Menerusi serangan balas pula, boleh mendedahkan niat politik musuh tetapi ia belum cukup untuk menghentikan gelombang hijau. Kerajaan dan penjawat awam juga akan terpengaruh dengan pemikiran radikal yang akan menyebabkan banyak halangan kepada kemajuan negara.

 

Hanya dengan mengangkat panji-panji kesederhanan, pluralisme dan liberalisme, secara menyeluruh menentang ekstrim agama dan perkauman barulah dapat memaparkan keadilan dan aspirasi rakyat Malaysia.

 

Kerajaan Perpaduan ‘tidak berdaya’

Sebenarnya, Kerajaan Perpaduan boleh disifatkan sebagai ‘tidak berdaya’. Meskipun adanya Anwar Ibrahim sebagai PM yang kaya dengan pengalaman perjuangan, adalah mustahil untuk beliau membuat serangan terlebih dahulu.  Ini kerana beliau perlu sedaya upaya mengimbangi kekuatan semua pihak demi mencapai kestabilan politik, membangunkan ekonomi dan menarik pelaburan asing.


 

tnb

 


Namun pembangunan mengambil masa untuk membuahkan hasil, sebaliknya hasutan memberi kesan serta-merta. Jadi momentum Kerajaan Perpaduan sebenarnya sudah dikalahkan oleh PN.

 

Selain mendapat tekanan dari PN, ada juga beberapa individu yang mementingkan diri sendiri dalam Kerajaan Perpaduan. Antaranya Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahukan permohonan maaf daripada DAP. Tapi dalam keadaan UMNO hari ini, apa alasannya untuk meminta DAP mohon maaf?  Situasi ini benar-benar membuatkan kedua-dua parti kekok bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

 

Berkuasa tetapi lemah

Pendek kata, prestasi parti-parti Kerajaan Perpaduan dalam 6 PRN adalah sangat membimbangkan. Jika Anwar Ibrahim tidak mengambil inisiatif untuk menyerang PN, beliau akan selamanya dikerumuni oleh musuh dan gelombang hijau akan terus menyelubunginya.

 

Andai kata Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar berjaya menyempurnakan 5 tahun pemerintahan, mereka ibarat ‘itik tempang’ dan sangat lemah, mensia-siakan 5 tahun peluang pembangunan yang berharga.

 

Kerajaan Perpaduan berdepan masalah kesukaran ekonomi ketika sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRN. Selepas habis tempoh berbulan madu, pelbagai isu ekonomi dan isu rakyat mulai timbul.


 

volatiliti

 


Ringgit menjunam, inflasi tinggi, hutang yang hampir menembusi siling sebagainya. Meskipun PM merangkap Menteri Kewangan berkata beliau akan merancakkan ekonomi, tapi lebih banyak sekadar bercakap daripada bertindak.

 

Pun begitu, ekonomi sebegini tidak boleh juga dipersalahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan. Masalah struktur Malaysia adalah hasil daripada sikap berat sebelah dasar ekonomi yang disengajakan oleh ahli politik selama bertahun-tahun.

 

Kesimpulannya, dalam 6 PRN ini, pengundi sebenarnya telah menyuarakan akan menyokong kerajaan yang benar-benar mendahului rakyat. Bukannya parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan semata-mata mahu berkuasa. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao, Sin Chew Jit Poh, Oriental Daily dan Kwong Wah Yit Poh 14-17 Jun 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags