APA KHABAR EKONOMI NEGARA DI BAWAH KERAJAAN ANWAR? - SIN CHEW JIT POH
Sin Chew Jit Poh 24 -25 November 2023
MERAIKAN ulang tahun pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM, mari kita semak semula prestasi ekonomi kerajaan Anwar sepanjang tahun lalu.
Apabila bercakap tentang ekonomi, inilah punca utama kemerosotan populariti kerajaan Anwar.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga di negara kita melonjak berkali-kali sehingga menimbulkan tekanan yang hebat kepada rakyat biasa.
Kadar inflasi
Semasa Anwar berkuasa pada November 2022, kadar inflasi negara berada pada tahap yang agak tinggi iaitu 4 peratus.
Walaupun kadar 4 peratus tersebut adalah menurun daripada titik tertinggi dalam dua tahun yang lalu iaitu 4.7 peratus pada Ogos 2022. Tetapi ia hampir dua kali ganda kadar inflasi purata sebanyak 2.1 peratus dalam tempoh 10 tahun sebelum wabak COVID-19 melanda negara.
Setahun selepas Anwar berkuasa, data inflasi terkini pada September tahun ini telah menurun kepada 1.9 peratus. Sebab-sebab penurunan adalah termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah, pemulihan rantaian bekalan domestik dan asing, bank pusat Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah, kejatuhan harga komoditi dan kelembapan ekonomi dunia.
Bagaimanapun, penurunan ini masih tidak dapat memberi kelegaan kepada rakyat. Meskipun punca utama inflasi negara tinggi adalah kerana faktor asing, namun tidak sukar memahami hasrat rakyat agar masalah ini dapat diselesaikan segera oleh kerajaan.
Maka, kerajaan Anwar telah memperkenalkan Menu Rahmah dan Jualan Rahmah. Dan pada tahun ini apabila inflasi masih lagi tinggi, pembaharuan subsidi telah dijalankan secara berperingkat-peringkat, kecuali subsidi elektrik dan subsidi ayam.
Di samping itu, mengurangkan bahagian defisit fiskal kerajaan secara beransur-ansur kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga membantu mengekang inflasi. Secara keseluruhannya, prestasi kerajaan dalam mengurangkan inflasi adalah sederhana.
Pertumbuhan ekonomi
Dari segi pertumbuhan ekonomi pula, dari suku keempat 2022 hingga suku ketiga 2023, kadar pertumbuhan KDNK masing-masing adalah 7.1%, 5.6%, 2.9% dan 3.3%.
Berbanding dengan purata sebelum wabak kira-kira 5%, 7.1% pada suku keempat 2022 dan 5.6% pada suku pertama 2023 adalah agak tinggi, manakala 2.9% dan 3.3% pada suku ketiga dan keempat adalah lebih rendah daripada purata.
Prestasi yang agak cemerlang pada suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 sebahagiannya mencerminkan kesan asas yang rendah dan pemulihan pasca wabak, tetapi tidak semua kredit terletak pada kerajaan.
Prestasi yang agak lemah pada suku kedua dan ketiga tahun ini mencerminkan kelembapan dalam ekonomi antarabangsa, bukan sepenuhnya kesilapan kerajaan.
Jadi, prestasi kerajaan dalam pertumbuhan ekonomi tahun ini masih dianggap lulus, tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki.
Sudah tentu ramai yang menaruh harapan yang lebih tinggi kepada kerajaan agar dapat menggalakkan pembangunan ekonomi negara kita yang lebih kukuh.
Dalam hal ini, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak melakukan apa-apa dari segi ekonomi. Anwar sedang giat membawa masuk pelaburan asing.
Beliau mengetuai delegasi ke China dan berjaya meraih komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion. Lawatan ke AS pada November pula, membawa pelaburan RM63.02 bilion daripada Syarikat gergasi teknologi.
Di samping itu, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga sebagainya. Bagaimanapun, hasil pelaburan dan pelan tindakan yang besar ini akan mengambil masa sekurang-kuranynya 3 hingga 5 tahun untuk memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Justeru itu, sementara menunggu langkah-langkah ini membawa dividen kepada ekonomi dalam jangka sederhana, kerajaan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek seperti melonggarkan syarat permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan memberi pengecuali visa bagi kemasukan pelancong China dan India.
Kadar pertukaran asing
Satu lagi penunjuk prestasi ekonomi ialah kadar pertukaran ringgit di mana ringgit lemah berbanding dolar AS tahun ini. Faktor utama yang menyebabkan kelemahan ringgit adalah faktor asing. Khususnya kenaikan kadar faedah AS dan kelembapan ekonomi China, jadi ia tiada kaitan dengan kerajaan.
Bagaimanapun, apabila memperkatakan mengenai kadar pertukaran ringgit, rakyat juga menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan, untuk membantu ringgit mendapatkan semula kedudukan yang hilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, selain berharap faktor asing akan bertambah baik, kerajaan juga perlu giat meningkatkan ekonomi kita untuk memberi ruang yang lebih besar kepada pertumbuhan ringgit.
Ekonomi punca perubahan sentimen pengundi
Kaji Selidik Merdeka Center menegaskan bahawa perubahan dalam sentimen pengundi sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap ekonomi dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan mereka.
Menurut tinjauan pendapat Merdeka Center, 60% pengundi percaya bahawa negara sedang bergerak ke arah yang salah, dan sebab utama arah yang salah ini ialah masalah ekonomi (56%), ketidakstabilan politik (13%) dan pengurusan pentadbiran yang lemah (9%). Pada masa yang sama, 78% pengundi menganggap isu ekonomi sebagai isu utama yang dihadapi rakyat pada hari ini.
Dapat dilihat bahawa masalah utama adalah ekonomi! Kerajaan Anwar perlu mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat mengurangkan beban hidup mereka. Jika tidak, sukar untuk memenangi lebih banyak sokongan pengundi kelak.
Rakyat hari ini berdepan dengan kesukaran ekonomi dan kerajaan mesti mempunyai rancangan jangka pendek untuk meringankan kesulitan rakyat.
Setahun sudah berlalu, dan kesabaran rakyat ada hadnya. Anwar mesti memberi perhatian kepada maklum balas orang ramai. Mempercepatkan langkah, melaksanakan reformasi, dan merangsang pembangunan ekonomi untuk memulihkan kadar sokongan yang merosot dan kembalikan keyakinan pengundi. – DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 24 -25 November 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA