Bajet 2023: Perlukan kecekapan ekonomi dan keseimbangan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 24 Dec 2022 07:00 AM

BAJET 2023: PERLUKAN KECEKAPAN EKONOMI DAN KESEIMBANGAN

Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 21-23 Dis 2022

 

 

 

 

PADA 19 Disember 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyingkirkan keraguan apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15. 

 

Kemudian Bajet Mini 2023 yang berjumlah RM107.7 bilion juga diluluskan pada hari berikutnya. Kerajaan baharu perlu mengemukakan bajet mini ini kerana Bajet 2023 yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu belum diluluskan.

 

Dan belanjawan baharu 2023 memerlukan masa untuk penyediaan dan dijangka akan dibentangkan pada Februari tahun depan.

 

Perbelanjaan yang diliputi dalam bajet mini tidak banyak, tetapi cukup untuk memberi gambaran terhadap hala tuju Bajet 2023 kerajaan baharu.

 

Beberapa dasar dalam bajet mini adalah salinan cadangan daripada Bajet 2023 kerajaan terdahulu. Antaranya bantuan awal persekolahan RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa; bantuan RM350 kepada pesara diteruskan dan bantuan khas kewangan RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah.

 

Hala tuju Bajet 2023 kerajaan baharu jadi tumpuan

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan langkah subsidi yang lebih cekap untuk melindungi rakyat dan perniagaan kecil. Selain pada masa yang sama, akan mengurangkan subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat kaya yang akan mendapat keuntungan besar.

 

Kerajaan baharu akan memperkukuhkan langkah perlindungan sosial untuk melindungi kumpulan yang terdedah termasuk pekerja gig.

 

Dalam hal ini, Ketua Ekonomi Penyelidikan Affin Hwang Capital, Alan Tan Chew Leong berpendapat belanjawan yang dikemukakan semula akan memberi tumpuan kepada menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

 

Pada masa sama, memberi tumpuan kepada inisiatif untuk memacu ekonomi kearah pertumbuhan yang mampan. Dan memberi fokus kepada strategi fiskal jangka sederhana dan panjang kerajaan.

 

Tarik pelaburan asing secara aktif

Satu lagi tumpuan dalam belanjawan kerajaan baharu tahun depan adalah untuk mengaktifkan semula perniagaan domestik dan sentimen pengguna. Termasuk juga cara untuk mempromosikan langkan pelaburan swasta yang lebih baik, terutamanya dari segi menarik pelaburan asing ke negara ini.

 

Meskipun kenaikan harga masih menjadi cabaran besar bagi dunia dan negara kita, tetapi Alan Tan percaya inflasi keseluruhan tahun depan masih berada pada paras terurus.

 

Antara 3 hingga 3.25 peratus, pada masa sama mengekalkan inflasi tahun ini pada 3 hingga 3.5 peratus; manakala 2.52 peratus pada tahun 2021.

 

Ketidaktentuan menggugat ekonomi

Apabila ekonomi utama terus mengetatkan dasar monetari, ia akan menyebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan akan terus mengheret momentum pertumbuhan keseluruhan tahun depan.

Walaupun pakar ekonomi percaya bahawa Malaysia yang sangat terbuka dan bergantung kepada perdagangan eksport boleh memberi prestasi ekonomi yang cemerlang.

 

Namun di bawah risiko penurunan luaran seperti pertumbuhan ekonomi global yang lebih lemah daripada jangkaan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka perlahan kepada 3.7 peratus tahun depan, lebih buruh daripada jangkaan kerajaan.

 

Kerajaan dalam laporan ekonomi sebelum ini, ramalan pertumbuhan ekonomi untuk tahun hadapan dijangka mencapai kadar 4 hingga 5 peratus. Anwar Ibrahim juga menegas bahawa KDNK tahun ini dijangka melebihi unjuran sebelumnya sebanyak 6.5 hingga 7 peratus.

 

Bagaimanapun Alan Tan pula berpendapat bahawa ekonomi negara kita masih akan terus bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global. Oleh kerana banyak ketidaktentuan yang dihadapi oleh pembangunan ekonomi global, jadi ekonomi negara tahun ini agak mencabar.

 

Jualan semikonduktor global merundum

Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang sangat terbuka, permintaan terhadap semikonduktor global yang lemah berkemungkinan akan mengheret negara kita dan seterusnya menjejaskan prestasi eksport negara.

 

Apabila aktiviti pembuatan global semakin perlahan, jualan semikonduktor global menyusut sebanyak 4.6 peratus pada bukan Oktober. Berbanding dengan pertumbuhan dua angka sebelum separuh pertama tahun ini, kemerosotan yang agak ketara.

 

Walaupun eksport produk mentah Malaysia stabil, persekitaran luaran yang berterusan menghadapi ketidaktentuan dan prospek ekonomi yang merosot juga akan mempercepatkan pengurangan eksport elektronik dan elektrik (E&E) negara, terutamanya pada separuh pertama tahun depan.

 

Dalam keadaan ini Malaysia tidak boleh sesekali memilih pihak. China adalah negara perdagangan terbesar kita dan Amerika Syarikat (AS) pula adalah negara ekonomi terbesar dunia.

 

Jadi Malaysia yang terperangkap dalam jurang ini perlu berjuang bersama negara ASEAN yang lain untuk melindungi hak sendiri.

 

Sokongan permintaan domestik

Memandangkan risiko penurunan faktor luaran terutamanya pertumbuhan ekonomi global mungkin lemah daripada jangkaan, Affin Hwang Capital meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan masih perlahan kepada 3.7 peratus, meskipun disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

 

Permintaan domestik yang kukuh akan memainkan peranan pening dalam mengurangkan potensi kelembapan dalam eksport tahun depan.

 

Selain itu, perbelanjaan swasta yang menyumbang kira-kira 61 peratus daripada KDNK negara, akan menjadi enjin utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam pasaran buruh, upah, perdagangan borong dan runcit.

 

Jadi menggalakkan pembukaan semula negara akan dapat memacu pembangunan bidang berkaitan pelancongan.

 

Selepas membuka semula sepenuhnya aktiviti ekonomi dan sosial domestik, dan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara, dapat dilihat terdapat penambahbaikan dalam kadar pengangguran 3.6 peratus pada akhir September berbanding 4.6 peratus purata tahun 2021. 

 

Selain itu, sektor borong dan runcit dijangka akan mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil pada tahun depan.

 

Dengan pembukaan semula negara dan kemasukan pelancong antarabangsa, pemulihan sektor pelancongan juga boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan negara.

 

Kestabilan politik sangat penting

Sekiranya kerajaan dan pembangkang dapat membangun ke arah tadbir urus yang rasional, selaras dengan apa yang diperkatakan oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu berinteraksi dengan berkongsi kuasa.

 

Situasi politik yang stabil akan membantu meningkatkan keyakinan modal asing ke negara.

 

Sekali gus mengurangkan pengaliran keluar dana kesan daripada kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (FED).

 

Bajet yang rasional

Akhir sekali, dalam keadaan perbendaharaan negara yang ketat dan pertindihan parti dalam kerajaan, jumlah keseluruhan belanjawan baharu 2023 tidak jauh berbeza daripada yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu.

Oleh itu, rakyat hanya boleh mengharapkan kerajaan baharu akan memberi lebih perhatian untuk menilai kecekapan ekonomi dalam penggubalan bajet baharu.

 

Kerajaan perlu elak pemberian subsidi dan bantuan berterusan yang tidak cekap dan tidak disasarkan.

 

Pada masa yang sama merangka mekanisme kawal selia yang berkesan untuk memastikan wang rakyat tidak dibazirkan. – DagangNews.com

 
 
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 21-23 Disember 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA