Dilema Pendidikan Cina tiada penghujung - Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 04 Dec 2023 08:00 AM

DILEMA PENDIDIKAN CINA TIADA PENGHUJUNG

Nanyang Siang Pao 1 & 2 Disember 2023

 

 

ISU pendidikan Cina sudah lama berlarutan. Masalah sebegini tidak dapat diselesaikan walaupun berlaku perubahan rejim. Isu ini sebenarnya tiada kaitan dengan undi di tangan yang dimiliki. Jika tidak, sudah tentu isu ini dapat diselesaikan sejak dulu lagi.

 

Situasi politik di Malaysia hari ini berbeza sama sekali berbanding 1980-an dan 1990-an. Dua kali mengalami perubahan rejim dan kejatuhan autoritarianisme. Sebahagian besar kuasa politik Cina tertumpu dalam Pakatan Harapan (PH) dengan DAP sebagai kuasa utama dan mempunyai kelebihan dalam memerintah. Tiada lagi kesukaran atau perpecahan seperti dulu.

 

Cuma apabila Barisan Nasional (BN) tumbang dan UMNO semakin nazak, gelombang hijau pembangkang kini menjadi ancaman baharu kepada masyarakat Cina dan pendidikan Cina.

 

Akibatnya, Kerajaan Perpaduan masih bergelut untuk melakukan reformasi institusi dan masih menghadapi banyak kesukaran dalam isu pendidikan Cina.

 

Isu-isu lama masih berlegar

Isu-isu lama seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), peruntukan untuk pendidikan Cina, penambahan sekolah Cina, guru yang tidak mencukupi, sistem kuota yang menyebabkan pelajar Cina cemerlang tidak berpuas hati dengan pengambilan universiti awam (IPTA). Masalah ini masih lagi membelenggu anak-anak Cina generasi baru.

 

Dalam era hegemoni politik yang didominasi oleh UMNO, walaupun di bawah tekanan dasar asimilasi yang kuat dan angkuh, masyarakat Cina dan sektor pendidikan Cina telah merangka satu set strategi yang munasabah dan mencukupi untuk menangani kesukaran birokrat pentadbiran.

 

Walaupun pada masa itu, parti pemerintah Cina dituduh ‘pemimpin yang tiada kuasa’, namun atas tekanan undi sekurang-kurangnya mereka dapat memberi sesuatu yang diinginkan oleh masyarakat Cina.

 

Dahulu semasa ‘perjuangan dalaman’ antara MCA dan UMNO dalam isu pendidikan Cina, Pemuda MCA dan Pemuda UMNO sering menjadi barisan hadapan bertelagah di media. Kemudian pemimpin tertinggi kedua-dua parti akan tampil menjernihkan keadaan dan akhirnya mencapai kompromi. Mereka akan merancang untuk mencapai titik keseimbangan.

 

Namun, ‘peraturan permainan’ yang telah dipersetujui secara diam-diam ini telah lama tidak wujud selepas perubahan rejim dan keruntuhan hegemoni UMNO.

 

Keutamaan reformasi institusi

Dalam era baru perpecahan politik, hubungan antara musuh dan rakan berubah pada bila-bila masa dan peraturan permainan baru serta undang-undang belum direka lagi. Jadi bagi pendidikan Cina, ini telah menambahkan banyak ketidakpastian dan risiko.

 

Bagaimanapun, reformasi sistem negara sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Ser Anwar Ibrahim telah menangani perkara mengikut keutamaan.

 

Masalah pendidikan Cina yang berkurun lama, tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa yang singkat meskipun telah berlaku perubahan rejim pemerintahan.

 

Sesetengah orang berharap semua usaha dapat dicapai dalam satu pertempuran, meminta kerajaan baharu menyelesaikan masalah yang melanda pendidikan Cina dalam tempoh yang singkat.

 

Kita boleh faham permintaan sebegini, cuma ia tidak realistik. Masalah dan dilema yang dihadapi oleh pendidikan Cina sejak sekian lama sebenarnya adalah berpunca daripada politik.

 

Apatah lagi di Malaysia, masalah pendidikan sering menjadi isu politik dan akhirnya akan berkembang menjadi isu perkauman yang sensitif.

 

Birokrasi lama sukar diubah

Di sebalik perubahan rejim, pemikiran sistem birokrasi lama masih sukar untuk diubah. Segala jenis penyelewengan pentadbiran yang dikritik dan ‘Napoleon Kecil’ rejim terdahulu masih bersembunyi di semua peringkat birokrasi negara.

 

Kerajaan baharu mungkin masih memerlukan sedikit masa untuk menangani masalah ini, menstabilkan keadaan keseluruhan adalah keutamaan. Tidak boleh memberi peluang kepada kumpulan reaksioner untuk melakukan serangan balas dan membiarkan negara terjerumus dalam huru-hara kaum dan agama.

 

Apatah lagi, pendidikan Cina dalam era pendemokrasian politik kini menghadapi pelbagai cabaran yang jauh lebih kompleks berbanding era autoritarian.

 

Selain rasuah, birokrasi dan ekstremisme yang tidak berubah selama beberapa dekad, terdapat juga isu lain seperti persaingan antara sekolah antarabangsa dan sekolah swasta, trend kadar kelahiran rendah dalam masyarakat Cina dan kemerosotan pelajar Cina dari tahun ke tahun. Begitu juga fenomena baharu seperti kemasukan ramai pelajar bukan Cina ke sekolah Cina.

 

Kerjasama dan tolak ansur

Di bawah situasi politik baharu, hubungan antara kumpulan pendidikan Cina dan parti politik kerajaan dan pembangkang juga harus membuat pelarasan strategik yang fleksibel, sumbang saran dan mencari ‘senjata ideologi’ yang sepadan.

 

Dan mempromosikan dasar setiap parti politik agar sesuai dengan pembangunan hala tuju pendidikan Cina. Jika warga pendidikan Cina terlalu optimistik dan percaya bahawa perubahan rejim akan melaksanakan tugas dan seterusnya tidak pempolitikan dan mengawal diri.

 

Maka apabila ‘gerakan pendidikan Cina’ bertukar menjadi ‘tugasan pendidikan Cina’, sekali gus gerakan sosial akan menjauhi ketegangan politik. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 1 & 2 Dis, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

parafrasa