Langkah Dubai: Guling kerajaan sudah jadi kebiasaan – Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 08 Jan 2024 08:00 AM

Langkah Dubai: Guling kerajaan sudah jadi kebiasaan – Nanyang Siang Pao

Nanyang Siang Pao 2 -7 Januari 2024

 

 

 

BARU-BARU ini, Timbalan Ketua Pengarah (komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop mendakwa beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) melancarkan gerakan ‘Langkah Dubai’ sewaktu bercuti di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Dikatakan bahawa rancangan ini adalah untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Dalam hal ini, tiada siapa yang berani mengakui khabar angin komplot rampasan kuasa. Hanya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS yang berani berkata bahawa beliau ‘yakin ia boleh jadi kenyataan’.

 

Malah beliau juga terus terang berkata ‘ia adalah lebih seronok jika Kerajaan Perpaduan boleh tumbang dalam masa seminggu’.

 

Adakah Langkah Dubai ini benar? Jika benar, ini membuktikan sifat buruk, kepura-puraan dan tipu daya ahli politik yang bercita-cita tinggi untuk mencapai kepentingan sendiri.

 

Sebelum ini, ada pihak yang mendedahkan bahawa terdapat komplot yang mengintai dengan harapan dapat menghalang dasar yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH). Kemudian rampasan kuasa Sheraton berlaku bagi menggulingkan kerajaan PH.

 

Begitu juga pada awal penubuhan Kerajaan Perpaduan oleh Anwar tahun lalu, terdapat satu lagi komplot Langkah London.

 

 

apa

 

 

Guling kerajaan sudah jadi kebiasaan

Dalam tempoh lebih setahun Kerajaan Perpaduan memerintah, kita sudah berulang kali mendengar khabar angin cubaan menggulingkan kerajaan.

 

Dalam hal ini, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr. James Chin berpendapat, gerakan guling kerajaan seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan dalam negara kita.

 

‘Sebab utama Langkah Dubai bagi menggulingkan kerajaan adalah kerana wujudnya persepsi kuat dalam masyarakat Melayu bahawa ini bukan kerajaan majoriti Melayu. Sebaliknya kerajaan pimpinan DAP, Sabah dan Sarawak. Justeru ia menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Melayu di Semenanjung’.

 

‘Itulah sebabnya ada desakan untuk keluar daripada situasi ini. Mereka mahu kerajaan yang didominasi Melayu, seperti situasi yang mereka ada antara tahun 2020 hingga 2022’.

 

‘Anwar terlalu melebih-lebihkan politik. Beliau sedang bermain dengan ‘permainan Islam’ kerana cuba untuk meraih sokongan akar umbi Melayu. Tetapi masalahnya ialah dia tidak boleh menewaskan PAS, yang akan sentiasa lebih Islam daripada orang lain’.

 

PM tidak seharusnya memanipulasi politik secara keterlaluan. Sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada tumpuan dalam peningkatan ekonomi. Jika tidak, rejim ini sukar untuk bertahan dalam baki empat tahun lagi.

 

Kerajaan Perpaduan sedang berusaha

Walaupun tidak nampak pencapaian dan pembaharuan yang besar dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan, namun sekurang-kurangnya negara tidak seperti kegawatan semasa wabak melanda, dan rakyat tidak berada dalam keadaan panik.

 

Sepanjang setahun ini, Anwar berusaha untuk memulihkan negara dan membolehkan kita untuk terus bernafas.

 

Walaupun kita berdepan dengan kenaikan inflasi dan pengurangan pendapatan, keadaan politik negara masih agak stabil dan ekonomi pulih secara perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat sinar cahaya dalam kegelapan.

 

 

hikayat

 

 

Jika seperti yang dikhabarkan, PN berhasrat untuk melancarkan gerakan mengguling kerajaan, sudah tentu ia akan menjadi satu lagi pertempuran politik yang berlarutan dan memakan masa.

 

Persoalannya, mampukah negara ini selagi lagi berdepan dengan perbalahan politik? Wabak COVID-19 sebenarnya telah merosakkan ekonomi negara kita dengan teruk. Wabak ini umpama cermin ajaib yang mendedahkan kerapuhan ekonomi kita.

 

Negara kita pernah mengalami krisis kewangan pada tahun 1997, tetapi pemimpin negara tidak mengambil pengajaran dan tidak mengumpul asas ekonomi yang mencukupi untuk negara menghadapi krisis seterusnya.

 

Belanjawan defisit setiap tahun

Sejak di bawah kepimpinan Tun Mahathir, Abdullah Badawi dan Najib Razak, belanjawan negara mengalami defisit setiap tahun.

 

Apabila krisis datang, sumber yang boleh kita guna sangat terhad dan akhirnya kita berada dalam dilema tidak berdaya, manakala majoriti rakyat sengsara.

 

Kemudian pergolakan politik semasa wabak melanda pula telah menyebabkan ekonomi kita semakin tertekan. Sekiranya kestabilan jangka pendek tidak dapat dikekalkan, nescaya akan membawa bencana lain.

 

Mengikut perkembangan ekonomi semasa, Amerika Syarikat mungkin tidak lagi menaikkan kadar faedah dan dana akan kembali semula ke pasaran Asia.

 

Negara perlu merebut peluang untuk menarik dana ke dalam negara kita, bagi memulihkan ekonomi yang lembap.

 

Tetapi jika parti pemerintah dan pembangkang sekali lagi memulakan konflik, sudah pasti ia akan menakutkan dana luar dan akhirnya semua orang akan rugi.

 

 

hikayat

 

 

Kita berharap tiada lagi gerakan licik untuk menggulingkan kerajaan dan perubahan drastik pada masa hadapan.

 

Pemimpin parti politik mesti menghentikan semua taktik dan muslihat untuk menjatuhkan orang serta memanipulasi sentimen perkauman dan agama.

 

Tiada siapa mahu mendengar cerita dongeng ‘Kisah Pengembala dan Serigala’! - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 2 -7 Jan 2024, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

parafrasa