Larangan berjudi di Kedah: Dasar tanpa pertimbangan
Sin Chew Jit Poh, 18 Nov 2021
MINGGU lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengumumkan larangan pengoperasian premis perjudian di negeri itu.
Jika melihat dari sudut praktikal, larangan terhadap dua syarikat perjudian iaitu Magnum dan Berjaya Sports Toto hanya memberi impak yang kecil kerana tidak mempunyai cawangan yang banyak di Kedah. Dijangkakan anggaran kerugian hanya kira-kira 3% daripada keuntungan.
Bagaimanapun, langkah ini akan memberi kesan negatif yang tidak dapat diramalkan kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.
‘Pertaruhan kecil mengundang kegembiraan’, alasan yang selalu digunakan oleh orang ramai untuk merasionalkan perjudian.
Sudah tentu dari sudut moral, tiada sesiapa pun yang menggalakkan sebarang bentuk perjudian.
Kita juga bersetuju perjudian yang tidak terkawal boleh menimbulkan beberapa masalah sosial.
Tetapi tindakan Kedah kurang pertimbangan terperinci dan meletakkan agama di atas ekonomi.
Bagi pelabur di belakang dua syarikat tersebut, pendekatan sewenang-wenang kerajaan negeri itu langsung tidak mempunyai pemikiran pragmatik.
Tindakan PAS dari dua negeri di Pantai Timur sehinggalah ke Kedah, jelas sekali menggunakan agama untuk meraih sokongan orang Melayu.
Tanpa menyedari perbuatan tersebut membuatkan pelabur mula hilang keyakinan terhadap persekitaran pelaburan negara.
Sehingga hari ini, PAS berterusan menggunakan isu agama dan orang Melayu tanpa sempadan, malah sengaja memaksa parti-parti Melayu yang lain turut serta dalam isu yang dibangkitkan.
Sekiranya PAS berjaya menukarkan negara sekular ini kepada negara teokrasi, nescaya negara akan berdepan kemudaratan yang tidak dapat dijangkakan.
Hari ini, PAS hanya sebahagian parti gabungan pemerintah, tetapi jika suatu hari nanti parti itu memegang tampuk pemerintahan dan membuat keputusan mengikut firasat hati, pastinya pelabur luar tidak lagi yakin dengan negara.
Berdepan dengan arus globalisasi hari ini, pasaran ekonomi Malaysia sudah tidak mempunyai apa-apa kelebihan.
Jika dasar yang diperkenalkan merugikan orang lain dan diri sendiri serta mengabaikan kepentingan pelabur, sudah tentu mereka akan terus angkat kaki.
Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat kerana terpaksa berdepan dengan dilema pengangguran, sekatan kenaikan gaji dan sebagainya.
Mungkin ada yang menganggap larangan perjudian hanya perkara remeh, tetapi impaknya sangat luas iaitu:
- Kurangnya kepercayaan kapitalis terhadap tadbir urus PAS;
- Tindakan kerajaan pusat tidak campur tangan seolah-olah bersetuju dengan keputusan tersebut membuatkan pelabur mula meragui kepimpinan negara.
- Larangan ini juga menunjukkan konservatisme agama semakin serius di negara kita. Faktor-faktor yang dinyatakan di atas menyebabkan Malaysia ‘anak terbiar’ dalam ekonomi serantau.
Kerajaan negeri Kedah perlu menyedari betapa seriusnya masalah ini, dan kerajaan pusat harus mengambil tindakan.
Kita tidak menggalakkan perjudian, tetapi syarikat perjudian menerusi cukai juga menyumbang kepada perolehan hasil negara.
Sekiranya ingin menamatkan pengaruh industri perjudian, kita perlu membuat pertimbangan jangka panjang.
Pertama sekali, hak dan kepentingan pelabur perlu dilindungi. Begitu juga dengan persekitaran pelaburan juga perlu dititikberatkan.
Larangan perjudian harus bermula dengan pendidikan, supaya orang ramai tahu kemudaratan berjudi. Tanpa penjudi, lama-kelamaan industri ini pasti akan terus hilang.
Ahli politik tidak harus membuat tindakan yang hanya akan mendatangkan kemudaratan besar kepada ekonomi negara.
Larangan perjudian bukan sahaja menjejaskan Kedah, tetapi persepsi dan imej Malaysia secara keseluruhannya.
Apabila imej negara rosak, kepentingan ekonomi juga akan turut terjejas.
Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 18 November 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA