Logikkah teori `Kopi Murah’ Rafizi? Soal Nanyang Siang Pao
Nanyang Siang Pao 28-30 Disember 2022
INFLASI dalam ekonomi moden bermaksud peningkatan dalam paras harga keseluruhan, biasanya kita panggil sebagai kenaikan harga. Inflasi secara amnya ialah penurunan dalam nilai pasaran mata wang atau kuasa membeli.
Apabila mata wang menyusut, harga akan meningkat dan kuasa membeli menurun sehingga membentuk inflasi.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kepada media, inflasi negara pada November 2022 meningkat sebanyak 4%.
Inflasi makanan masih menjadi faktor utama kerana sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan bermasak. Selain makanan, harga di restoran dan hotel terus bergerak tinggi meningkat kepada 7 peratus berbanding 6.8% pada bulan Oktober.
Kekurangan bekalan menyebabkan inflasi
Dalam kehidupan sebenar, pilihan pengguna adalah sangat kompleks dan inflasi adalah satu aspek.
Pandangan tradisional bahawa inflasi adalah disebabkan terlalu banyak wang, tetapi selepas serangan wabak, inflasi berlaku juga disebabkan oleh pengurangan bekalan.
Inflasi yang disebabkan oleh kekurangan bekalan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan. Sebagai contoh jika terdapat 100 isi rumah di sebuah kampong dengan andaian jumlah minyak masak sebulan ialah 1,000 liter. Selagi bekalan berkurangan sebagai 10 peratus maka harga minyak masak secara automatik akan meningkat.
Oleh itu, jika indeks inflasi meningkat bermakna harga barangan asas telah meningkat. Harga kopi biasa di kedai mamak juga akan meningkat bukan setakat harga kopi mewah.
Teori kopi Rafizi Ramli
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membuat kenyataan ‘usah beli barangan mahal untuk membendung inflasi’, telah menimbulkan kritikan daripada parti pembangkang dan semua lapisan masyarakat.
Rafizi berkata usaha untuk menentang inflasi mestilah secara kolektif dan memberitahu dirinya hanya akan berbelanja kira-kira RM3 sahaja untuk membeli kopi. Tidak akan membeli kopi mahal dengan harga RM10 atau RM11.
Rafizi juga menyeru mengelak pembelian barangan yang terlalu mahal untuk memaksa perniagaan mengurangkan harga. Dan beliau berpendapat pengguna juga harus memikul sebahagian daripada tanggungjawab kenaikan harga makanan.
Walaupun kenyataan ‘anti inflasi’ Rafizi kelihatan munasabah pada pandangan pertama, tetapi ia bukan sesuatu yang harus dikatakan oleh seorang menteri ekonomi. Teguran sebegitu sepatutnya dibuat oleh pemimpin persatuan pengguna atau pengguna biasa yang bersembang di kedai-kedai kopi adalah lebih sesuai.
Ahli politik tidak mengendahkan ekonomi
Sejujurnya, dasar balas yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah sangat terhad. Menetapkan harga siling pada barangan harian akan merugikan diri sendiri, menjadikan barangan lebih terhad dan labih mahal.
Semasa awal serangan wabak COVID-19, kerajaan telah menekan harga topeng sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan, dan orang ramai perlu bertanya dan membuang masa beratur untuk membelinya. Adalah mustahil pengetahuan asas ekonomi ini tidak diketahui!
Namun begitu, mengabaikan ekonomi adalah perkara yang sering dilakukan oleh ahli politik. Tidak hairanlah ahli ekonomi Amerika Syarikat, Thomas Sowell berkata pelajaran pertama dalam ekonomi adalah kekurangan, dan pelajaran pertama dalam sains politik adalah mengabaikan pelajaran pertama dalam ekonomi.
Pemikiran berbeza anak muda
Sudah tentu cara Rafizi berfikir bukan kecenderungan anak muda. Menggalakkan anak muda supaya tidak minum kopi mahal pastinya bukan penyelesaian kepada masalah tidak cukup wang untuk berbelanja.
Orang muda minum kopi mahal adalah untuk meningkatkan status dan gaya mereka. Anak muda sudah biasa mengikut peredaran zaman, dan hanya peniaga yang benar-benar berjiwa ‘untung’ akan mempromosikan perniagaan mereka.
Hari ini banyak kafe baru muncul semata-mata untuk menjana wang daripada golongan muda yang sanggup berbelanja untuk membeli kopi yang mahal.
Pasaran Malaysia sudah ke peringkat antarabangsa. Kemasukkan peniaga jenama antarabangsa ini telah mengubah tabiat hidup golongan muda. Mereka mengikut rentak warga asing, golongan anak muda mahukan gaya hidup luar negara. Jika mahu mengubah cara mereka, sudah tentu ia sukar untuk diterima.
Jika semua orang mendengar nasihat Rafizi, bukankah pasaran yang sudah maju ini akan runtuh?
Bimbing golongan muda pecah belenggu ekonomi
Sama ada teori kopi Rafizi, atau teori stoking Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka hanya mahu memberitahu bahawa kehidupan ahli politik tidaklah mewah. Mereka tahu mengawal perbelanjaan melalui langkah penjimatan.
Tetapi anak muda tidak akan mengikut langkah Rafizi minum kopi murah begitu juga memakai stoking murah seperti Anwar.
Anak muda menyokong jenama terkenal kerana fesyen dan ahli politik tidak mungkin dapat mengubah mentaliti mereka.
Golongan muda moden menyokong makanan, pakaian dan barangan keperluan harian yang berkualiti tinggi dan berjenama.
Jadi kerajaan harus meningkatkan langkah untuk membimbing anak muda keluar dari belenggu ekonomi.
Walaupun berjimat cemat adalah satu kebaikan, jika masyarakat bertukar menjadi ketinggalan, nescaya golongan muda di kawasan bandar akan menjadi lebih pasif.
Ahli politik boleh memberi saranan berjimat cermat kepada anak muda agar tidak berbelanja keterlaluan.
Belajar menjalani kehidupan yang lebih ketat dan bersama-sama menghadapi keadaan ekonomi yang sempit pada hari ini.
Pemimpin negara yang berkaliber
Pun begitu, golongan muda berpendapat selagi adanya pemimpin negara yang berkaliber menggalakkan dasar yang baik maka ekonomi negara akan pulih secara beransur-ansur.
Jadi tiada masalah untuk mereka memperoleh lebih banyak pendapatan dan kemudian berbelanja dengan mewah. Di samping itu, pasaran juga akan melalui satu kitaran dan menjadi sangat berdaya tahan.
Sekiranya kerajaan mahu membendung inflasi ke tahap yang lebih besar, mungkin perlu mengurangkan kebergantungan kepada import, mencapai sara diri dalam bekalan makan dan menggalakkan lebih banyak pembangunan industri.
Lebih berhati-hati dalam berkata
Dalam menghadapi dilema inflasi, perkara yang terdesak bukanlah isu rakyat beli barang mahal atau peniaga jual barang mahal. Tetapi kerajaan perlu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mengurangkan kelemahan subsidi.
Jika kedua-dua masalah ini ditangani dengan betul, nescaya semuanya akan menjadi lebih mudah.
Dan bagi mereka yang memerintah terutamanya menteri-menteri, harus lebih berhati-hati dalam tutur kata dan perbuatan.
Kekerapan mengeluarkan kenyataan yang tidak bijak, bukan hanya menyusahkan diri sendiri tetapi keseluruhan kerajaan juga akan terperangkap dalam ketidakadilan. – DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 28-30 Disember 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.