Nilai Ringgit Malaysia jatuh, SALAH siapa? - Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 3 June 2023

NILAI RINGGIT MALAYSIA JATUH, SALAH SIAPA?

Nanyang Siang Pao, 1-2 Jun 2023

 

 

DATA Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan, selama lebih seminggu ringgit menyusut berbanding dolar AS selama lebih seminggu. Kejatuhan ringgit telah menarik perhatian semua lapisan masyarakat apabila ia jatuh ke paras RM4.60 berbanding satu dolar AS.

 

Disebabkan ketidaktentuan siling hutang AS dan kesan penghindaran risiko pasaran, telah menyebabkan peningkatan dalam permintaan terhadap dolar AS. Pada masa yang sama keadaan ini juga menyebabkan ringgit jatuh berbanding dolar AS.

 

Walaupun AS telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan had siling hutang kerajaan sehingga 1 Januari 2025, namun ia masih dalam pemerhatian senat.

 

Pelepasan siling hutang AS mungkin meredakan sementara tekanan susut nilai ringgit yang berterusan dalam jangka pendek. Bagaimanapun, ahli ekonomi menyatakan kebimbangan tentang akibat jangka panjangnya.

 

Bon baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan AS boleh menyebabkan pelabur mengeluarkan wang daripada saham pasaran yang sedang pesat membangun, dan meletakkannya ke dalam pasaran bon yang agak stabil.

 

Malangnya jika pasaran saham merudum dan sekali lagi mencetuskan penghindaran risiko dalam pasaran, maka ringgit akan terperangkap dalam kitaran kemerosotan yang berterusan.

 

 

parafrasa

 

 

Eksport negara tidak meningkat

Meskipun ada pakar ekonomi yang berpendapat bahawa penyusutan nilai ringgit akan memberi manfaat kepada eksport, namun data terkini menunjukkan bahawa keseluruhan eksport negara telah jatuh sebanyak 17.4%.

 

Industri pembuatan terutamanya produk elektronik dan elektrik yang menyumbang lebih daripada 80% eksport negara, juga telah jatuh 15.5% dari tahun ke tahun.

 

Oleh itu, kerajaan perlu membuka bidang ekonomi baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh industri pembuatan. Jika tidak, eksport yang lemah akan menyebabkan defisit perdagangan semakin melebar dan seterusnya menyebabkan kejatuhan nilai ringgit.

 

Ringgit juga lemah berbanding dolar Singapura, jatuh serendah RM3.40 kepada dolar Singapura. Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang pelbagai negara, akan menyebabkan kenaikan harga barang import. Tambahan pula dengan inflasi yang disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah, telah memberi kesan langsung kepada pendapatan dan kuasa membeli rakyat.

 

Selaras dasar kewangan

Penurunan nilai mata wang merupakan isu serius dalam ekonomi semasa, kerana telah menjejaskan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. 

 

Baru-baru ini kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong telah merumitkan lagi keadaan. Menurut beliau bahawa kerajaan tidak mempunyai hak di bawah undang-undang untuk campur tangan dalam dasar monetari.

 

Tetapi, kerajaan harus mencari penyelesaian kreatif untuk memutarkan arah aliran susut nilai ringgit dan menjaga kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.

 

 

MOF

 

 

Kerajaan boleh melaksanakan beberapa siri dasar dan langkah ekonomi untuk menangani kejatuhan nilai ringgit.

 

Walaupun kesan faktor luaran terhadap kadar pertukaran ringgit sukar dikawal, kerajaan boleh memperkukuhkan aktiviti ekonomi dalaman dan meningkatkan kestabilan pasaran. Ini boleh dicapai dengan merangsang penggunaan domestik, meningkatkan pembangunan infrastruktur dan menggalakkan pelaburan.

 

Galak pembelian barangan tempatan

Kerajaan harus menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan bagi mengurangkan permintaan terhadap barangan import dan seterusnya mengurangkan pengaliran keluar pertukaran asing.

 

Selain itu, galakkan inovasi dan meningkatkan daya saing industri juga dapat menarik lebih banyak aliran masuk modal asing, meningkatkan rizab pertukaran asing dan seterusnya meningkatkan kestabilan ringgit.

 

Kerajaan juga perlu mengukuhkan kerjasama dengan negara lain untuk bersama-sama menangani cabaran yang dibawa oleh ketidaktentuan ekonomi global.

 

Faktor luaran telah memberi kesan utama kepada kejatuhan nilai ringgit, terutamanya dasar kadar faedah AS dan aliran modal asing. Justeru itu, kerajaan harus mengekalkan hubungan rapat dengan AS dan cuba menyesuaikan hubungan perdagangan dua hala untuk mengurangkan kesan terhadap ringgit.

 

Walaupun kerajaan menyatakan tiada hak untuk campur tangan dalam dasar monetari, tetapi masih boleh melaraskan dasar kadar faedah melalui Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara.

 

 

parafrasa

 

 

Menukar kadar faedah penanda aras untuk mempengaruhi penawaran dan permintaan wang, sekali gus mempengaruhi kadar pertukaran.

 

Jika kerajaan ingin menstabilkan atau meningkatkan kadar pertukaran ringgit, boleh mempertimbangkan untuk menaikkan kadar faedah. Ini kerana kadar faedah yang lebih tinggi akan menarik lebih banyak aliran masuk modal asing, meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menyokong kadar pertukaran mata wang.

 

Pelaksanaan langkah pertukaran asing

Kerajaan juga boleh menggunakan alat dasar monetari seperti, nisbah keperluan rizab, nisbah rizab deposit, perjanjian beli balik terbalik dan sebagainya untuk melaraskan kecairan dalam sistem perbankan.

 

Menerusi penambahan atau pengurangan bekalan kecairan, langkah-langkah ini boleh digunakan untuk mengawal lebihan atau kecairan tidak mencukupi bagi menstabilkan aliran kadar pertukaran ringgit.

 

Apabila perlu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan beberapa langkah kawalan pertukaran asing untuk mengehadkan kecairan.

 

Sebagai contoh, menyekat aliran modal dan menghalang aliran keluar dana pertukaran asing yang besar. Langkah ini dapat mengurangkan tekanan jualan terhadap ringgit. 

 

Namun, langkah-langkah ini adalah bersifat sementara untuk mengelakkan ketidakpastian dan kesan negatif kepada pelabur dan peserta pasaran. 

 

 

parafrasa

 

 

Jadi kerajaan perlu mempertimbangkan secara menyeluruh pelbagai faktor, semasa melaraskan dasar kewangan termasuk keadaan ekonomi, tekanan inflasi dan situasi perdagangan antarabangsa.

 

Penyelarasan dasar kewangan harus dirancang, bermatlamat dan berpandangan ke hadapan untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan kestabilan kadar pertukaran.

 

Kesimpulannya, kerajaan mesti meningkatkan daya saing ekonomi domestik dan menarik pelaburan asing dengan melaksanakan reformasi struktur ekonomi.

 

Sebagai contoh, mengikut hala tuju Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dirangka sebelum ini, menggalakkan inovasi teknologi kewangan dan ekonomi digital untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kewangan dan menjadikan negara lebih menarik kepada pelaburan asing.

 

 

BNM

 

 

Walaupun dikatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan secara langsung dalam dasar monetari BNM, tetapi tidak boleh sepenuhnya mengalihkan tanggungjawab untuk menstabilkan kadar pertukaran kepada BNM. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar nanyang Siang Pao 1-2 Jun 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags