KUALA LUMPUR 22 Nov - Kenanga Research meramalkan jualan domestik Power Root Bhd kekal mendatar kesan daripada pelarasan harga manakala pasaran luar negara terus menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik.
Katanya, kumpulan itu akan berdepan persaingan sengit daripada jenama lain kerana strategi pelarasan harganyanya memberikan mereka kesukaran menawarkan diskaun terhadap produk mereka.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu sebahagiannya akan diimbangi kenaikan gaji kakitangan awam bermula Disember 2024 yang boleh membantu memulihkan kuasa perbelanjaan pengguna.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap pasaran luar negara yang dijangka berdepan cabaran berterusan akibat ketidakstabilan geopolitik, memberi kesan kepada permintaan runcit global selain menyebabkan gangguan rantaian bekalan, terutamanya pasaran Asia Barat.
"Turun naik dalam harga komoditi dan kadar tukaran mata wang asing berkemungkinan terus memberi tekanan kepada kos kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, hasil 1HFY25 susut 1% kerana jualan eksport yang lebih lemah (-13%) tetapi diimbangi sebahagiannya oleh jualan domestik yang bertambah baik (+7%).
Firma penyelidikan itu percaya, peningkatan dalam jualan dometik mungkin sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan harga berkesan untuk produk Alicafe yang dilaksanakan beberapa suku yang lalu.
Bagaimanapun, keuntungan bersihnya menjunam 38% disebabkan peningkatan kos buruh (+15%) dan kerugian tukaran mata wang asing sebanyak RM2.7 juta (1HFY24: keuntungan RM2.1 juta).
"Kami menyemak turun untung bersih FY25-FY26 masing-masing sebanyak 8% dan 7%, mengambil kira kos buruh yang lebih tinggi.
"Kami menjangkakan kesan minimum daripada kenaikan cukai gula tempatan yang akan datang di bawah Belanjawan 2025, kerana 88% daripada SKU kumpulan di Malaysia sudah pun berada di bawah ambang cukai gula (sehingga FY24) disebabkan usaha penggubalan semula produk yang berterusan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.30 sesaham.- DagangNews.com