PRU15: Pengundi pedulikah kandungan manifesto?
Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 7-11 November 2022
PROSES penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November lepas berjalan dengan lancar dan secara rasminya setiap parti melancarkan kempen pilihan raya mereka untuk meraih sokongan pengundi.
Walaupun keghairahan kempen pilihan raya kali ini mungkin tidak semeriah dan sehebat PRU14, namun persaingan antara parti politik dan calon dilihat lebih sengit berbanding sebelum ini.
Dalam pertempuran sekarang, seramai 945 orang calon yang bersaing untuk merebut 222 kerusi Parlimen, semua parti politik bertungkus lumus menonjolkan diri, menawarkan manifesto pilihan raya yang terbaik untuk memenangi sokongan pengundi agar dapat melangkah masuk ke Putrajaya.
Tiga blok parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah pun melancarkan manifesto mereka dan masing-masing mempunyai penekanan yang berbeza.
Terpulang kepada pengundi untuk menilai yang mana satu benar-benar realistik dan boleh dipercayai.
Manifesto PH
Dalam manifesto Tawaran Harapan mengandungi 10 tawaran utama antaranya meningkatkan taraf hidup rakyat; menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada belia; menyelamatkan generasi yang tercicir; meningkatkan daya saing wanita; memelihara alam sekitar; banteras rasuah dan sebagainya.
Boleh dikatakan manifesto ini hampir sama seperti yang dulu, hanya diubah dengan kata-kata indah untuk menjadikan ‘kitab suci’ lebih menarik.
Isu pendidikan Cina yang sentiasa menjadi perhatian iaitu ‘pengiktirafan segera Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)’.
Semasa era pemerintahan PH, janji manifesto yang dikatakan tidak dapat ditunaikan ini sekali lagi diselitkan dalam Tawaran Harapan PRU15.
Bagaimanapun kali ini ia tidak lagi menjadi keutamaan, hanya salah satu tuntutan dengan nada yang lebih berlapik: meneruskan usaha untuk mengiktiraf sijil UEC.
Satu lagi isu yang pernah menjadi heboh apabila secara terang-terangan mengatakan mahu memansuhkan tol.
Perkara ini sekali lagi menjadi modal PH, tetapi kali ini suara mereka lebih merendah diri: berazam untuk teruk mengurangkan tol PLUS secara berperingkat dan matlamat utama masih lagi untuk menghapuskan tol.
Perkara ini diselitkan dalam keutamaan pertama manifesto iaitu tangani isu kos sara hidup, jika tidak baca dengan teliti pasti tidak nampak.
Cukuplah dengan memohon maaf di atas ketidakbijaksanaan manifesto yang lepas, dan rakyat boleh berfikir dan memahaminya.
Manifesto PN
Sementara itu, manifesto PN pula mengemukakan 12 tunjang utama dengan bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’.
Antaranya 12 tunjang utama termasuklah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat; menjaga golongan Bumiputera, belia, wanita, warga emas, orang kelainan upaya dan generasi FELDA; membina ekonomi masa depan yang berdaya saing dan sebagainya. Boleh dikatakan manifesto ini hampir menyerupai manifesto PH.
Apabila membaca keseluruhan kandungan manifesto, boleh didapati banyak isu-isu utama hari ini yang disebut.
Antaranya, menstabilkan kadar pertukaran asing; mencegah inflasi yang tidak stabil; menyokong industri yang berdaya saing’ dan sebagainya. Nampak hebat tetapi ia adalah sukar untuk dicapai.
Bagi memeriahkan lagi manifesto, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pelancaran turut membuat janji untuk mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaik sahaja perikatan menang PRU.
Sejak dua tahun negara dilanda COVID-19 dan bebanan inflasi yang dihadapi rakyat pertengahan dan bawahan, mungkin pengeluaran KWSP dapat melegakan sedikit tekanan ekonomi rakyat.
Namun ini bukan penyelesaian yang terbaik hanya sekadar untuk pancing undi.
Manifesto BN
Manifesto BN kedengaran hampir menyerupai belanjawan yang akan diketengahkan oleh kerajaan setiap tahun.
Cuma bahagian yang paling menarik adalah menjanjikan cuti bergaji pada hari lahir pekerja. Tiada seorang pekerja pun yang akan merungut apabila banyak cuti, dan tambahan ‘cuti hari jadi berbayar’ pastinya satu kegembiraan.
Namun jika berfikir secara rasional, untuk apa sebenarnya keperluan cuti sebegini? Bukankah kita sudah menikmati cuti umum yang hampir 10 hari pada setiap tahun?
Sebelum ini pun sudah ada ‘cuti menang bola’ dan kalau ditambah ‘cuti hari jadi’, agak-agak apalah persepsi pelabur asing? Adakah cuti ini dapat menyelamatkan dan membangunkan negara?
Selain itu, BN juga menawarkan kemudahan komputer riba percuma kepada pelajar golongan M40 dan guru apabila menang PRU. Apakah rasionalnya pemberian komputer riba ini?
Adakah pelajar dan guru M40 akan terjejas sekiranya tidak mempunyai komputer riba sendiri? Tiada yang percuma di dunia ini, agih komputer riba juga adalah daripada duit hasil titik peluh pembayar cukai.
Gula-Gula
Walaupun ketiga-tiga blok politik mempunyai variasi manifesto sendiri, namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu memenangi hati pengundi.
Manifesto populis yang dikemukakan adalah untuk menggembirakan pengundi juga dan memenuhi keperluan rakyat, namun ia tidak semestinya betul.
Memberi lebih banyak faedah dan kebajikan untuk rakyat adalah sesuatu yang baik, namun semuanya masih perlu dibina atas dasar rasional. Kita tidak boleh mengabaikan realiti, menabur janji menang baru bincang.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengeluarkan amaran bahawa disebabkan kejutan berulang ekonomi global pada tahun lalu, risiko kemelesetan ekonomi global 2023 telah meningkat. Jadi negara kita juga harus sentiasa bersiap sedia.
Parti-parti politik boleh mengagih gula-gula untuk memenangi hari pengundi, tetapi kita sebagai pengundi yang bijak pasti tahu cara untuk menilainya.
PRU kali ini harus memilih kerajaan yang memahami ekonomi, berpengalaman dan boleh memimpin negara mengharungi gelombang sejuk ekonomi.
Bukannya parti politik yang membuta tuli menggunakan politik populis untuk menggembirakan rakyat. - DagangNews.com