Sentuh SJKC akan timbulkan lebih banyak konflik - Akhbar Cina
Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao & Oriental Daily 9–10 Mac 2023
PADA ketika keadaan politik negara huru-hara dan berdepan masalah dalaman luaran, Pilihan Raya Umum ke-15 pada November lalu menyaksikan pengundi Malaysia membuang undi yang paling bersejarah. Setiap nilai undi adalah untuk memilih orang yang berkaliber bagi mentadbir dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih baik.
Walaupun rejim telah berubah, tetapi ahli-ahli politik negara masih tidak berubah. Situasi hari ini menjadi semakin jelas bahawa konfrontasi politik yang akan datang bukanlah konfrontasi dasar, tetapi pergelutan antara satu kaum dan berbilang kaum.
Masih bermain kad kaum dan agama
Dari Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, seterusnya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir, dengan nada tegas mahu kembali ke jalan lama bermain dengan kad perkauman dan agama.
Hadi Awang telah berulang kali membangkitkan sentimen perkauman bagi membuka jalan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah didominasi oleh ahli Parlimen bukan Islam daripada Pakatan Harapan (PH).
Hadi Awang juga berkata adalah fenomena berbahaya jika undi bukan Islam lebih tinggi kerana ia akan menyebabkan bukan Islam mengambil alih kuasa di Malaysia. Menurutnya lagi, peratusan keluar mengundi bukan Islam ialah 98 peratus, berbanding 68 peratus bagi orang Islam. Betul atau salah kenyataan Hadi Awang, kita hanya perlu belek data. Tetapi dalam hal ini, kadang-kadang orang enggan menilai mana yang benar atau tidak.
Baru-baru ini dalam satu sesi dialog, Tun Dr. Mahathir memberitahu kepada media tentang kebimbangannya terhadap negara akan menjadi seperti Singapura selepas PRU17 kelak. Yang mana orang Melayu sudah tidak dapat menguasai ekonomi negara dan kehilangan kuasa politik. Bulan lepas, beliau juga ada menyatakan kebimbangan yang sama iaitu kuasa Melayu akan dilemahkan dengan persempadanan semula.
Apabila seorang pemimpin yang pernah dua kali menjadi PM dan telah memimpin negara selama lebih 20 tahun, tetapi di bibirnya masih lagi menyebut mengenai kepentingan satu kaum. Jadi tidak hairanlah, mengapa sehingga hari ini Malaysia masih tidak dapat keluar dari belenggu perkauman.
Bagi Mukhriz pula, secara zahirnya beliau berbeza dengan bapanya. Tetapi dari segi ideologi politik, mereka adalah sama. Mukhriz baru-baru ini membuat kenyataan bahawa melainkan sistem pendidikan negara diperbetulkan secara menyeluruh dan sekolah pelbagai aliran dimansuhkan, jika tidak usah bermimpi bukan orang Melayu menjadi PM.
Tindakan menyentuh sekolah pelbagai aliran dan menyasarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik dan tidak akan menyelesaikan isu perkauman.
Kebenaran dan fakta bukan kegemaran ahli politik
Mari lihat kepada data jika benar yang dikata bahawa ahli Parlimen bukan Islam mendominasi Kerajaan Perpaduan. Antara 148 ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan, 77 daripadanya adalah beragama Islam, melebihi separuh daripada jumlah besar.
Dari segi pembahagian kuasa, jawatan-jawatan penting dalam kabinet seperti PM, TPM, menteri kewangan, menteri dalam negeri, menteri pertahanan, menteri pendidikan adalah dipegang oleh orang Islam. Manakala bukan Islam bertanggungjawab terhadap Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Beliau dan Sukan, dan Kementerian Pelancongan sebagainya.
Jadi dari segi bilangan, orang Islam lebih ramai daripada bukan Islam. Begitu juga dari segi ‘kualiti’ pengagihan kuasa, orang Islam juga lebih baik daripada bukan Islam. Justeru itu, dari mana datangnya teori bukan Islam menguasai kerajaan?
Mengenai peratusan keluar mengundi pula, jika benar peratusan keluar mengundi orang islam rendah, bagaimana PAS boleh bangkit dan menjadi parti paling kuat dalam blok Perikatan Nasional? Bagaimana boleh tercetusnya ‘tsunami hijau’ pada PRU15?
Jadi mungkin benar bahawa kebenaran dan fakta bukanlah kegemaran ahli politik, hanya undi adalah paling penting dan undi adalah raja!
Kestabilan Kerajaan Perpaduan jadi keutamaan
Anwar Ibrahim berjaya melalui 100 hari pentadbirannya. Oleh kerana rejimnya adalah sebuah Kerajaan Perpaduan, maka banyak kompromi dan konsensi yang perlu dibuat dan perlu mengambil kira perasaan orang Melayu.
Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan menerima ancaman daripada Perikatan Nasional. PM mengambil langkah dasar ekonomi ‘meminjam daripada orang kaya untuk membantu orang miskin’. Mengambil sedikit kekayaan daripada poket orang kaya untuk dibelanjakan kepada orang miskin.
Walaupun dasar yang diambil ini adalah melangkaui kaum dan orang Melayu kaya juga akan dikenakan cukai lebih, tetapi orang Cina sentiasa merasakan bahawa mereka akan membayar lebih banyak.
Jika mahu menstabilkan rejim, sumber kewangan perlu mencukupi dan salah satunya adalah menggunakan kekayaan orang-orang kaya untuk membantu orang lain. Jika ada orang kaya yang sanggup berkorban dan bekerjasama dengan kerajaan tanpa rungutan, maka Kerajaan Perpaduan akan berpeluang untuk menstabilkan rejim.
Dalam keadaan ini, Anwar bukan sahaja akan mendapat sokongan orang-orang kaya tetapi juga kasih sayang orang miskin. Namun bukan mudah untuk memiliki keduanya dalam masa serentak.
Tetapi jika kerajaan tidak dapat mencapai keseimbangan antara yang kaya dan miskin, ‘tsunami hijau’ pasti akan melanda
Pilihan rakyat menentukan masa depan negara
Ketika negara sedang berjalan ke arah kemajuan dan berusaha untuk kemakmuran ekonomi, kita masih diheret oleh ahli politik ke dalam konflik perkauman.
Selepas 50 tahun, Malaysia masih lagi bertikai mengenai isu perkauman. Bagaimana pula selepas 100 tahun, adakah pemikiran kita masih sempit bercakap mengenai kepentingan orang Melayu, orang Cina…tidak melihat kesejahteraan Malaysia dari perspektif yang lebih tinggi.
Dunia sudah berubah, tetapi ahli politik kita masih sama. Hala tuju masa depan negara terletak di tangan pengundi terutamanya pengundi Melayu.
Mereka akan membuat pilihan, jika mahu menuju ke arah keterbukaan dan kepelbagaian serta memberi fokus kepada demokrasi ekonomi. Atau memilih untuk kekal di tempat lama dan menjunjung tinggi panji-panji bangsa dan agama.
Mudah-mudahan, pilihan di tangan adalah yang tepat! - DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 9-10 Mac 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.