Serbuan jam `pelangi’ dorong akhbar Cina anggap Malaysia kian jadi negara konservatif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 27 May 2023 07:00 AM

Serbuan jam `pelangi’ dorong akhbar Cina anggap Malaysia kian jadi negara konservatif

Sin Chew Jit Poh & Oriental Daily 24-26 Mei 2023

 

 

 

‘PELANGI’ menjadi isu viral baru-baru ini. Bagi kanak-kanak, pelangi dengan warna-warna cerah hanya boleh dilihat sekali-sekali apabila langit cerah selepas hujan turun.

 

Semasa kecil, apabila terlihat pelangi pasti melonjak keriangan melihat warna-warna cantik muncul di langit. Malah sehingga dewasa kini, kita masih gembira memberitahu rakan di sebelah apabila munculnya pelangi di langit.

 

Warna pelangi dan LGBT

Apabila pelangi bukan lagi fenomena alam yang tersergam indah tinggi di langit,  ia kini telah telah diberi makna dan gambaran lain bagi mereka yang berminat.

 

Kini, pelangi tiba-tiba menjadi isu rumit yang diperdebatkan, seolah-olah warna merah; oren; kuning; hijau; biru; indigo dan ungu boleh mempengaruhi minda seseorang.

 

Adakah pelangi warna eksklusif untuk Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)? Jawapannya ya.

 

 

parafrasa

 

 

Setiap kali adanya acara yang melibatkan komuniti LGBT, pasti akan kelihatan bendera enam warna. Merah; oren; kuning; hijau dan biru. Lima warna pertama yang bertindih dengan warna pelangi dan hanya warna terakhir yang sedikit berbeza.

 

Mengapa warna-warna ini dipilih? Asal-usulnya masih lagi diperdebatkan sehingga hari ini. Namun apa yang pasti, pemilihan warna itu membawa maksud bahawa golongan ini adalah sama dengan dunia, tiada beza dengan orang biasa cuma orientasi seksual mereka sahaja yang berbeza.  Mereka menyifatkan LGBT umpama pelangi. Walaupun tidak muncul setiap hari, tidak bermakna mereka tidak wujud.

 

KDN melatah

Baru-baru ini, kecoh apabila Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah merampas 164 buah jam tangan koleksi bertemakan pelangi yang bernilai RM64,225, di butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri.

 

Pada mulanya, orang ramai menyangka kesalahan adalah disebabkan warna pelangi. Tetapi kemudian didapati bahawa salah satu daripada lima koleksi jam tangan Pride mempunyai perkataan ‘LGBT’ dan ia telah dirampas. Bagaimanapun, operasi rampasan telahpun dibatalkan.

 

Menurut laporan The Edge, ‘operasi mengejut’ KDN dilancarkan selepas melihat siaran meluas tentang siri ‘Pride’ dan kumpulan muzik British, Coldplay yang menyokong hak ‘minoriti seksual’ (LGBTQIA+) di media sosial.

 

Di Malaysia, semua acara yang berkaitan dengan ‘LGBT’ adalah dilarang. Termasuklah akhbar-akhbar tidak boleh menerbitkan sebarang kandungan yang berkaitan dengan ‘LGBT’.

 

 

parafrasa

 

 

Swatch dan pasaran perniagaannya

Kegunaan jam tangan adalah untuk melihat masa, tetapi hari ini corak dan rekaan lebih menjadi keutamaan berbanding ketepatan masa. Jadi pemilihan warna pelangi atau adanya cetakan perkataan LGBT, sebenarnya hanyalah salah satu reka bentuk Swatch yang dijual di seluruh dunia.

 

Jenama Swatch yang telah bertahun-tahun bertapak di pasaran, tidak akan sesekali dengan sengaja mereka bentuk jam tangan yang akan menghina atau menyinggung agama serta melanggar undang-undang.

 

LGBT tidak diharamkan secara global, dan kali ini koleksi tersebut dilancarkan di Malaysia dengan pasaran yang lebih besar dipercayai ditujukan kepada pelancong dari seluruh dunia.

 

Menurut Swatch, falsafah perniagaan mereka sentiasa mempromosikan ‘mesej positif kehidupan bahagia’. Swatch juga mengikuti peredaran masa dan gaya popular golongan muda, jadi setiap model rekaan jam akan sentiasa berubah.

 

Sama ada bunga, tumbuhan, serangga, perayaan sebagainya akan digunakan sebagai tema reka bentuk dan ini termasuklah pelangi.

 

Beribu pejabat di Switzerland, Swatch ialah pengeluar jam tangan fesyen terbesar di dunia dan jenama ini berada di kedudukan 206 di dunia. Jenama terkenalnya termasuk Longines, Omega, Rado, Tissot, Calvin Klein…terdapat 18 jenama keseluruhannya.

 

Memandangkan ia terbuka untuk perniagaan, jadi tidak keterlaluan untuk melancarkan jam tangan dengan perkataan LGBT. Apatah lagi dalam pasaran bebas, sama ada untuk membeli atau tidak itu adalah pilihan masing-masing.

 

Malaysia sensitif dengan pemilihan ‘perkataan’

Beberapa tahun lalu, berlaku isu restoran Auntie Anne hanya kerana menu makanan ‘Pretzel Dog’ mempunyai perkataan ‘dog’, tidak halal dan tidak boleh dijual. Tetapi kemudian perkataan ‘dog’ telah ditukarkan kepada ‘sausage’ dan boleh dijual, sudah tentu rasanya adalah sama sahaja.

 

 

parafrasa

 

 

Kemudian isu arak ‘Timah Wisky’ tidak boleh dijual kerana nama Timah disamakan dengan nama anak perempuan Nabi Muhammad, Fatimah. Hari ini, berlaku lagi kontroversi jam tangan Swatch tidak boleh dicetak dengan perkataan ‘LGBT’. Keadaan ini jelas menunjukkan masyarakat kita semakin ke arah konservatif.

 

Perlu ambil kira pembangunan ekonomi

Adalah mustahil untuk kita menutup pintu dan tidak berurus niaga dengan orang asing. Industri pelancongan adalah sangat diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara.

 

Pada masa sama, negara kita juga terdiri daripada berbilang kaum, agama dan budaya, jadi semua orang harus belajar untuk toleransi dan menerima perbezaan antara satu sama lain.

 

Malaysia tidak pernah menjadi masyarakat yang menerima LGBT secara terbuka. Tidak aka nada sebarang perarakan dan perhimpunan kerana Malaysia masih lagi negara konservatif termasuk rakyatnya yang bukan Islam.

 

Tetapi kebanyakan daripada kita tidak akan menganiaya sesiapa sahaja yang secara peribadi memilih untuk hidup berbeza, atau mengisytiharkan komuniti LGBT ini ada masalah mental.

 

Jadi serbuan dan rampasan ke atas butik Swatch adalah tindakan yang berlebihan. Kita dan ahli politik terlebih bimbang dengan jam tangan pelangi, sehingga mengabaikan isu yang lebih penting tentang cara meningkatkan ekonomi, kos sara hidup dan taraf pendidikan.

 

Mungkin selepas ini, kita tidak dapat lagi membeli aiskrim Paddle Pop yang bertemakan pelangi, andai kata pihak berkuasa memutuskan untuk menghentikan penjualannya kerana dianggap berunsurkan LGBT.

 

 

parafrasa

 

 

Tetapi adakah warna pelangi dan beberapa perkataan LGBT di permukaan jam tangan itu benar-benar akan memberi pengaruh?

 

Jika orientasi seksual dan minda seseorang begitu mudah terpengaruh, bermakna pemikirannya belum cukup matang.

 

Jika dikatakan menjejaskan pemikiran seseorang, rasanya internet lebih memainkan peranan. Mungkin selepas ini ada yang akan mula mencadangkan agar internet disekat secara beransur-ansur. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 24-26 Mei 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA