1 juta kediaman dilengkapi Meter Pintar TNB | DagangNews Skip to main content

1 juta kediaman dilengkapi Meter Pintar TNB

Meter Pintar TNB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan sebanyak satu juta Meter Pintar telah dipasang di Melaka dan Lembah Klang, serta menyasarkan pemasangan yang lebih banyak sepanjang tahun ini.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pengumuman tersebut adalah pencapaian penting TNB sejak pemasangan Meter Pintar empat tahun lalu di Melaka.

 

"Di sebalik cabaran yang dihadapi pada tahun 2020, saya berbangga dengan kemajuan kami yang selaras dengan  sasaran pemasangan 1.5 juta unit menjelang penghujung tahun 2021.

 

"Pelanggan kami merupakan faktor terbesar yang memain peranan penting terhadap kejayaan pemasangan Meter Pintar di seluruh negara memandangkan mereka kini terus mencari lebih banyak cara bagi memperkasakan diri mereka dalam mengurus penggunaan tenaga harian.  

 

"Bagi tahun 2021, kami berharap dapat melihat lebih ramai pelanggan mengambil langkah memantau kehidupan mereka menerusi penggunaan Meter Pintar, dan membuat pilihan yang cekap tenaga untuk mereka dan negera keseluruhannya, untuk masa depan yang lebih hijau dan tenaga yang lebih lestari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemasangan meter tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk menambah baik kehidupan pengguna melalui penyedian akses, ketelusan dan kawalan yang lebih baik terhadap penggunaan tenaga harian.

 

Tambah beliau, TNB juga merekodkan peningkatan jumlah pengguna myTNB yang ketara, daripada 1.4 juta kepada 4.7 juta, iaitu 236% peningkatan daripada Disember 2019 hingga Disember 2020. 

 

Platform myTNB membolehkan pemilik rumah menyemak dan membayar bil mereka secara digital.

 

"Sejajar dengan penambahbaikan ciri-ciri myTNB yang berterusan bagi memperkasa pelanggan pada bila-bila masa dan di mana jua,pengumuman sekatan keluar masuk di seluruh negara awal tahun ini telah membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memanfaat platform digital ini bagi mengurus akaun dan penggunaan tenaga mereka.

 

"Selain para pengguna digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi atau melayari portal myTNB bagi menyemak dan membayar bil bulanan mereka, pengguna yang mempunyai Meter Pintar di kediaman pula dapat memantau penggunaan elektrik harian mereka," katanya lagi.

 

TNB meletakkan harapan untuk meluaskan pemasangan Meter Pintar di Lembah Klang pada tahun 2021 di lokasi-lokasi lain di seluruh Malaysia dalam masa terdekat. - DagangNews.com