15,734 usahawan dapat bimbingan INSKEN setakat Julai  | DagangNews Skip to main content

15,734 usahawan dapat bimbingan INSKEN setakat Julai 

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Seramai 15,734 usahawan dari seluruh negara telah dilatih melalui 366 program yang dianjurkan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) secara dalam talian setakat akhir Julai 2021. 

 

Malah, jumlah itu juga melepasi sasaran awal INSKEN bagi tahun ini dalam usaha membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Lebih membanggakan, ia turut menunjukkan sebanyak RM5.6 juta hasil jualan dapat ditingkatkan melalui 7 program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan 2 program Online Onboarding Coaching Program (E-Board) yang telah tamat.

 

 

Muhd. Firdaus Azharuddin
Muhd. Firdaus Azharuddin

 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN tidak pernah berhenti menghulurkan bantuan kepada usahawan melalui program bimbingan dan latihan keusahawanan bagi memastikan mereka dapat meningkatkan skala perniagaan walaupun berdepan cabaran wabak ini.

 

Beliau turut menggesa usahawan untuk memperbaiki model perniagaan mereka sebagai perkara asas paling
utama selain terus menguasai ilmu keusahawanan yang lain seperti jualan dan pemasaran.

 

"Semakan terhadap model perniagaan ini boleh dibuat dengan menyertai Program Online Biz Plan Review
anjuran INSKEN.

 

"Dalam usaha kerajaan untuk mempersiapkan usahawan ke arah ekonomi digital, kami juga berjaya melaksanakan 8 program E-Board sehingga Julai lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi 2 program E-Board yang sudah tamat, ia berupaya mencatat peningkatan jualan melebihi RM300,000 manakala 6 lagi program masih sedang berjalan. 

 

E-Board merupakan program bimbingan yang direka khas untuk meningkatkan jualan dengan menggunakan platform secara atas talian seperti Facebook, WhatsApp, TikTok dan Instagram.

 

Selain itu, menurut Muhd. Firdaus, INSKEN juga berjaya menganjurkan 23 program IBCC secara dalam talian pada tahun ini sekali gus melebihi sasaran 13 program sebelum ini.

 

"Keberkesanan program ini terbukti apabila RM5.3 juta peningkatan hasil jualan tercipta daripada 7 program IBBC yang telah tamat sehingga Julai 2021," tambahnya. 

 

Beliau berkata, setiap usahawan perlu menyedari kepentingan transformasi ke arah digital dan INSKEN tidak pernah jemu untuk membantu mereka kekal bertahan melalui pelbagai program latihan pendigitalan. 

 

Ini katanya, berdasarkan hasil kaji selidik Impak Perintah Kawalan Pergerakan Terhadap Landskap Keusahawanan di Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menunjukkan 48.31% usahawan sudah menjalankan perniagaan secara atas talian sehingga akhir Jun 2021.

 

"Situasi ini dapat dilihat apabila program INSKEN Business Training (IBT) semakin mendapat sambutan yang baik. 

 

"Sehingga Julai lalu, 13,387 usahawan telah mendapat manfaat daripada 290 program latihan yang dijalankan," katanya.

 

Melihat kepada permintaan semakin tinggi, beliau memberitahu, program IBT akan ditambah dari semasa ke semasa merangkumi latihan kepada semua kategori usahawan. - DagangNews.com