3 faktor kekalkan momentum TIV sektor automotif pada 4Q20 | DagangNews Skip to main content

3 faktor kekalkan momentum TIV sektor automotif pada 4Q20

Honda City 2020

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam sektor automotif negara dijangka menurun pada suku keempat 2020.

Perkara itu dinilai berdasarkan kepada sentimen pengguna yang lemah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta penamatan moratorium pinjaman.

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research berkata, penurunan tersebut dilihat mampu diimbangi dan dikekalkan dengan tiga penilaian penting dalam sektor berkenaan.

"Kami melihat pelancaran kenderaan baharu seperti Honda City dan Nissan Almera dapat membantu TIV pada suku keempat 2020. Lebih-lebih lagi pelancaran yang akan dayang iaitu Proton X50 yang telah menerima lebih daripada 20,000 tempahan.

"Sementara itu, kemungkinan lanjutan pengecualian cukai jualan dan kelewatan pelaksanaan metodologi nilai pasaran terbuka untuk kenderaan dalam pembentangan Bajet 2021 yang dijadualkan pada awal November dilihat dapat membantu mengekalkan momentum pertumbuhan TIV hingga 2021," kata CGS-CIMB Research.

TIV sektor automotif negara pada suku ketiga menyaksikan peningkatan hampir 2.5x berbanding suku lalu kepada 166,769 unit.

Peningkatan itu merupakan jualan suku tahunan tertinggi sejak suku keempat 2015.

Jumlah TIV yang kuat itu didorong oleh pengecualian cukai jualan kenderaan jenis import sepenuhnya (CBU) dan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di bawah PENJANA.

Mengulas berkaitan dengan jangkaan penurunan pada suku keempat itu, CGS-CIMB Research berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan ramalan TIV 2020 sebanyak 470,000 memandangkan sentimen pengguna lebih rendah pada suku keempat 2020.

"Selain itu, ramalan TIV kami pada tahun 2020 adalah sebanyak 500,000 juga membayangkan hanya sebanyak 159,000 pada suku keempat 2020 dengan penurunan sebanyak 5% berbanding suku lalu.

"Kami juga jangkakan nilai pendapatan sektor automotif yang lebih kukuh pada suku ketiga 2020 didorong oleh pemulihan jumlah jualan.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'neutral' saham sektor automotif negara. - DagangNews.com