KUALA LUMPUR 13 Julai - Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit global dan borongnya, TM WHOLESALE dan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) berkolaborasi untuk menawarkan liputan perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara.
TM dan Digi dalam kenyataan akhbar memberitahu, menerusi kolaborasi tersebut, TM akan menyediakan Perkhidmatan Rangkaian HSBB Peringkat 3 (Layer 3 HSBB Network Service) kepada Digi.
Seterusnya, Digi dapat meluaskan kedudukannya ke lebih banyak lokasi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian fiber TM.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif, TM WHOLESALE, Amar Huzaimi Md Deris, dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat.
Mengulas mengenai kolaborasi berkenaan, Amar Huzaimi berkata, TM sentiasa menyokong teguh perkongsian infrastruktur dan kolaborasi di peringkat industri yang menggunakan perkhidmatan rangkaian HSBB sebagai platform untuk memacu penerimaan jalur lebar.
“Pandemik COVID-19 telah membuktikan yang masyarakat serta organisasi sangat bergantung kepada sambungan internet untuk komunikasi atas talian dan perisian digital bagi kekal berhubung dan produktif ketika berada di rumah.
“Kami teruja dapat memeterai satu lagi kolaborasi dengan Digi, yang menggambarkan komitmen bersama untuk memastikan sambungan yang menyeluruh, stabil dan sentiasa ada untuk rakyat Malaysia, di mana perkara ini terus menjadi elemen penting bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik,” katanya.
Sementara itu, Keh Jiat berkata, kolaborasi tersebut akan menghubungkan 3 juta isi rumah lagi di seluruh negara dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman sambungan menyeluruh, sama ada ketika di luar atau di rumah.
“Kami sentiasa melihat kolaborasi ini sebagai satu cara positif untuk membawakan akses yang efisien dan meluas kepada rakyat Malaysia dan ini merupakan sesuatu yang lebih penting untuk menyokong keperluan sambungan para pelanggan kami pada waktu begini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan penawaran Digi, layari www.digi.com.my dan klik pautan www.tm.com.my/tmglobal untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan serta penyelesaian komunikasi domestik dan antarabangsa daripada TM WHOLESALE. - DagangNews.com