3 kesatuan UiTM minta segera selesaikan isu pelantikan Naib Canselor | DagangNews Skip to main content

3 kesatuan UiTM minta segera selesaikan isu pelantikan Naib Canselor

SHAH ALAM 11 Ogos - Kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Pengajian Tinggi segera menyelesaikan isu pelantikan Naib Canselor baharu universiti itu.

 

Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) berkata, penangguhan pelantikan itu sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

 

“Kami juga menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana kami turut menyatakan pandangan kami serta cadangan bagaimana isu ini dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan.

 

“Kami menaruh kepercayaan terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri untuk meneliti perkara ini, seterusnya menyampaikan nasihat bersesuaian supaya tindakan segera dapat diambil,” menurut kenyataan bersama oleh tiga kesatuan sekerja itu di sini hari ini.

 

Jawatan Naib Canselor UiTM kosong sejak Mac lalu, sebelum Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Roziah Janor dilantik mengisi kekosongan berkenaan.

 

Pelantikan terbabit dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Noraini Ahmad melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu.

 

Bagaimanapun pelantikan Roziah ditangguhkan melalui sepucuk surat bertarikh 7 Ogos yang ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Husaini Omar.

 

Jawatan nombor satu universiti itu kosong selepas Naib Canselor terdahulu, Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya 10 Mac lalu.

 

Tiga kesatuan sekerja itu menegaskan pelantikan Naib Canselor harus dibuat secara telus dan tidak dipengaruhi unsur negatif yang boleh mendatangkan kesan tidak baik terhadap imej UiTM sebagai institusi pendidikan tersohor.

 

“Kami berharap UiTM dapat terus menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi penting untuk Bumiputera tanpa dipengaruhi politik kepartian,” kata tiga kesatuan tersebut. - DagangNews.com