3 petua BTS menulis karangan | DagangNews Skip to main content

3 petua BTS menulis karangan

BTS

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

Selamat datang semua! Terima kasih kerana sudi menghadiri kursus penulisan kreatif BTS yang diadakan di tengah-tengah kolam bekas lombong ini. Idea mengadakan seminar di sini adalah bagi memastikan anda fokus dan tidak lari ke kompleks beli-belah pada sebelah petang.

korek


Sekarang kita mulakan sesi pemecahan ais. Ya, kita dalam kapal korek di tasik bekas lombong ini. Mana ada ais. Apa pemecah ais? Ia adalah terjemahan ice breaking session iaitu sesi suai kenal.

Ini pelajaran pertama anda. Jangan terjemah terus daripada bahasa Inggeris sedangkan istilah bahasa Melayu sudah tersedia dan lebih difahami.

Dan jangan malas rujuk kamus. Kalau rasa susah belek buku kamus, anda boleh layari versi kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dalam talian di http://prpm.dbp.gov.my/

Sekarang, saya mahu bertanya:
Berapa jumlah keseluruhan anda hari ini? 20,000 orang? Bagus.
Ya, 20 orang di dalam kapal korek dan baki 19,980 orang lagi secara dalam talian.


Ini soalan serius. Sila jawab sukarela tanpa prejudis. Jangan pandang orang sebelah. Tengok saya.
Berapa ramai daripada anda yang membaca akhbar? Tiga orang sahaja? Dahsyat.
Berapa ramai baca Facebook? Semua! Lagi dahsyat.

Berapa ramai yang membaca buku? Separuh jalan? Masih boleh diterima.
Berapa ramai yang membaca Merrepak di DagangNews.com? Tiada langsung?
Ada tapi sekali sekala? Tidak mengapa. Abaikan soalan.

Kursus penulisan kreatif BTS ini bukan bermaksud apa-apa. Saya tahu ramai daripada anda amat meminati kumpulan K-Pop, BTS atau Bangtan Boys. Saya tidak minat sebab BTS yang saya tahu hanyalah Bas Terminal Selatan. Tetapi anak saya selalu pasang lagu mereka di dalam kereta. Maka mendengarlah `MIC Drop' dalam penuh keterpaksaan.

Kaitan BTS bagi kursus ini adalah berkaitan `mood’. Bila dengar lagu, semangat anda pasti membuak-buak dan idea datang mencurah-curah.

Melainkan jika anda berkeras mahu saya pasang lagu 'Terang’ oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Pun boleh sebab melodi lagu ini memang `menangkap’ telinga.

Jadi perkara utama bagi seorang penulis untuk berkarya ialah mood iaitu angin anda semasa hendak menulis. Mood boleh dibantu oleh muzik yang anda suka. Ada juga penulis suka senyap sunyi supaya dapat dengar idea di dalam kepalanya.

Begitu pentingnya `mood’ kerana jika ada idea sekalipun tetapi angin anda puting-beliung, tidak memungkinkan kelancaran penulisan.

Bagaimana kalau ada mood tetapi idea tidak ada? Bolehkah? Renung-renungkan.

Hal kedua paling penting di dalam penulisan kreatif ialah penguasaan dan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul. Saya sangat pantang dan sakit mata bila menerima mesej sama ada menerusi WhatsApp, Facebook atau e-mel, pengirimnya menggunakan ayat TikTok atau yang hilang konsonan `a’. Bahasa jadi bhs, aku jadi Q.... Geramnya.

Hal ketiga, saya mahu anda mencatat perkataan berikut yang merupakan antara elemen berguna untuk diguna dalam penulisan kreatif anda.

#1 Sindiran atau sarcasm bermaksud menggunakan situasi atau pernyataan ironi untuk mempersenda atau melibas seseorang secara halus.

#2 Ironi atau irony merupakan suatu penzahiran makna perkataan yang lazimnya bermaksud di sebaliknya. Sekali dengar macam puji, dua kali dengar sahih mengeji.

#3 Lucu atau humour iaitu elemen lucu yang disampaikan secara kesusasteraan atau ucapan, tanpa perlu anda menjadi pelawak profesional.

Sila catat ya, bukan catit. Catit tiada dalam perbendaharaan kata Bahasa Malaysia. Catat ada dalam kamus. Selepas ini ada soalan kuiz.

Catat


Berikut adalah huraian:

Apa itu sarcasm? Lazimnya dalam penulisan, ia disampaikan secara berhemah. Ada orang sebut sebagai 'cakap berlapik’ atau 'dwi makna’. Kedua-duanya betul tetapi lihat pada konteks ayat anda.

Ini adalah cara terbaik berbanding belasah (bashing) dan mengutuk secara terang-terangan yang hanya sesuai untuk Facebook. Menyelitkan elemen sarcasm mampu menarik pembaca artikel kreatif anda kerana ia mempamerkan kemahiran anda mengolah ayat yang dikaitkan dengan isu tertentu, tanpa merujuk khusus kepadanya.

Misalnya, kita boleh berbicara mengenai 'perkara itu yang tidak boleh disebut di sini tetapi semua orang tahu apa dia itu’.

Ironi pula adalah teknik yang memantapkan elemen sarcasm iaitu suatu cara memberi hujah. Contoh: semasa sesi perbincangan, Lelaki A menyebut 'Idea anda sungguh bernas!’ tetapi pada masa yang sama, matanya memandang ke langit. Tidak ikhlas.

roll

Apa pula elemen lucu? Teknik ini adalah platform untuk anda menyalurkan mesej sindiran dan ironi di atas. Ini kerana jika tanpa elemen lucu, ayat anda boleh disalah tafsir sebagai biadap dan mencari nahas.

Sebagaimana ditekankan awal tadi, menyelitkan elemen lucu tidak memerlukan anda memiliki skil pelawak. Ini kerana lawak pelawak di atas pentas atau televisyen, tidak sama dengan lawak secara penulisan. Pembaca tidak akan ketawa sekuat mereka menonton program lawak. Pembaca akan tergelak kecil dan hanya menjadi kuat bila makna ayat itu mengena diri mereka sendiri. Ini memerlukan kemahiran menulis yang bagus.

Bagaimana hendak jadi penulis yang bagus?
Saya petik kata hikmah Sasterawan Negara, A. Samad Said:

"Jika anda ingin menjadi seorang penulis
pertama sekali kena membaca,
kedua kena membaca,
ketiga membaca,
keempat membaca dan
kelima, baru menulis
’.

Maknanya, kalau anda mahu jadi penulis yang baik, kena rajin membaca. Dan membaca teks keseluruhannya. Bukan setakat tajuk.

Baiklah, tuan-tuan dan puan-puan peserta kursus penulisan kreatif BTS: 
anda semua ada satu jam untuk menyiapkan karangan menggunakan ketiga-tiga elemen di atas. Tajuk bebas.

Siapa siap awal, bagi anda yang ada di sini, boleh bersiar-siar di sekeliling kapal korek ini. Cuma jangan terjun ke dalam lombong atau memberi makan buaya ya. Kami masih mahu anda hidup dan sihat sejahtera untuk menyertai Bahagian Kedua kursus bulan depan. – DagangNews.com

 

Merrepak yang bermula 2009 di dalam akhbar Mingguan Malaysia kini berada di rumah barunya di DagangNews.com setelah menerima taraf penduduk tetap yang diwartakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Orang Hilang Kerja (UNLostJob).