319,897 individu berjaya dapat kerja melalui portal MyFutureJobs dari 2022 hingga Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

319,897 individu berjaya dapat kerja melalui portal MyFutureJobs dari 2022 hingga Jun 2023

Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan disediakan oleh 80 majikan di Karnival Kerjaya MyFutureJobs Terengganu kali ini.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 7 Julai - Seramai 319,897 individu dari seluruh negara telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dari 2022 hingga Jun 2023 melalui portal MyFutureJobs yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, statistik itu adalah satu penanda aras yang baik menunjukkan lebih ramai individu dapat mula bekerja dan kadar pengangguran juga semakin berkurangan.  

 

Menurutnya, usaha kementerian melalui Perkeso dalam membantu golongan penganggur juga semakin membuahkan hasil kerana kadar pengangguran negara terus mencatatkan penurunan kepada 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat tahun lalu.

 

"Bagi Negeri Terengganu khususnya, kadar pengangguran turut merekodkan penyusutan kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus untuk tempoh sama. 

 

"Semua ini adalah hasil kerjasama erat antara kementerian, Perkeso dan kerajaan negeri yang banyak membantu pencari kerja termasuklah penyediaan resume, profil pencari kerja, bengkel temu duga, kaunseling kerjaya, program kebolehpekerjaan seperti kursus asas komunikasi, sahsiah diri dan persediaan menghadapi temuduga. 

 

"Karnival yang diadakan khas untuk pencari kerja pada hari ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang ramai yang terkesan akibat pandemik yang lalu terutama golongan dari kawasan luar bandar dan belia," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di Kuala Terengganu hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.


 

parafrasa
Golongan belia antara pengunjung teramai di Karnival Kerjaya MyFutureJobs yang berlangsung di KTCC sejak semalam.

 

parafrasa

 

parafrasa

 

parafrasa

 


Sivakumar turut memuji inisiatif yang diambil kerajaan negeri dengan mewujudkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) bagi membentuk dan melaksanakan rangka kerja dan pelan koordinasi program serta inisiatif bagi mengatasi masalah pengangguran. 

 

"Lebih membanggakan, Terengganu adalah negeri pertama yang mengambil inisiatif ini. 
 

"Kerjasama baik antara Perkeso dan kerajaan negeri juga berjaya mewujudkan 39 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) di setiap daerah sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs Perkeso yang menyediakan akses kepada penduduk setempat yang memerlukan bantuan perkhidmatan pekerjaan," katanya.

 

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) itu dianjurkan bersama oleh Perkeso, Kerajaan Negeri Terengganu dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC). 


 

parafrasa

 


Sebanyak 80 syarikat daripada pelbagai sektor industri yang menyertai program tersebut menawarkan lebih 5,000 jawatan kosong dengan gaji dari RM1,500 hingga RM12,500 sebulan. 

 

Antara yang mengambil bahagian adalah Petronas, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, TM One, Agrobank, BSN, Coopbank Pertama, Pusat Rehabilitasi PERKESO, First Ambulance Services Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. - DagangNews.com