3.8 juta ahli KWSP pindahkan RM12.6 bilion ke Akaun Fleksibel - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

3.8 juta ahli KWSP pindahkan RM12.6 bilion ke Akaun Fleksibel - Amir Hamzah

Hampir 4 juta ahli KWSP pindahkan RM12.6 bilion ke Akaun Fleksibel. -Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Julai - Seramai 3.8 juta atau 29.3% daripada 13.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah 55 tahun memilih mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan RM12.6 billion setakat 19 Julai 2024.

 

Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, RM5.6 bilion pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.

 

Katanya, pindahan ke Akaun Persaraan ini memberi kesan kepada peningkatan simpanan ahli iaitu penambahan seramai 43,000 ahli baharu telah mencapai simpanan asas.

 

"Seramai 3.4 juta ahli atau 26.2% daripada jumlah 13.1 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.9 bilion.

 

"Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel tidak memberi kesan yang ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang KWSP," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

Amir Hamzah menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian yang meminta dinyatakan peratusan pencarum yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun 3 dan membuat pengeluaran sehingga kini serta apakah implikasi besar dari segi ekonomi kepada KWSP dan negara.

 

Sementara itu, beliau berkata, dari segi implikasi kepada ekonomi negara pula, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion iaitu kira-kira 0.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk 2023.

 

"Namun begitu, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK negara akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecenderungan dalam cara perbelanjaan ahli," jelasnya.

 

Amir Hamzah pada masa sama berkata, penstrukturan semula Akaun KWSP bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli di mana ahli boleh mengakses Akaun Fleksibel (Akaun 3) pada bila-bila masa dan untuk apa-apa tujuan terutamanya bagi tujuan kecemasan.

 

Katanya, walau bagaimanapun, ahli KWSP dinasihatkan untuk menggunakan pengeluaran ini bagi kegunaan Waktu kecemasan dan keperluan mendesak sahaja.

 

"Nisbah bagi Akaun Persaraan telah ditingkatkan sebanyak 5% iaitu dari 70% nisbah sebelum ini kepada 75% kini. Hal ini dilihat mampu meningkatkan kadar simpanan ahli dan mempercepatkan ahli mencapai kadar simpanan asas bagi tujuan persaraan.

 

"Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas Kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP," ujarnya.- DagangNews.com