Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sebelum COVID-19 menjejaskan ekonomi dunia sehingga meleset teruk, dunia pernah ditimpa tiga lagi penularan pandemik yang menjejaskan pasaran dunia ketika akhir tempoh penurunan penilaian.
Menerusi laporan ‘Global Perspective’ CGS-CIMB Research, pandemik pertama adalah Spanish Flu yang dilaporkan di Amerika Syarikat pada April 1918, ketika pasaran Dow Jones Industrial Average merudum sebanyak 40% daripada rekod tertingginya.
Situasi sama berlaku ketika Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan amaran dunia berhubung Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada Mac 2003, di mana pasaran global baru sahaja pulih daripada kejatuhan saham Nasdaq antara tahun 2000 hingga 2002.
Setelah itu, jangkitan Swine Flu pula melanda dunia pada April 2009 ketika ekonomi ‘dihempap’ dengan Krisis Kewangan Dunia (GFC).
Tetapi, berbeza pula dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi selepas 11 tahun pasaran global melonjak dan menunjukkan peningkatan (bull) sehingga membawa kitaran saham ke tahap yang tinggi.
“Jadi, pandemik yang melanda dunia sebelum ini berlaku ketika pasaran berada di tahap bawah, di mana dikaitkan dengan pelbagai perkara yang buruk.
“Tetapi, COVID-19 berlaku ketika pasaran dunia berada dalam prestasi yang baik,” jelas CGS-CIMB.
Pelbagai pakar dan analisis ekonomi mendapati ekonomi ketika COVID-19 mungkin lebih teruk daripada GFC dan Krisis Kewangan Asia (AFC).
“Perintah berkurung di seluruh dunia akibat COVID-19 telah menyebabkan ekonomi dunia merudum teruk sejak The Great Depression.
“Ekonomi dunia kini sedang bergelut untuk pulih dengan struktur pertumbuhan yang lebih rendah akibat nilai isi rumah, aset syarikat dan kewangan kerajaan yang terjejas,” tambah CGS-CIMB.
Sejak Mac lalu, pasaran ekuiti melonjak dengan ketara, didorong oleh peningkatan saham ‘Work From Home/StayHome’ di mana saham-saham berkenaan adalah yang paling relevan ketika perintah berkurung. - DagangNews.com