427 pekerja Kossan di Klang positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

427 pekerja Kossan di Klang positif COVID-19

COVID-19

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Selepas syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove, Hartelaga dan Careplus, Kossan Rubber Industries Bhd. (Kossan) pula mencatatkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerjanya.

 

Menurut laporan, seramai 427 orang pekerja syarikat berkenaan termasuk lapan rakyat Malaysia telah dijangkiti wabak berkenaan.

 

Kesemua pekerja yang terlibat bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan, lapor Malay Mail.

 

Kes tersebut dikesan dalam pemeriksaan membabitkan 7,000 pekerja di kilang Kossan yang bertempat di meru, Klang yang dijalankan pada 4 hingga 10 Disember.

 

Laporan itu memberitahu, kesemua kontak rapat dengan pekerja yang dijangkiti akan diasingkan dan diuji untuk kali kedua pada hari ini dan esok.

 

Keputusan ujian kedua tersebut akan diketahui pada 18 Disember nanti.

 

Kilang berkenaan bagaimanapun akan memulakan operasi semula secara berperingkat mulai 20 Disember 2020.

 

Syarikat berkenaan turut memaklumkan perancangan untuk menguji 20% pekerjanya pada setiap dua minggu sebagai langkah keselamatan.

 

Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,772 kes jangkitan baharu membabitkan 1,760 kes tempatan dan 12 kes import.

 

Kes sembuh pada hari yang sama pula berjumlah 1,084.

 

Hingga 15 Disember 2020, Malaysia mencatatkan sebanyak 86,618 kes COVID-19 secara keseluruhan. - DagangNews.com