4Fingers diarah bayar bekas pengurus RM309,000 atas sebab pemecatan tidak adil | DagangNews Skip to main content

4Fingers diarah bayar bekas pengurus RM309,000 atas sebab pemecatan tidak adil

KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat rangkaian makanan segera 4Fingers Crispy Chicken diarah membayar pampasan sebanyak RM309,000 kepada bekas pengurus pembangunan perniagaannya kerana memecat tanpa sebab atau alasan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dua tahun lalu.

 

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Andersen Ong Wai Leong berkata, pemberhentian pihak yang menuntut, Hoh Seng Kong oleh pengendali 4Fingers, Gimme4fingers Malaysia Sdn Bhd dilakukan dengan niat jahat, tidak wajar dan tidak adil. 

 

Hoh, 59, yang bekerja dengan syarikat itu sejak 2019 dimaklumkan dalam satu sidang video pada 16 April 2020 yang jawatannya telah berlaku lebihan, sebulan selepas PKP dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19. 

 

 

Disebabkan tidak berpuas hati dengan pemberhentiaan pekerjaan, Hoh mengemukakan representasi kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk meminta pengembalian semula ke jawatan tersebut.

 

Semasa perbicaraan selama sembilan hari, syarikat itu mengaku bahawa pandemik Covid-19 yang mencetuskan isu kewangan merupakan punca pemberhentian Hoh.

 

Selain itu, syarikat itu mendakwa semasa PKP, mereka menghadapi pelbagai cabaran, termasuk larangan perkhidmatan makan di dalam premis dan mengurangkan waktu perniagaan.


 
Faktor-faktor itu mengakibatkan kerugian kewangan yang teruk dalam tempoh tersebut.

 

Syarikat itu juga mendakwa mereka perlu menyusun semula syarikat itu, termasuk kawasan pembangunan perniagaan.

 

Bagaimanapun, Hoh berhujah bahawa syarikat itu tidak mengalami masalah kewangan teruk yang mewajarkan pemberhentiannya.

 

Dia mendakwa tidak ada situasi pekerja yang berlebihan membawa kepada penamatan jawatannya.

 

Beliau juga mendakwa penamatannya atas alasan syarikat itu tidak mengikut rangka undang-undang perhubungan industri mahupun prinsip dan amalan perhubungan industri bertauliah. 

 

Dalam penghakimannya, hakim memaklumkan majikan mesti membuktikan alasan pemberhentian kerja sebenar dan memuaskan hati mahkamah.

 

"Saksi syarikat telah memberi keterangan tentang kesan perniagannya semasa PKP dan unjuran keputusan kewangan untuk tempoh itu, berdasarkan data daripada ramalan kewangan dan unjuran aliran tunai dinyatakan sebelum ini.

 

"Syarikat itu tidak membuktikan kebenaran dan ketepatan maklumat dan data dalam ramalan kewangan dan unjuran aliran tunai dinyatakan,” ujar mahkamah. 

 

"Jika syarikat itu benar berada dalam keadaan kewangan teruk dan tidak dapat mengekalkan perniagaannya, kita akan melihat langkah pemberhentian yang lebih meluas dan bukannya hanya pihak yang menuntut sahaja," kata Ong.

 

Ong juga memutuskan bahawa penjelasan mengenai alasan pemberhentian Hoh tidak konsisten dengan tindakan yang diambil oleh syarikat ketika itu.

 

“Tiada penstrukturan semula atau penyusunan semula yang tulen, seperti didakwa oleh syarikat itu.

 

"Tiada bukti sebarang pengumuman berhubung langkah sedemikian sebelum pemberhentian pihak yang menuntut," ujarnya, sebelum memberi Hoh gaji tertunggak selama 24 bulan, berjumlah RM324,000.

 

Selain itu, dia juga diberi RM15,000 sebagai pampasan sebagai ganti pengembalian semula, iaitu sebulan gaji.

 

Mahkamah bagaimanapun memotong RM30,000 daripada jumlah keseluruhan RM339,000 kerana pihak yang menuntut telah pun dibayar gaji dua bulan sebagai ganti notis semasa dia dipecat.

 

Hoh diwakili peguam Leonard Yeoh dan Pua Jun Wen, manakala Chan Suay Hwa dan Phan Mei Yin mewakili syarikat itu.- DagangNews.com