500 siswa didedahkan konsep perniagaan francais | DagangNews Skip to main content

500 siswa didedahkan konsep perniagaan francais

Program Francais Siswa (PFS) 2021

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seramai 500 mahasiswa di seluruh Malaysia menyertai Program Francais Siswa (PFS) 2021  yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Program yang mula diperkenalkan pada 2014 itu bertujuan memberikan pendedahan tentang konsep perniagaan francais kepada golongan mahasiswa dan menyediakan peluang penglibatan dalam perniagaan francais.

 

PFS 2021 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) itu berlangsung dalam tiga fasa iaitu Seminar Pendedahan Francais, Kursus Intensif Perniagaan Francais dan Cabaran Niaga Francais.

 

Menurut KPDNHEP, PFS kali ini diteruskan lagi dengan penglibatan 20 buah Universiti Awam dan 3 Politeknik Premier yang akan saling bersaing dalam Cabaran Niaga Francais untuk merebut geran pembangunan perniagaan francais bernilai sehingga RM100,000 di bawah KPDNHEP.

 

Program Francais Siswa (PFS) 2021

 

"PFS juga adalah untuk merealisasikan inisiatif kerajaan untuk membangunkan perniagaan francais berkonsep mikro dan mampu milik, iaitu pakej perniagaan francais bernilai RM50,000 dan ke bawah (mikro) serta RM100,000 dan ke bawah (mampu milik), bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais.

 

"Penglibatan institusi pengajian tinggi dalam usaha merealisasikan hasrat pertumbuhan lebih banyak francais mikro dan francais mampu milik ini akan membantu bukan sahaja mahasiswa tetapi juga negara," jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

 

PFS 2021 yang berlangsung hari ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

 

Dalam kenyataan sama, KPDNHEP memberitahu,  usaha tersebut bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan tetapi juga penciptaan pekerjaan baharu di kala negara menghadapi cabaran ekonomi berikutan pandemik COVID-19. - DagangNews.com